Aqiqah Anak Lelaki: Syarat Akikah, Hukum Dan Panduan Mengikut JAKIM

undefined

“Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke tujuh dari hari lahirnya- dicukur seluruh rambutnya dan diberikan nama yang membawa maksud yang baik,” riwayat Abu Daud, At Tirmidzi dan Ibnu Majah.

Setiap orang pasti mempunyai persoalan berkenaan aqiqah terutama bagi ibu bapa yang baru sahaja menyambut cahaya mata, baik aqiqah anak lelaki atau anak perempuan.

Hadith Tentang Aqiqah Anak Lelaki

Aqiqah bermaksud penyembelihan binatang an’am (binatang ternakan seperti kambing, biri-biri atau kibas) sebagai tanda syukur kepada Allah SWT  ke atas kelahiran anak.

Untuk mengetahui lebih lanjut, mari kita sama-sama meneruskan pembacaan berkenaan aqiqah.

Sabda Nabi SAW yang menyebut:

مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing.”

Berdasarkan hadis di atas, seperti yang dapat kita lihat terdapat perbezaan antara aqiqah anak lelaki dan aqiqah anak perempuan dari segi jumlah haiwan sembelihan.

Untuk aqiqah anak lelaki, ibu bapa perlu menyediakan dua ekor kambing manakala bagi aqiqah anak perempuan pula, hanya perlu ada seekor kambing. Ini adalah tertib yang terbaik untuk melaksanakan ibadah ini.

Tapi, bagaimana pula kalau ada ibu bapa yang tidak berkemampuan untuk menyediakan dua ekor kambing bagi aqiqah anak lelaki mereka?

Jangan risau, Islam itu agama memudahkan. Jika tidak berkemampuan, memadai dan dibolehkan untuk beraqiqah dengan seekor kambing sahaja bagi anak lelaki.

Hah, ibu bapa yang baru sahaja menimang cahaya mata lagi-lagi anak lelaki tak perlulah risau. Berdasarkan sebuah hadis daripada Ibn Abbas R. Anhuma:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ كَبْشًا كَبْشًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengakikahkan al-Hasan dan al-Husain seekor kibasy yang serupa dan sepadan bagi setiap seorang.”

Berdasarkan hadis diatas, beraqiqah dengan seekor kambing bagi anak lelaki memadai tapi perlulah ia dilakukan dengan penuh keikhlasan.

Asalkan rasa kesyukuran kepada tuhan kerana telah mengurniakan kita zuria, pastinya Rasulullah SAW akan berbangga di akhirat nanti kerana ramai umatnya yang menjalankan ibadah ini.

Niat Aqiqah Anak Lelaki

Bacaan ini perlulah dibacakan ketika sembelihan sedang dilakukan. Lafaz niat aqiqah bagi lelaki dan perempuan sama sahaja iaitu:

بِسْمِ اللهِ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُمَّ مِنْكَ وَلَكَ ، هَذِهِ عَقِيقَةُ فُلاَن

Maksudnya: Dengan nama Allah, Allah Maha Besar, Ya Allah kurniaan ini adalah dari Mu dan untuk-Mu. Ini adalah aqiqah fulan (sebut nama anak)

Namun, melafazkan bismillah sambil berniat di dalam hati juga sudah memadai.

Doa Aqiqah Anak Lelaki

Doa Mencukur Rambut Bayi

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ الْحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ أَللهم نُوْرُ السَّمَاوَاتِ وَنُوْرُالشَّمْسِ وَالْقَمَرِ اللهم سِرُّ اللهِ نُوْرُ النُّبُوَّةِ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ

Maksudnya: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Ya Allah, cahaya langit, matahari dan bulan.

Ya Allah, rahsia Allah, cahaya kenabian Rasulullah SAW, dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Doa Tahnik

اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ

Maksudnya: Ya Allah, faqihkanlah dia dalam agama dan ajarkanlah dia takwil.

Syarat Sah Aqiqah Anak Lelaki

maksud ibadah aqiqah, aqiqah anak lelaki, aqiqah anak perempuan

 

Terdapat beberapa syarat sah aqiqah yang perlu kita tahu iaitu:

1. Niat Aqiqah

Semasa menyembelih binatang untuk aqiqah, penyembelih perlu berniat aqiqah dengan nama yang berkenaan. 

Tapi kalau penyembelih terlupa, ibadah ini masih diterima sekiranya dia telah berniat untuk melakukan ibadah aqiqah ke atas anak semasa membeli dan menyembelih.

Dan yang paling penting, aqiqah tetap sah walaupun anak yang diniatkan tiada di lokasi penyembelihan.

