Bila tiba musim cuti persekolahan, mesti ramai ibu bapa merancang untuk membawa anak-anak mereka bercuti atau melakukan aktiviti santai dan menyeronokkan. Jika ada yang masih tak tahu nak ke mana, kami cadangkan anda bawa anak-anak melawat tempat bersejarah di Malaysia yang tak kurang hebatnya.
Sempena sambutan kemerdekaan bulan ini, jom bawa anak-anak melawat ke beberapa tempat bersejarah di Malaysia yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi kepada ketamadunan negara kita yang akan menyemarakkan lagi rasa sayang pada tanah air, lebih-lebih lagi buat generasi muda.
1. Kota A Famosa (Melaka)

Melaka mempunyai ibu negeri yang terkenal iaitu Bandaraya Melaka yang diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008. Di mana, kawasan tersebut kaya dengan lokasi bersejarah seperti A Famosa.
“A Famosa” bererti “Yang Terkenal” dalam Bahasa Portugis. Di mana, di situ mempunyai gerbang “Porta de Santiago” yang merupakan satu-satunya bagian benteng yang masih bertahan hingga saat ini.
Selain itu, A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.
2. Muzium Negara (Kuala Lumpur)

Muzium Negara ialah sebuah muzium yang terletak berhampiran Taman Tasik Perdana di Jalan Damansara di Kuala Lumpur, Malaysia. Muzium ini memberi gambaran keseluruhan sejarah dan budaya masyarakat di Malaysia yang dibangunkan di atas tapak Muzium Selangor semasa tahun 1906-1945.
Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra Al-Haj ibni Almarhum Syed Putra Al-Haj ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada tahun 1963. Reka bentuk bangunan Muzium Negara adalah berdasarkan seni bina istana Raja-raja Melayu dan masyarakat Melayu tempatan.
3. Kompleks Sejarah Pasir Salak (Perak)

Terletak lebih kurang 70 kilometer dari Ipoh, Kompleks Sejarah Pasir Salak didirikan untuk memberi penghormatan kepada pahlawan-pahlawan Melayu seperti Datuk Sagor dan Datuk Maharaja Lela yang mengetuai penduduk tempatan menentang pentadbiran penjajah British pada ketika itu.
Terdapat satu memorial didirikan khas untuk menghargai pengorbanan mereka dalam bentuk sundang atau pedang, dan juga satu replika berbentuk pisau yang digunakan untuk membunuh J.W.W Birch.
Tarikan lain yang terdapat di kompleks itu juga adalah monumen J.W.W Birch, kubur Sipuntum yang didakwa melakukan pembunuhan tersebut, kubu Datuk Maharaja Lela, meriam Lela Rentaka yang digunakan dalam usaha penentangan penjajah di zaman itu, dan dua Rumau Kutai, rumah tradisi orang Perak, yang dipenuhi dengan artifak sejarah dan kebudayaan tempatan negeri Perak.
4. Istana Seri Menanti (Negeri Sembilan)

Istana ini penuh dengan keunikan dan keindahan yang juga digelar ikon keluarga Diraja Negeri Sembilan. Istana ini masih kukuh tersergam menyaksikan arus pembangunan dan memendam segala rahsia silam.
Walaupun pembangunan pusat berlaku, tetapi ianya tetap dengan keaslian bentuknya sebagai sebuah istana yang menjadi lambang kebudayaan Melayu yang indah dan mempesonakan.
Seri Menanti dikatakan mendapat nama daripada tiga batang padi yang tumbuh di kawasan itu yang dinamakan Padi Menanti atau ‘semangat padi yang menanti’. Dalam bahasa Jawa, padi bererti `Seri’, lalu ia diubah nama kepada Seri Menanti. Di kawasan tiga batang padi ini juga dikatakan Istana Seri Menanti didirikan.
Istana setinggi empat tingkat ini pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato’ Panglima Sultan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari Public Works Department Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.
5. Muzium Perang (Pulau Pinang)

