Azan bertujuan untuk memberitahu bahawa telah masuknya waktu solat fardhu. Jadi apa hukum solat ketika azan sekiranya seseorang itu tidak sempat menunggu sehingga habis?
Allah berfirman dalam Surah al-Jumu’ah ayat 9:
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Ayat ini menggunakan kata azan bagi maksud menyeru orang beriman pergi menunaikan solat Jumaat.
Namun, al-Quran tidak menyebutkan tentang azan secara fikah yang seperti kita lihat hari ini. Laungan azan Allahu Akbar hinggalah Lailaha Ila Allah itu adalah berdasarkan hadis, bukan al-Quran. Cuma, kata “azan” itu telah digunakan dalam al-Quran membawa makna umum “menyeru”, “memberitahu”, dan sebagainya.
Adakah solat tersebut sah atau sebaliknya? Ikuti penjelasan lanjut oleh Mufti Wilayah Persekutuan di bawah.
Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sesiapa yang solat ketika azan sedang dikumandangkan adalah sah. Solat ketika azan dilaungkan tidak membatalkan solat sama sekali.
Ini kerana ia merupakan tanda masuknya waktu solat dan di antara syarat sah solat adalah mengerjakannya setelah masuk waktu.
Namun, melakukan solat selepas azan adalah lebih afdhal. Ini kerana hadis daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma sabda Nabi SAW:
اذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِىَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِى الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِى إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِىَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ
Maksudnya: Apabila kamu mendengar seruan muazzin, jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku, sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang di kalangan hamba Allah, dan aku berharap akulah orangnya. Sesiapa yang memohon kepada Allah wasilah untukku pastilah dia mendapat syafaat.
Riwayat Muslim (384)
Oleh itu, melakukan solat selepas azan dapat melakukan tuntutan yang disunatkan semasa ia berkumandang seperti menjawab azan, berselawat dan memohon doa kepada Allah SWT. Dan dengan melakukan perkara berikut akan mendapat ganjaran istimewa yang dijanjikan Allah SWT.
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.