Sudah punyai anak sulung, mulalah terfikir untuk ada anak lagi bukan? Tapi tahukah anda bilangan anak yang ideal untuk anda dan keluarga? Anak ramai atau sedikit, semua ada pros and cons ya!
Sebelum memulakan keluarga, banyak sebenarnya faktor yang perlu dipertimbangkan. Jika beranak satu bagaimana dari segi persekitaran buat anak tunggal itu, jika beranak dua pula perlukah ‘upgrade’ dari segi rumah dan kereta, beranak ramai dari tiga pula kewangan jadi pertimbangan.
Putuskan sebelum berkahwin?
Menurut Ann Davidman, seorang penulis buku Motherhood: Is It for Me? Your Step-by-Step Guide to Clarity, membicarakan jumlah anak yang diinginkan sebenarnya perlu dilakukan sejak sebelum berkahwin. Supaya apabila perbezaan prinsip tidak menimbulkan perselisihan antara suami dan isteri kelak.
Kata Javier Aceves, M.D., Profesor Pediatrik University of Mexico School of Medicine pula, keinginan jumlah anak yang berbeza antara pasangan boleh dipengaruhi oleh pengalaman masa kecil masing-masing. Misalnya, jika anda dibesarkan dengan keluarga yang besar, ada kemungkinan anda inginkan anak ramai untuk keluarga anda kelak.
Jadi jom pertimbangkan dulu berapa jumlah anak yang ideal bagi anda. Barulah boleh mula ‘projek’ buat anak!
Anak Tunggal
Anak tunggal ini dialah anak sulung, dialah yang bongsu. Jadi ada banyak sebenarnya keuntungan sama ada kepada ibu bapa yang mempunyai anak tunggal serta kepada anak itu sendiri.
Untuk ibu bapa anda punyai lebih banyak tenaga dan perhatian untuk diberi kepada seorang anak dan begitu juga sebaliknya untuk anak.
Dia tidak perlu berkongsi perhatian ibu bapa dengan sesiapa. Dan benar, ibu bapa hanya perlu ‘adjust’ sedikit sahaja kehidupan mereka jika mereka mempunyai anak tunggal berbanding dengan punyai ramai anak.
Namun ada kebarangkalian besar bahawa anak akan menjadi manja, dan ibu bapa juga tidak kisah untuk memanjakan anak tunggal.
Si anak pula lama kelamaan akan berasa sunyi dan menginginkan adik beradik, malah dengan menjadi seorang anak yang diharapakan tentunya memberi sedikit tekanan pada si si anak tunggal.
Dan jika anda mengharapkan anak tunggal anda untuk menjaga anda kelak, agak tidak adillah untuk dia seorang menjaga anda berdua bukan?
Anak dua
Kajian menunjukkan mempunyai dua orang anak adalah pilihan ideal banyak keluarga. Mengikut Statistik Nasional, keluarga dengan dua anak adalah lebih tinggi berbanding seorang anak.
Ramai yang menyatakan mempunyai dua orang anak boleh mengurangkan kemungkinan anak menjadi manja. Ini kerana mempunyai adik beradik dapat mengurnagkan keinginan mereka untuk mendapat perhatian lebih daripada ibu bapa.
Mempunyai dua orang anak juga dapat memberi anda sedikit kelegaan di mana, ibu bapa selalu risaukan jika sesuatu terjadi kepada mereka. Jadi dengan mempunyai dua anak, sekurang-kurangnya mereka ada satu sama lain sekiranya sesuatu yang buruk terjadi kepada anda.
Dengan adanya dua orang anak juga dapat memberi anda sedikit eksperimen bagaimana anda ingin membentuk anak anda. Dan boleh lihat perbezaannya. Senang cerita ‘two is better than one’.
Anak tiga
Ibu bapa yang mempunyai tiga orang anak selalu menyatakan ia adalah perbezaan cukup besar. Keadaan bermula dengan seorang anak lebih mudah nak dibandingkan dengan dari dua anak ke tiga orang anak. Ia betul-betul satu perubahan besar.
Dilema anak tiga: Perkongsian keluarga yang mempunyai tiga orang anak
#1. Pengurusan hidup setiap hari menjadi lebih rumit apabila anda cuba memenuhi permintaan tiga orang budak.
#2. Lebih perbelanjaan! Menambah ahli keluarga baru bermakna perlu ‘upgrade’ hidup anda. Dan salah satunya adalah membeli kereta yang lebih besar. Dan kereta bukanlah murah harganya. Tambah pula ketiga-tiganya memerlukan kerusi keselamatan bayi!
#3. Terlalu banyak pakej hotel yang membenarkan dua sahaja kanak-kanak dalam satu bilik, jadi itu lebih menyukarkan apabila membawa keluarga bercuti. Jika tidak kami perlu berbelanja lebih untuk bilik yang lebih besar atau penambahan katil ekstra! Yang kesudahannya tidak digunakan pun, sebab semuanya akan berhimpit satu katil.
Anak lebih daripada tiga – keluarga besar!
Peralihan daripada tiga orang anak ke empat orang anak atau lebih adalah lebih kepada sudah bersedia secara mental. Dan itu adalah satu pilihan organik bagi kebanyakan keluarga.
Mereka sudah tahu jangkaan mereka apabila mempunyai ramai anak. Dan mereka juga berkongsi banyak aspek-aspek positif dalam berkeluarga besar.
Mereka menyatakan bahawa, tekanan yang mereka hadapi sudah biasa. Dan kadangkala mereka seronok dengan kemeriahan anak ramai, dan bebas rasa sunyi.
Setiap seorang anak juga apabila mereka membesar menunjukkan perwatakan yang boleh diharap, dan yang lebih berusia juga membantu menjaga adik-adik mereka.
Bagi anak-anak juga ia cukup memberi manfaat dari segi bagaimana pembawakan diri mereka dibentuk sesama adik beradik. Mereka akan lebih yakin untuk berkawan, lebih senang untuk berkongsi dan bertolak ansur sesama sendiri. Tapi itu juga memerlukan lebih kesabaran!
Pemahaman Tentang Konsep “Anak Itu Rezeki”
Rezeki yang sering kita bayangkan hanyalah wang ringgit semata-mata tetapi apa yang kita tidak tahu adalah, rezeki juga melibatkan kesihatan tubuh badan, kelapangan dada, pahala kebaikan dan banyak lagi.
Jelas Ustadz Abu Khalid Resa Gunarsa, Allah berfirman tentang ketakwaan:-
“Barang siapa bertakwa kepada Allah nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.” (QS. Ath Thalaq [65]: 2-3)
Untuk pengetahuan semua, anak-anak itu sememangnya merupakan rezeki yang Allah beri kepada umat manusia. Malah sesungguhnya, rezeki yang paling sejati adalah segala hal yang bermanfaat dan menyenangkan penerimanya.
Firman Allah lagi:-
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut akan kemiskinan, kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka.” (QS. Al An’am [6]: 151)
Apa-apa pun baik beranak satu, dua, tiga atau lebih, semuanya ada kelebihan dan kekurangan. Bagaimana anda ibu bapa mengatasinya adalah yang paling penting. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan betul tak? Jadi bila rasa berkemampuan dan ingin keseronokan keluarga besar silalah.. jika anda lebih mahu fokus pada kualiti berbanding kuantiti maka itu juga keputusan bijak. Timbang tara semua aspek, bincang dengan pasangan itu penting!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber : Patient.Info
Baca juga:
Anda Ada Ramai Anak Perempuan? Banyak Kebaikannya!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!