Dalam membesarkan anak, ibu ayah perlu berdepan dengan pelbagai karenah dan ragam. Sudah menjadi lumrah jika anak selalu menangis apabila dilepaskan bersama dengan orang yang tidak dikenali mereka.
Keadaan ini berlaku disebabkan oleh kebanyakan anak kecil mempunyai hubungan rapat dengan ibu ayah. Bayangkan apabila hilang sahaja dari pandangan, mereka terus menangis kerana terasa begitu asing.
Masalah anak selalu menangis enggan dengan orang lain
Tidak cukup dengan itu, ada anak yang lebih rapat rapat dengan ibu berbanding ayah. Seperti video yang dikongsi menerusi aplikasi TikTok, seorang lelaki berdepan dengan masalah besar apabila bayinya menangis kerana tidak didukung oleh ibunya.
Difahamkan, bayi berkenaan hanya mahukan ibunya sahaja, lebih-lebih lagi apabila tiba waktu tidur dan menyusu.
Bagi menyelesaikan masalah ini, si ayah tetap tidak berputus asa dan mencari jalan bagi mendapatkan perhatian kanak-kanak berkenaan.
Disebabkan oleh tiada cara lain, si ayah akhirnya membuat keputusan untuk menyarung pakaian dalam yang diisi dengan sesuatu agar menyerupai badan isterinya dan meyakinkan bayi tersebut.
Si ibu yang berkongsi video TikTok berkenaan sempat berterima kasih kepada warganet dan mengatakan bahawa sememangnya selama ini anaknya akan menangis apabila berada dalam dukungan ayahnya.
Namun apabila buat cara seperti demikian barulah anak kecil mereka diam.
Melihat ke ruangan komen, rata-rata warganet berasa terhibur melihat ragam kanak-kanak tersebut. Selain memuji usaha gigih seorang ayah, mereka juga sempat berkongsi pengalaman yang sama sewaktu menjaga anak kecil mereka.
Anak selalu menangis, ini cara untuk mengatasi anak enggan dengan orang lain
Ibu-ibu mungkin pernah berhadapan dengan situasi anak selalu menangis apabila mereka bersama dengan orang lain, enggan bersalam dan berkongsi mainan.
Masalah sebegini normal berlaku pada anak terutamanya yang berusia 7 tahun ke bawah kerana mereka masih dalam fasa belajar bersosial. Kemahiran-kemahiran lain anak boleh belajar di rumah, namun tidak bagi kemahiran sosial.
Berdasarkan perkongsian dari juruterapi carakerja, kemahiran sosial adalah satu-satunya skil yang memerlukan lebih pengalaman berbanding yang lain.
Berikut checklist kemahiran sosial mengikut umur si manja anda:
#1. 0-6 bulan: Ketawa dan senyum
Bila ibu atau ayah main agah-agah, kebiasaannya bayi akan memberi respon seperti ketawa dan senyum. Melainkan jika bayi tersebut ada masalah kesihatan seperti masalah pendengaran dan sebagainya, maka timeline nya mungkin sedikit berbeza.
#2. 1-2 tahun: Memberi respon
Ketawa semasa bermain, cari mainan tersembunyi, meniru perbuatan, salam/”hai’, ”bye” atau ”nak” dengan orang lain.
Dalam fasa ini, anak kecil sepatutnya sudah mula meniru perkataan seperti papa, mama, nak bye dan sebagainya. Biasanya mereka akan menyebut perkataan yang mudah dengan kerap.
#3. 2-3 tahun: Menunjukkan minat untuk menegur
Berminat nak tegur kawan lain, berlakon olok-olok mudah, kurang ”separation anxiety” ataupun ”stranger anxiety”.
Pada waktu umur sebegini, selalunya anak-anak mula suka pura-pura bermain seperti main masak-masak atau bermain sebagai doktor-pesakit.
#4. 3-4 tahun: Mula rasa bertanggungjawab
”Jaga” anak patung, ikut giliran, bermain dengan 2-3 kawan, beritahu perasaan.
Fasa ini, anak-anak sudah mula memiliki rasa bertanggungjawab. Misalnya menjaga alat permainan atau bertanggungjawab beritahu kepada ibu ayah apa yang berlaku kepadanya.
#5. 5-6 tahun: Lebih mudah faham peraturan
Berlakon olok-olok yang lebih kompleks, bertolak ansur semasa bermain, boleh mengikut peraturan bermain.
Kebiasaannya pada umur ini, anak-anak lebih mudah untuk faham peraturan yang kompleks dan mampu mengikuti arahan yang diberikan.
Sekiranya ibu ayah mendapati anak ada masalah sosial yang tidak selari dengan panduan di atas, disarankan agar segera jumpa doktor pakar kanak-kanak bagi mendapatkan khidmat nasihat serta penyelesaian terbaik.
Biasanya pihak hospital dan doktor akan melakukan penilaian awal bagi mengenal pasti tahap perkembangan semasa anak-anak.
Walau apapun keputusan diperoleh, ibu ayah dinasihatkan supaya tidak cepat berputus asa atau menafikan keputusan yang diberikan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Susah Bila Anak Selalu Nak Berdukung! Ibu Jangan Stres, Ini Sebab & Cara Menghadapinya!