Malang sememangnya tidak berbau. Meskipun ibu ayah sudah menjaga anak yang masih kecil sebaiknya, namun siapalah kita untuk menolak takdir sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti bayi 11 bulan ini.
Hampir setiap hari kes kematian melibatkan bayi dan kanak-kanak telah dilaporkan terjadi. Justeru ibu ayah dinasihatkan untuk mengambil iktibar serta langkah berjaga-jaga agar kejadian sama tidak berulang.
Bayi 11 bulan terjatuh dari tingkat 3 bangunan
Menurut laporan oleh Kosmo, seorang bayi 11 bulan dilaporkan meninggal dunia setelah terjatuh dari tingkap bilik di tingkat tiga, blok D, PPR Sri Aman, Jalan Aman Putra, Kuala Lumpur.
Berdasarkan keterangan oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihak polis menerima laporan berkenaan kematian mengejut bayi perempuan berkenaan sekitar jam 6 petang.
Pasukan polis dari Balai Polis Jinjang telah menjalankan siasatan di tempat kejadian.
”Hasil siasatan awal mendapati mangsa dikatakan sedang bermain bersama abang, kakak dan sepupunya di atas katil bahagian atas bersebelahan tingkap yang berada dalam bilik pertama rumah.”
”Pengadu memaklumkan katil telah dirapatkan ke bahagian tingkap untuk mengemas bilik tersebut dan siasatan polis mendapati tingkap di dalam bilik berkenaan tidak mempunyai besi pagar. Katil telah diletakkan di tengah tingkap tanpa sebarang halangan.” jelasnya.
Siasatan lanjut juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam insiden berkenaan.
”Ibu mangsa juga telah membawa bayi 11 buln tersebut ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan. Namun setelah tiba di Unit Kecemasan, pengawai perubatan telah mengesahkan mangsa meninggal dunia.”
”Hasil laporan bedah siasat yang dilakukan mendapati kematian adalah berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi. Kes juga telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).” katanya.
Tips keselamatan ketika di tempat tidur
Pakar Bayi dan Kanak-Kanak, Dr Lim menegaskan salah satu nasihat penting yang beliau tegaskan kepada semua ibu ayah baru sebelum balik dari hospital adalah tentang keselamatan di tempat tidur.
Kebanyakannya memberikan reaksi terkejut dengan saranannya dan ada juga yang keliru kerana anak-anak sebelum itu sihat sahaja.
Kes kematian bayi yang berpunca dari ruang tidur ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Kebanyakannya adalah melibatkan si manja berusia kurang daripada 6 bulan, terutamanya pada umur 2 hingga 4 bulan.
Antara tips keselamatan di tempat tidur bagi ibu ayah yang memiliki anak masih kecil ialah:
#1. Tidur bilik yang sama sebelum anak umur 1 tahun
Tidur bilik yang sama bersama si manja mampu mengurangkan 50 peratus risiko SIDS. Bukan itu sahaja, ia membolehkan penyusuan dan pemantauan lebih senang. Ibu ayah hendaklah menyediakan tempat tidur bayi sendiri sama ada katil, playpen, kot atau tilamnya sendiri.
#2. Pastikan persekitaran adalah selamat dan bersih
Ketinggian tempat tidur bayi turut memainkan peranan. Hal ini kerana si manja yang semakin membesar biasanya akan lebih aktif bergerak, memanjat dan melompat. Ibu ayah juga hendaklah memastikan kedudukan katil tidak berada terlalu dekat dengan tingkap atau pintu kerana ia boleh mengundang risiko bahaya.
#3. Elakkan bantal, selimut atau mainan dalam kot bayi
Tidak seperti orang dewasa, bayi sebenarnya tidak memerlukan bantal ketika ingin tidur. Penggunaan bantal, selimut atau mainan berupaya meningkatkan risiko bayi mati lemas tanpa ibu ayah sedar.
Selain itu anda juga hendaklah memastikan bilik tidur tidak berada tepat di bawah cahaya matahari dan memiliki sistem pengaliran udara yang baik. Sekiranya menggunakan penghawa dingin, kekalkan susu pada 24 hingga 26 darjah Celsius. Pilih pakaian yang bersesuaian iaitu tidak terlalu nipis dan terlalu longgar.
#4. JANGAN rapatkan katil/perabot di tepi tingkap
Sama juga seperti perabot lain, elakkan meletakkan perabot yang anak boleh panjat berdekatan dengan tingkap. Jika tiada pilihan, pasang gril keselamatan atau letakkan alat keselamatan pada tingkap seperti penghadang.
Jika suami seorang perokok, nasihatkannya agar tidak merokok di dalam rumah. Tindakan ini boleh meningkatkan risiko jangkitan kuman pada paru-paru bayi. Jauhkan si manja anda dari duduk berdekatan dengan individu yang tidak sihat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: ”Kepalanya Tersepit Di Celah Besi Katil,”- Bayi 7 Bulan Maut Ketika Penjaganya Berbuka Puasa