Tak dapat dibayangkan perasaan kedua ibu bapa ini apabila mereka menemui anak lemas di tandas rumah mereka sendiri… Tapi, itulah yang telah terjadi.
Ibu temui anak lemas dalam baldi
Ia hanyalah hari biasa untuk keluarga ini. Ketika mereka sedang menikmati makan tengahari bersama, ibu Muhammad Arash bergegas ke tandas selepas mendengar bunyi percikan air.
Ibu ini terkejut apabila melihat kepala anaknya tenggelam di dalam baldi berisi air. Apabila menyedari anaknya yang hanya berusia 14 bulan ini tak bernyawa, dia memanggil suaminya untuk membantu.
Kedua pasangan ini kemudian mengejarkan anak mereka ke Klinik Kesihatan Sungai Rambai dan Muhammad Arash disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di klinik tersebut.
Timbalan Penguasa ketua polis daerah Jasin Arshad Abu berkata, ibu ini mendakwa yang baldi ini sepatutnya kosong dan sebelum ini digunakan untuk memandikan anaknya yang lain.
“Setakat ini kami tak menemui sebarang kecederaan luaran pada mangsa yang hanya memakai lampin ketika kemalangan ini berlalu. Kami juga tak menemui tanda-tanda jenayah berlaku. Siasatan masih dijalankan,” tambah Arshad.
Mayat bayi ini telah dihantar ke Hospital Sultanah Fatimah, Muar untuk dibedah siasat dan kematiannya telah disahkan sebagai mati mengejut.
Anak lemas: Keselamatan dalam bilik mandi
Walaupun malang tidak berbau, tapi kita boleh cuba untuk mengelakkannya dari berlaku dengan membuat childproof di tandas bagi mengelakkan kejadian atau kecederaan yang tak diingini berlaku pada anak-anak.
Ini adalah 5 tip keselamatan dalam bilik mandi yang anda boleh lakukan:
1. Sentiasa perhatikan anak semasa dalam tandas
Kanak-kanak boleh lemas walaupun paras air hanya beberapa inci, jadi jangan pernah tinggalkan anak sendirian walaupun hanya sebentar.
Jika anda perlu melakukan sesuatu ketika sedang mandikan anak, balut anak dengan tuala dan bawa mereka bersama anda.
2. Tergelincir dan jatuh
Pasang tikar anti gelincir pada bathtub serta pasangkan penutup lembut pada paip air supaya anak tak cedera jika kepala mereka terhantuk pada paip.
Jadikan juga kebiasaan untuk sentiasa menutup mangkuk tandas dan kalau boleh pasangankan kunci pada penutup jamban kerana anak mungkin akan cuba untuk main dengan air dalam mangkuk tandas dan terjatuh ke dalamnya.
3. Suhu air
Untuk elak dari melecur, laraskan water heater supaya suhu paling panas tak melebihi 49 darjah selsius. Rasa suhu air dengan pergelangan tangan atau siku untuk memastikan air tersebut suam dan bukan panas.
Apabila anak anda mula tahu untuk menutup paip, ajar mereka untuk mula dengan air sejuk sebelum panas.
4. Penyimpanan barang mandian dan ubat-ubatan
Simpan semua ubat dalam bekas yang mempunyai penutup keselamatan dan simpankan pada tempat yang tinggi dan tak boleh dicapai oleh kanak-kanak.
Peralatan mandi seperti ubat gigi, syampu, sabun dan lain-lain juga perlu disimpan dalam kabinet yang tinggi dan dikuncikan.
5. Barang elektrik
Jika anda gunakan barang elektrik dalam tandas seperti pengering rambut atau pencukur, pastikan anda buka dan simpan di tempat selamat selepas menggunakannya.
Adalah lebih baik untuk anda gunakan barang-barang elektrik di tempat lain yang jauh dengan air untuk mengelakkan kecederaan jika peralatan ini terjatuh ke dalam tempat berisi air.
Kami harap dengan tip keselamatan ini, anda boleh cuba untuk elakkan sebarang kecederaan dan kejadian yang tak diingini.
Kami di theAsianparent berasa simpati dan turut bersedih atas kehilangan yang dirasai oleh keluarga Muhammad Arash.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber : NST, healtychildren.org
Baca juga:
https://my.theasianparent.combayi-mati-lemas