Sekarang sudah masuk musim cuti sekolah, ramai ibu bapa memilih untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak di rumah. Namun, sesekali apa salahnya bertukar angin dengan bawa anak bercuti makan angin.
Melancong merupakan salah satu aktiviti yang amat menyeronokkan malah banyak memberi manfaat kepada kita terutamanya pada golongan kanak-kanak yang masih dalam proses untuk membesar.
Selain itu, para psikologi juga ada menjelaskan bahawa kebaikan membawa anak-anak pergi bercuti adalah lebih berbaloi berbanding pemberian hadiah dan mainan.
Kelebihan Bawa Anak Bercuti
Ini adalah enam kelebihan bawa anak bercuti :
1. Anak dapat cipta memori zaman kanak-kanak
Menurut kajian yang dilakukan oleh Holiday Association di United Kingdom, majoriti responden bersetuju memori terindah zaman kanak-kanak mereka adalah sewaktu pergi bercuti dengan ahli keluarga.
Kanak-kanak akan menghargai masa berharga yang anda luangkan bersama mereka di luar terutama semasa di tempat baharu ataupun tempat percutian.
Dengan membawa mereka bercuti, anak anda akan dapat mencipta memori baharu bersama ibu bapa mereka di samping memberi pengalaman bermakna dalam kehidupan mereka.
Anak-anak sekejap sahaja akan besar, jika tak bawa mereka bercuti sekarang nanti dah masuk asrama, dah kerja dan berkahwin. Alahkah ruginya jika anak-anak tiada kenangan indah semasa zaman kanak-kanak mereka.
2. Anak jadi lebih bijak dengan IQ tinggi
Kanak-kanak yang terdedah dengan pelbagai persekitaran mempunyai IQ yang lebih tinggi berbanding yang hanya terperuk di rumah. Kepelbagaian persekitaran ini akan memberi sumber interaksi dari segi fizikal, sosial dan pemikiran pada anak-anak.
Dengan membawa anak bercuti boleh dikatakan dapat mengasah konsentrasi, menajamkan pemerhatian dan kemahiran untuk anak-anak belajar.
Dengan bercuti juga, anda boleh membantu si kecil untuk menikmati tempat baru, mencuba makanan baru dan aktiviti baharu yang tidak biasa dilakukan dalam rutin harian mereka. Semua ini anak anda boleh jadikan bahan dalam pembelajaran mereka nanti, selain memberikan pengalaman baharu dalam kehidupan kanak-kanak.
3. Tambah kebahagiaan dan rasa syukur
Melihat pemandangan dan menghayati keindahan yang luar dari kebiasaan, akan mencetuskan lebih banyak kebahagiaan buat keluarga. Kita akan mensyukuri nikmat dan mengagumi betapa luasnya dunia yang Allah bentangkan buat kita.
Di situ anak-anak belajar erti bersyukur.
4. Lebih mengenali karakter anak-anak dan pasangan
Waktu ini juga ibu bapa akan lebih mengenali dan memahami karakter pada anak. Anak juga dapat mengeratkan lagi hubungan dengan mak ayah secara langsung.
Hubungan keluarga bertambah erat dan kasih sayang terjalin mekar.
5. Tubuh badan dapat dicas semula dan lebih bertenaga
Bukan ibu bapa sahaja yang akan merasai nikmat keseronokan bercuti. Kanak-kanak juga akan memahami bahawa percutian itu adalah waktu mereka berehat dan lari sebentar daripada rutin harian mereka di sekolah.
Bercuti bersama keluarga memberikan perspektif kehidupan berbeza untuk si kecil, di mana dia belajar bahawa setiap orang (tidak kira dewasa atau kanak-kanak) memerlukan masa rehat dan berkumpul bersama keluarga.
Selain buatkan family bonding lebih rapat dan akrab, anak-anak juga pasti lebih gembira. Emosinya juga lebih terjaga serta boleh buatkan anak jadi lebih positif kerana bila kita dalam mood gembira, pelbagai hormon gembira akan terembes.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : 7 Idea Eksperimen Sains Yang Mudah Dibuat Di Rumah, Aktiviti Best Cuti Sekolah
Baca juga : 5 Tempat Camping Site Terbaik Di Selangor, Bawa Anak Kecil ‘Healing’ Dengan Alam Bila Tiba Cuti Sekolah