2. Binatang Ternakan Atau Aqiqah Berkaki Empat

Ini adalah antara syarat wajib yang mana hanya binatang ternakan yang berkaki empat, halal dimakan dan tidak mempunyai sebarang kecacatan fizikal dan dalaman boleh disembelih.

Haiwan ternakan yang dimaksudkan ialah kambing, kerbau, kibas, biri-biri, lembu dan unta.

3. Memenuhi Syarat Penyembelihan

  • Penyembelih mestilah beragama Islam, mumayyiz, tahu cara menyembelih dan bukan dalam keadaan ihram.
  • Binatang tersebut halal dimakan, mati dengan satu penyembelihan dan putus urat halkum dan urat merih
  • Menggunakan alat sembelihan yang tajam seperti parang

4. Binatang Sembelihan Berada Dalam Keadaan Yang Sempurna Dan Tidak Cacat

Cacat di sini bermaksud buta sama ada sebelah atau kedua-dua belah, kaki tempang atau terlalu kurus kering. 

Selain itu, haiwan itu juga perlulah tidak bunting, namun jika bunting ia tidaklah haram dimakan.

5. Binatang Cukup Umur

  • Kibar: satu tahun atau telah gugur gigi hadapan setelah ia berumur enam bulan
  • Biri-biri, domba dan kambing: melebihi satu tahun apabila gugur gigi susuan atau hadapannya.
  • Lembu dan kerbau: melebihi dua tahun
  • Unta: melebihi lima tahun

Aqiqah Anak Lelaki Berapa Ekor Kambing

Untuk anak lelaki adalah dua ekor kambing sahaja.

Ini berdasarkan hadith dari Ummul Mukminin, Aaisyah R.A bahawa,

“Rasulullah telah menyuruh kami mengerjakan aqiqah bagi bayi lelaki dua ekor kambing yang bersamaan kedua-duanya dan bagi bayi perempuan pula satu ekor kambing.”
Riwayat At-Turmuzi

Untuk kes anak lelaki, sekiranya tidak mampu dua ekor, boleh buat satu ekor dahulu.

Ini sepertimana yang dilakukan dalam kes cucu Rasulullah yakni Hasan dan Husain, Rasulullah telah menyempurnakan aqiqah Hasan & Husain dengan menyembelih satu satu ekor kambing kibasy – Riwayat Abu Daud.

Hukum Aqiqah Anak Lelaki

Sudah tentu, bagi anda yang pertama kali memiliki cahaya mata, banyak persoalan mengenai ibadah ini dan adakah anda wajib untuk menunaikannya.

Hukum menjalankan ibadah ini adalah sunat muakkad bagi yang berkemampuan yang mana ia adalah ibadah yang amat digalakkan.

Aqiqah Anak Lelaki Sampai Umur Berapa

Waktu terbaik adalah pada hari ke-7 selepas kelahiran bayi. Jika terlepas atas sebab tertentu, anda boleh lakukan pada hari ke-14. Dan sekiranya tidak sempat juga, anda boleh laksanakan pada hari ke-21. Kadar perbezaannya adalah setiap tujuh hari berikutnya sehinggalah anak tersebut mencapai baligh.

Akan tetapi, sekiranya tidak mampu dilakukan dalam tempoh tersebut, anda boleh lakukan bila telah berkemampuan.

Hikmah Aqiqah

Selain daripada menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana telah mengurniakan cahaya mata kepada kita, aqiqah juga mempunyai hikmah yang lain. Antaranya ialah:

  • Menghebahkan berita kelahiran anak supaya tidak timbul prasangka
  • Menghindari bayi daripada terkena penyakit
  • Menghindari bayi daripada terkena gangguan syaitan
  • Menghidupkan sunnah Nabi SAW ketika menyambut kelahiran bayi
  • Menghindari amalan bida’ah seperti lenggang perut dan baby shower atau amalan yang tidak bertepatan dengan sunnah Nabi SAW.
  • Mengeratkan hubungan silaturahim dengan mengadakan kenduri aqiqah
  • Menghindari sifat kedekut dengan memberi makan kepada fakir miskin
  • Menggandakan pahala amalan sunat (melaksanakan aqiqah di bulan Ramadhan)

Semoga bermanfaat!

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Boleh Cukur Jambul Bayi Dahulu, Baru Buat Aqiqah Jika Ibu Ayah Tidak Berkemampuan

Baca juga: Sudah Tiba Masa Untuk Aqiqah Anak? Ini Yang Anda Patut Tahu

Baca juga: Maksud Nama Dalam Islam Yang Indah Untuk Bayi Lelaki & Perempuan Yang Bakal Lahir

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!