Di negara jiran, Indonesia kini sedang hangat membicarakan bahaya rumput fatimah setelah tular sebuah video di media sosial. Ia memaparkan seorang wanita sedang dirawat dan melakukan imbasan pada kandungan.
Walau bagaimanapun, degupan jantung pada janin sudah berhenti dan ibu mengalami pendarahan yang banyak. Kemudian wanita berkenaan segera dibedah kerana rahim pecah. Dia menerima rawatan di ICU selama 7 hari dan menghabiskan 20 kantung darah.
Bahaya rumput fatimah untuk ibu mengandung
Ramai ibu yang percaya bahawa amalan minum air kacip fatimah berupaya melancarkan proses bersalin tanpa memikirkan kesannya pada janin.
Justeru, adakah selamat mengambil kacip fatimah sebelum melahirkan bayi? Berikut penjelasan Pakar Perbidanan dan Kandungan, Dr. Dinda Derdameisya.
”Kesan sampingan kacip fatimah sememangnya terbukti boleh meningkatkan kontraksi otot rahim yang membantu mempercepat proses bersalin. Kesannya adalah sama seperti oksitosin iaitu ubat yang digunakan oleh doktor bagi membantu meningkatkan kontraksi dalam merangsang proses kelahiran.”
Walaupun minum air rendaman kacip fatimah boleh membawa kontraksi dan mempercepatkan kelahiran, namun Dr. Dinda melarang keras ibu mengandung untuk mengambilnya.
”Kami melarang pengambilan kacip fatimah pada ibu hamil yang bakal bersalin. Justeru, kalau mahu mengambilnya juga, sebaiknya tunggu setelah bayi lahir.” tegasnya.
Hal ini kerana kandungan aktif yang terdapat dalam kacip fatimah adalah sukar diukur. Sehingga muncul kontraksi akibat pengambilan air rendaman herba ini yang tidak terkawal dan meletakkan risiko bahaya pada ibu serta janin.
”Setelah mengambil air rendaman kacip fatimah, kontraksi yang berlaku tidak dapat dikawal sehingga membahayakan janin dalam kandungan. Pembukaan cepat dengan koyakan yang tidak diingini oleh mana-mana ibu juga boleh berlaku.” jelasnya.
Waspada akan bahaya rumput fatimah
Sehingga kini, belum ada penyelidikan perubatan membuktikan bahawa kacip fatimah mempunyai manfaat tersendiri. Masih belum diketahui dengan tepat apakah ramuan di dalamnya yang bermanfaat kepada wanita mengandung dan berapa banyak dos selamat digunakan, malah menimbulkan risiko berbahaya.
”Pengecutan rahim yang cepat dan berlebihan, tetapi tidak disertai dengan melembutkan pembukaan serviks boleh menyebabkan bayi dalam kandungan kekurangan oksigen. Sebagai akibatnya, tekanan boleh terjadi pada janin sehingga membawa kepada kematian sekiranya tidak segera diberikan rawatan,” jelas Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Nadia.
Selain memberikan kesan bahaya pada janin, kacip fatimah juga boleh menjejaskan diri ibu mengandung.
”Kontraksi yang terlalu berlebihan dan berterusan akan mengakibatkan koyakan rahim, kekurangan bekalan oksigen ke rahim dan berlakunya pendarahan yang banyak.” jelas Dr. Nadia.
Memandangkan kesan sampingan kacip fatimah ini boleh meragut nyawa ibu dan bayi, adalah lebih baik anda mengelakkan dari mengambilnya.
Cara yang selamat ketika berdepan dengan detik bersalin selain mengambil rumput fatimah
Sudah tiba waktu untuk anda melahirkan bayi, tetapi masih tiada sebarang tanda kontraksi yang muncul? Jangan segera mengambil air rendaman kacip fatimah ya!
Risikonya sangat tinggi kerana amat membahayakan nyawa ibu dan anak dalam kandungan. Sebenarnya, tiada sebarang minuman atau makanan khas yang benar-benar dapat mempercepatkan proses bersalin.
Kelancaran dan jangka masa ketika melahirkan bergantung kepada beberapa faktor seperti ukuran bayi, kekuatan kontraksi ibu dan lebar pelvis.
Jika anda bakal menimang cahaya mata pertama, dapatkan nasihat daripada doktor bagi mengetahui perkara-perkara yang boleh menyebabkan kontraksi.
Antara cara selamat yang boleh dilakukan termasuklah berjalan kaki sekurang-kurangnya 15 hingga 30 minit setiap hari. Latihan ringan ini adalah salah satu kaedah terbaik bagi memudahkan proses kelahiran kelak.
Selain itu, ibu mengandung juga perlu kekal aktif dengan melakukan yoga atau berolahraga dengan bantuan bola gim di rumah.
Ketika berbadan dua ini, jangan sesekali berani mengambil sesuatu makanan atau minuman hanya kerana ramai mengatakan mengenai kebaikannya. Sila merujuk doktor terlebih dahulu agar dapat mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Sumber: Kumparan, PopMama
Kredit foto: Google Images
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kehamilan Muda Bawah Usia 20 Tahun Boleh Membahayakan Nyawa Ibu & Janin- Pakar