Hari ini, kita dikejutkan oleh banjir teruk di Lembah Klang akibat cuaca buruk yang menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami air. Kejadian ini mengingatkan kita bahawa menyediakan barang persediaan banjir lebih awal adalah penting untuk memastikan keselamatan diri dan keluarga ketika bencana berlaku.
Senarai Barang Persediaan Banjir Untuk Keselamatan Keluarga
Setiap keluarga perlu mempunyai beg kecemasan yang lengkap. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menekankan keperluan untuk setiap rumah menyediakan sekurang-kurangnya satu beg kecemasan atau lebih dikenali sebagai “Bug Out Bag(BOB)” yang disimpan di tempat mudah dicapai.
Berikut adalah senarai barang persediaan banjir yang wajib ada:
1. Beg Kalis Air
Beg kalis air sangat penting untuk melindungi barangan di dalamnya daripada basah. Beg jenis ini mampu melindungi dokumen penting, pakaian dan peralatan elektronik dari rosak jika terkena air semasa banjir.
Pastikan beg yang digunakan adalah cukup kukuh dan mampu menahan air masuk dalam jangka masa yang lama.
2. Lampu Suluh dan Bateri Tambahan
Lampu suluh adalah keperluan utama dalam situasi kecemasan, terutamanya apabila bekalan elektrik terputus.
Disyorkan untuk memilih lampu suluh yang menggunakan bateri mudah didapati dan tahan lama. Selain itu, sediakan juga bateri tambahan atau power bank untuk mengecas peralatan elektronik seperti telefon bimbit.
ni penting untuk memastikan anda kekal berhubung dan menerima maklumat terkini daripada pihak berkuasa dan media sosial.
3. Kit Kecemasan dan Ubat-ubatan
Kit kecemasan harus mengandungi peralatan asas seperti pembalut luka, antiseptik, plaster, gunting kecil, dan sarung tangan perubatan.
Selain itu, sediakan ubat-ubatan yang diperlukan seperti ubat demam, ubat tahan sakit dan ubat asma jika ada ahli keluarga yang memerlukannya.
Menyediakan peralatan ini dapat membantu anda merawat kecederaan kecil sebelum bantuan tiba.
4. Dokumen Penting & Fail Kalis Air
Simpan dokumen penting seperti kad pengenalan, passport, sijil kelahiran dan dokumen insurans dalam bekas kalis air yang tahan lasak untuk mengelakkan dokumen tersebut daripada rosak atau hilang ketika proses pemindahan atau ketika banjir melanda.
Menjaga dokumen ini dengan baik memudahkan urusan selepas bencana, terutama jika anda perlu mendapatkan bantuan kewangan atau membuat tuntutan insurans.
5. Makanan & Minuman Tahan Lama
Pastikan bekalan makanan dan minuman cukup untuk bertahan selama sekurang-kurangnya tiga hari. Antara makanan yang disyorkan ialah makanan dalam tin, biskut kering dan energy bar yang mudah disimpan dan tidak perlu dimasak.
Bawa juga botol air mineral atau air yang dibungkus dalam pek kecil untuk memastikan anda mempunyai bekalan air bersih sepanjang tempoh kecemasan.
Air bersih sangat penting kerana sumber air mungkin tercemar atau terputus semasa banjir.
6. Pakaian Tambahan
Sediakan pakaian tambahan yang sesuai seperti baju hujan, sarung tangan, dan stokin. Pakaian tambahan ini boleh membantu mengekalkan keselesaan dan melindungi anda daripada suhu sejuk serta keadaan basah.
Penting juga untuk membawa tuala kecil dan pakaian dalam yang bersih untuk menjaga kebersihan diri.
7. Pelitup Muka dan Kit Kebersihan
Pelitup muka amat penting terutamanya dalam situasi bencana yang mungkin berlaku di kawasan sesak seperti pusat pemindahan. Kit kebersihan yang mengandungi sabun, tisu basah dan sanitiser tangan boleh membantu mengekalkan kebersihan diri
Ini juga mengurangkan risiko jangkitan penyakit terutamanya apabila akses kepada air bersih pada waktu itu mungkin terhad.
8. Radio mini dan Wisel
Mempunyai radio mini yang boleh dicas dengan tenaga solar atau bateri sangat berguna untuk mendengar arahan terkini dari pihak berkuasa atau laporan cuaca.
Wisel pula digunakan sebagai alat komunikasi kecemasan sekiranya anda terpisah daripada ahli keluarga atau memerlukan bantuan.
9. Selimut Kecemasan & Plastik Pelindung
Selimut kecemasan berfungsi untuk mengekalkan suhu badan manakala plastik pelindung boleh digunakan untuk melindungi diri daripada hujan atau angin kencang.
Kedua-duanya mudah dilipat dan tidak mengambil ruang yang banyak dalam beg.
Penyediaan beg kecemasan bukan sahaja penting untuk memastikan kelangsungan hidup ketika banjir, tetapi juga untuk mengekalkan keselesaan dan keselamatan anda serta keluarga.
Pastikan beg ini sentiasa dikemas kini dan disimpan di tempat yang mudah dicapai agar anda boleh mengambilnya dengan cepat jika berlaku kecemasan.
Dengan langkah yang tepat dan persediaan yang rapi, risiko banjir boleh dikurangkan dan keselamatan dapat ditingkatkan sepanjang musim tengkujuh ini.
ecentral
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Angin Monsun Timur Laut (Musim Hujan & Banjir) Di Malaysia: Kawasan Yang Berisiko & Persediaan
Baca juga: Tips Penting Untuk Ibu Hamil & Ibu Ayah Baharu Hadapi Banjir, Elak Persiapan Last Minute!
Baca juga: 6 Doa Banjir Yang Boleh Diamalkan Agar Dilindungi Dari Musibah & Banjir Segera Surut