Bakal-bakal ibu semua sudah buat persiapan pakaian untuk bayi anda? Adakah semua barang sudah lengkap? Barut baby ada sekali tak?
Haaa… Kalau anda pergi membeli-belah barang keperluan untuk anak bersama ibu anda, pasti dia akan ingatkan anda untuk beli barut bayi. Nak beli yang bertali ke yang melekat?
Penting ke ni? Barut bayi ini apa?
Isi Kandungan
Apa itu barut baby
Barut baby adalah kain yang digunakan untuk mengikat perut bayi anda. Ini adalah amalan tradisional masyarakat Melayu. Barut dipercayai dapat melindungi perut bayi dari dimasuki angin atau penyakit lain.
Walaupun ramai yang beranggapan barut baby membuatkan bayi seperti tidak selesa, sebenarnya balutan barut pada perut bayi membantu memberikan ketenangan dan kehangatan seperti di dalam kandungan ibu.
Ia membolehkan perut bayi sentiasa rasa hangat dan mampat. Ia juga membantu untuk bayi tidur dengan nyenyak.
Berapa lama bayi perlu pakai barut?
Barut ini biasanya dipakaikan pada bayi seawal usia 2 hari. Kebiasaannya, tali pusat bayi akan tertanggal pada usia bayi 7 hari. Namun begitu barut ini masih tetap dipakaikan walaupun tali pusat sudah tertanggal.
Biasanya barut dipakaikan kepada bayi sehingga usia mereka 2 bulan. Ini kerana, bahagian pusat bayi masih belum kering sepenuhnya. Juga, ada segelintir yang pakaikan barut kerana tidak mahu pusat bayi terkeluar.
Cara memakai barut baby yang betul
Untuk memakaikan barut, bayi perlu dimandikan dengan air suam dulu. Jika tali pusat bayi belum tertanggal, keringkan bahagian tersebut dengan tuala yang lembut.
Apabila tali pusat sudah kering, lumurkan bayi dengan minyak telon dan ambil barut yang sesuai dengan saiz bayi dan ikatkan dengan kemas. Ikatan tali barut tersebut hendaklah tidak terlalu ketat atau terlalu longgar.
Zaman sekarang, barut bayi juga ada disediakan dalam bentuk pelekat, jadi anda hanya perlu lekat sahaja, tak perlu ikat lagi.
Kelebihan barut bayi
- Mengelakkan dari perut kembung akibat masuk angin.
- Diperbuat dari kain kapas yang lembut dan memberikan keselesaan pada bayi anda.
- Menjaga bahagian tali pusat dari terkena gigitan semut atau serangga kecil yang lain.
- Pemakaian barut dapat mempercepatkan proses tali pusat tertanggal dan tidak menyakitkan bayi.
- Mengelakkan bayi susu secara berlebihan.
Perkara perlu elak semasa pakai barut baby
Memakaikan barut baby mungki memberikan kelebihan untuk kesihatan, tetapi awas ada perkara perlu elak semasa memakaikan barut pada bayi.
1. Elak menyapu herba semasa berbarut
Penggunaan herba yang dicampur dengan pelbagai rempah ratus mungkin boleh menyebabkan iritasi kepada kulit kerana kulit bayi sangat sensitif.
Bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku, sebaiknya sapukan sahaja dengan minyak telon bayi.
2. Tidak menutupi tunggul tali pusat
Jika tunggul tali pusat bayi masih belum tertanggal, pastikan pemakaian barut tidak menutupi bahagian tersebut. Ini kerana pemakaian barut yang berterusan akan menyebabkan lembapan terkumpul dan melambatkan tali pusat luruh.
Secara tidak langsung ia akan meningkatkan risiko jangkitan.
3. Ikatan tali barut sepatutnya tidak terlalu ketat
Pilih sahaja sama ada anda mahukan barut moden yang menggunakan pelekat atau barut tradisional jenis tali. Asalkan ikatan barut baby hendaklah tidak terlalu ketat kerana boleh menyebabkan proses tumbesaran terbantut.
Apabila anda memilih untuk membeli barut, pilih saiz yang besar sedikit agar ia boleh menutupi perut dan dada bayi.
Sekarang juga ada pelbagai pilihan corak dan warna barut bayi, pasti bayi anda kelihatan comel memakainya!
WOM , Siraplimau
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tak Salah Pakaikan Bayi Barut, Tapi Pastikan Dulu 4 Perkara Ini!
Baca juga: Ibu Hamil Buat 5 Perkara Ini Supaya Persediaan Bersalin Lebih Tenang
Baca juga: Sebelum Excited Beli Baju Bayi Baru Lahir, Ibu Semak Perkara Ini Supaya Tidak Membazir!