Setiap proses membesarkan si manja pasti akan ada cabarannya. Namun dugaan yang terbesar adalah apabila anak jatuh sakit dan memerlukan penjagaan rapi. Jika mereka kurang sihat selama 2,3 hari mungkin masih boleh dikira sebagai normal, bagaimana kalau mengalami batuk kokol atau batuk berpanjangan?
Ibu ayah hendaklah sentiasa peka dan waspada dengan membawa si manja mendapatkan rawatan segera. Siapa sangka masalah batuk yang dihadapi boleh meragut nyawanya.
Bayi umur 1 bulan terkena serangan batuk berpanjangan
Seorang bapa, Azhar Azif telah terpanggil untuk berkongsi kisah anaknya yang terkena serangan batuk kokol di Facebook. Tujuan perkongsian ini dilakukan adalah untuk memberi panduan kepada ibu bapa di luar sana tentang penyakit ini.
Muhammad Fateh, anak kepada Azhar Azif yang baru berusia satu bulan telah dijangkiti penyakit batuk kokol. Ketika Fateh mengalami tanda-tanda ringan penyakit ini, Azhar telah membawanya ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebanyak dua kali dan Fateh telah diberikan neb/gas.
Tapi keadaan Fateh tidak semakin pulih dan dia mengalami kesukaran bernafas sehingga nafasnya terhenti! Selepas isteri Azhar menepuk belakang badan Fateh beberapa kali, baru Fateh kembali bernafas semula.
Fateh kemudian dikejarkan ke hospital dan didiagnos menghidap batuk kokol. Dia dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dan bergantung sepenuhnya dengan bantuan alat pernafasan dan antibiotik yang diberikan secara berperingkat.
Azhar juga berkata yang dia tak menyalahkan pihak klinik seratus peratus kerana sebagai ibu bapa, dia perlu tahu tentang penyakit-penyakit berbahaya yang boleh dihidapi oleh anak sebagai langkah berjaga-jaga.
Punca serangan batuk berpanjangan
Batuk kokol atau Pertussis berlaku akibat jangkitan kuman bordotella pertussis di saluran pernafasan yang menyebabkan batuk berpanjangan dan kerap. Di sesetengah negara, ia juga dipanggil “batuk 100 hari”.
Penyakit ini adalah salah satu punca yang menyebabkan kematian kanak-kanak berusia 2 tahun ke bawah.
Ia boleh dijangkiti melalui titisan air yang terhasil dari individu yang dijangkiti penyakit ini. Bakteria kemudian akan masuk ke dalam sel yang menyelaputi saluran pernafasan dari kawasan hidung dan tekak hingga ke bahagian paru-paru.
Batuk kokol mudah merebak dan akan menjangkiti 80%-90% individu yang terdedah dengan jangkitan ini.
Tanda-tanda si manja mengalami masalah batuk kokol
Batuk kokol biasanya berlaku selama 6 minggu dan terbahagi kepada tiga fasa:
Fasa pertama: Fasa Catarrhal
Fasa keradangan di bahagian hidung dan tekak. Simptom yang akan dialami:
- Hidung tersumbat
- Selsema
- Bersin
- Keluar air mata
- Demam
Fasa kedua: Fasa Paroxysmal
Di peringkat ini, pesakit akan mengalami batuk yang teruk dan berpanjangan selama beberapa minit diikuti dengan nafas berbunyi (wheezing). Antara simptom:
- Muntah ketika batuk
- Muka berubah menjadi kemerahan atau kebiruan semasa batuk
Fasa ketiga: Fasa sembuh
Pada peringkat ini, pesakit akan kurang batuk tapi batuk masih berpanjangan. Ia mungkin akan mengambil masa berminggu-minggu untuk sembuh.
Komplikasi yang boleh terjadi akibat batuk berpanjangan
- Jangkitan kuman pada paru-paru
- Hypoxic encephalopathy – masalah otak akibat kekurangan oksigen
- Jangkitan kuman pada tengah telinga
- Hidung berdarah
- Hernia
- Sawan
- Pendarahan otak
Jika anak anda menunjukkan tanda-tanda batuk kokol, segera bawa mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan untuk mengelakkan dari mendapat sebarang komplikasi dan cepat mendapat rawatan awal.
Adalah sangat penting untuk menerima rawatan awal untuk mengelakkan komplikasi yang tidak diingini. Bayi biasanya akan menerima rawatan rapi di pusat perubatan kerana golongan ini memerlukan perhatian yang teliti manakala golongan remaja dan dewasa boleh menerima rawatan di rumah.
Erythromycin merupakan antibiotik yang boleh memusnahkan bakteria Bordetella Pertussis yang terdapat dalam saluran penafasan. Antibiotik seharusnya diberikan secepat mungkin untuk mencegahkan wabak penyakit ini. Rawatan antibiotik juga merupakan cara hilangkan batuk yang paling berkesan bagi batuk yang disebabkan oleh bakteria.
Sesiapa yang mempunyai kontak rapat dalam masa tiga minggu boleh mengambil antibiotik tersebut sebagai ubat pencegahan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber: Facebook, e-Diagnosa
Baca juga: ”Kepalanya Tersepit Di Celah Besi Katil,” Bayi 7 Bulan Maut Ketika Penjaganya Berbuka Puasa