Muzium Perang Pulau Pinang terletak di atas Bukit Maung. Ia dibina untuk memperingati kompleks pertahanan asal yang dibina oleh British sebelum Perang Dunia II dimana ia menjadi kubu pertahanan semasa perang. Hari ini, ia menjadi kompleks sejarah yang mempamerkan kelengkapan perang dan garis masa sejarah perang dunia kedua yang terjadi di negara kita.
Muzium perang itu ialah satu penghormatan terhadap dedikasi mereka yang pernah berkhidmat dan terkorban, mempertahankan negara tercinta ini.
Jika anda ke sini, cuba berpakaian cerah dan selesa, tidak pakai pakaian tebal, pakai kasut yang selesa, pakai topi, bawa teropong, semburan penghalau serangga, buku nota dan pen untuk mencatit perkara-perkara penting yang diterangkan kepada anda.
6. Candi Lembah Bujang (Kedah)

Penemuan artifak bersejarah membuktikan Lembah Bujang merupakan pelabuhan antarabangsa dan pusat perdagangan terkenal menerima kedatangan pedagang China, Arab, India dan Kepulauan Melayu.
Antara yang diperdagangkan termasuklah rempah-ratus, seramik dan manik kaca sehingga menjadikan ia sebagai pusat perdagangan Asia Tenggara terkenal pada kurun kedua hingga kurun ke-14 Masihi.
Pengumpul sejarah lisan, Rosini Hashim berkata, artifak yang ada di Muzium Arkeologi Lembah Bujang hasil ekskavasi di kawasan seluas kira-kira 450 kilometer persegi bermula dari Kota Sarang Semut sehinggalah ke Kota Aur, Seberang Prai Utara merupakan sejarah bernilai yang perlu dihargai.
7. Bangunan Sultan Abdul Samad (Kuala Lumpur)

Seperti namanya, bangunan ini telah mengambil nama Sultan Abdul Samad, sempena nama Sultan Selangor pada masa ia mula dibina 1894. Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di hadapan Dataran Merdeka adalah mercu tanda bagi bandar raya Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia.
Jika dilihat, bangunan ini menerapkan konsep seni bina Moghul dan Moor yang mempunyai nilai sejarah sangat bernilai untuk dihayati oleh rakyat Malaysia terutama golongan muda.
Selain diterangi dengan limpahan lampu neon berwarna-warni pada waktu malam, tempat bersejarah di Malaysia ini juga selalu menjadi lokasi masyarakat pelbagai kaum termasuk pelancong asing untuk melihat pertunjukan bunga api sebagai simbolik sambutan Hari Kemerdekaan.
8. Masjid Jamek Sultan Ibrahim (Johor)

Masjid Jamek Sultan Ibrahim, juga dikenali sebagai Masjid Jamek Muar terletak bersebelahan dengan Istana Sultan Johor yang terletak di tepi Sungai Muar, di Bandar Muar. Kerja pembinaan bermula pada 21 Rejab 1343 Hijrah, bersamaan dengan 15 Februari 1925 dan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.
Masjid berbentuk empat segi dengan lima bumbung berbentuk rabung (bumbung perabung lima) ini direka oleh Sulaiman bin Haji Alias, seorang pelukis di Johor. Masjid yang indah dengan gabungan pengaruh barat tradisional ini telah dirasmikan oleh KDYMM Tengku Ismail Tengku Mahkota Johor pada 28hb Februari 1930.
Nama asal masjid ini ialah Masjid Maharani Muar tetapi pada tahun 1984 ia telah ditukar sempena sambutan ulang tahun ke-100 pekan Muar.
+Sumber
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Faedah Melancong Bukan Hanya Beri Keseronokan Buat Anda & Keluarga, Tapi Lebih Dari Itu
Baca juga : Aktiviti Cuti Sekolah Yang Paling Menarik Untuk Anak Anda
Baca juga : Sebelum Ke Mana-Mana Cuti Sekolah Ini, Ambil Tahu Penyakit Yang Tengah Tular Berikut!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!