Ibu-ibu pernah mesti familiar dengan ayat “lagi rumah bersepah lagi happy anak-anak.” Tapi tahu tak itu semua alasan ibu-ibu nak tak nak bersihkan rumah? Memanglah rumah akan bersepah setiap kali anak-anak bermain, tapi itu tidak bermakna ia perlu kekal begitu.
Seperti daripada perkongsian Uswatun Hasanah di Laman Facebook The Baby Language, beliau berkongsi tentang mitos ini dan memberi penjelasan yang kukuh akan bagaimana tidak berkaitannya rumah bersepah dengan anak happy ini.
Penting untuk ibu ayah tahu sebenarnya persekitaran rumah yang bersih dan rumah yang sentiasa kemas bagus untuk kesihatan mental dan fizikal anak-anak dan juga ibu bapa.
Rumah Bersepah Perlu Dikemas Sebaik Anak Habis Bermain
Kata Uswatun Hasanah dari The Baby Language, ibu-ibu kerap kali memberi alasan yang menyatakan rumah bersepah adalah kerana anak-anak seronok bermain dan sedang mencipta memori. Lantai dibiar melekit, baju kotor menimbun, pinggan tak dibasush.
Walhal itu semua adalah soal disiplin ibu-ibu. Setiap kekotoran dan apa yang bersepah itu anda perlulah bersihkan rumah dengan sempurna sebaik anak habis main.
“Please excuse the mess,the children are making memories ” ( Maaf kerana keadaan bersepah, anak-anak sedang membuat memori).
“Good moms have: sticky floors, messy kitchen, laundry piles, dirty ovens and happy kids “(Ibu yang baik mempunyai: lantai yang melekit, dapur yang bersepah, baju kotor yang menimbun, ketuhar yang kotor dan anak- anak yang gembira).
Benarkah anak-anak yang duduk di rumah yang kotor dan bersepah itu gembira? Adakah keadaan bersepah dan kotor itu menggembirakan anak-anak? Bagaimana pula rumah yang kemas dan bersih itu membuat anak- anak tak gembira?
Adakah rumah yang kemas itu tanda anak yang tinggal di dalamnya tidak berpeluang bebas menjadi kanak-kanak? Seperti membuat sepah, menjadi kreatif, mengguna imaginasi dan meneroka?
Be careful mommy. Jangan cepat jadikan anak-anak sebagai alasan untuk mewajarkan tindakan kita.
Pepatah ada berkata, “Cleaning the house while your kids are still growing is like shoveling the walk before it stops snowing” ( Membersihkan rumah ketika anak- anak masih lagi membesar ibarat mengaup salji di jalanan sebelum musim salji berakhir).
Apa maksudnya? Sepanjang musim ‘winter’, salji memang akan turun tanpa henti lalu menyebabkan jalan dilitupi salji setiap masa hingga menebal seiring masa. Namun, demi keselamatan dan kemudahan, kita tiada pilihan selain terus membersih dan mengaut salji dari atas jalanan walau kita tahu keadaan tidak akan berubah selama salji masih turun.
Sama halnya dengan anak-anak. Ya,fitrah anak itu bermain, meneroka, membuat onar dan bereksperimen. Ia tidak akan berhenti selama mereka bergelar anak kecil. Namun,adakah ia harus jadi alasan untuk kita membiar keadaan menjadi kotor ,teruk dan bersepah demi fitrah ini?.
Bila Bersihkan Rumah Nanti Bersepah Balik
Mungkin ada yang berkata, “Buat apa nak bersihkan rumah, nanti kejap lagi anak main semula, sepah jugak balik..” Wow..jadi adakah okay untuk kita berkata begini untuk hal-hal seperti di bawah ini pula?:
- Buat apa nak kemas katil, malam nanti nak tidur jugak.
- Buat apa nak kemas dapur, kejap lagi nak masak jugak
- Buat apa nak cuci baju, nanti pakai kotor jugak
- Buat apa nak sental toilet, memang selalu orang guna jugak
Come on.. ada garis pemisahnya antara membuat alasan kerana malas dan kerana keadaaan memerlukan ia jadi begitu.
Bermainlah semahunya ketika anak mahu bermain: tuang keluar semua mainan dari kotaknya, taburkan semua krayon dan pensel untuk melukis, lompat-berlari-bersembunyilah di setiap ceruk rumah ketika bermain perang-perang, punggahlah semua bantal, kusyen dan sofa untuk bina kubu dan rumah ‘olok-olok’… silakan semuanya.
Namun, bila selesai bermain, ajarlah anak bahawa keadaan harus kembali kemas untuk rumah berfungsi. Rumah bukan semata-mata tempat untuk bermain dan bergembira, tetapi rumah juga tempat berkerja, belajar (mengulangkaji), beribadat, meraikan tetamu dan rakan (berkumpul) juga tempat menenangkan fikiran. Rumah harus jadi tempat paling mahu ditujui oleh semua ahlinya.
Rumah Yang Kemas Menjamin Keselesaan Keluarga
Rumah yang kemas lebih selesa untuk didudukilebih menjamin kesihatan anak-anak. Bukan lah bermaksud rumah harus setiap hari licin ke tahap tiada secalit habuk. TIDAK! Tak perlu menjadi OCD untuk jadi pengemas. Ini kena faham. Kalau tidak, ramai pula yang sarkastik dalam hal ini.
(Nota: harap faham bahawa kenyataan ini bukan untuk mempersenda penghidap OCD. Terma OCD diguna hanya untuk ‘membalas kembali’ dakwaan sebahagian orang yang menyangka bahawa ‘kemas’ yang disebut dalam hal ini bermaksud seperti ciri ketelitian OCD)
Tiada masalah untuk membiar pinggan mangkuk berlonggok di sinki hingga tengahari kerana anda mahu melayan anak bermain. Tiada masalah membiar baju sebesen tak berlipat hingga ke tengah minggu kerana menjaga anak-anak yang demam. Tiada masalah dapur dan tandas tak sempat di cuci hingga ke hujung minggu kerana terlalu banyak urusan kerja sekolah, projek Sains dan seni anak-anak yang harus dibantu.
Ini keadaan sementara yang dapat difahami. Ia menunjukkan seseorang itu tahu memberi fokus pada apa yang penting dahulu. Mencari ‘balance’ atau keseimbangan itu kuncinya. Ia lain benar dengan membuat alasan kerana malas dan tak ingin terlibat langsung atau tak mahu berfikir langsung untuk menyelesaikannya!.
Lebih penting, anak-anak harus jadi sebahagian dari penyelesaian masalah, bukan sebahagian dari masalah semata-mata. Memiliki rumah yang kemas sementara memiliki anak kecil itu bukan sesuatu yang mustahil.
Menurut pakar, menjadi fitrah anak kecil untuk meniru dan merasa bangga dapat meniru kehebatan ibubapa (atau orang dewasa) yang dekat dihatinya. Mereka juga mahu merasa ‘berguna’, menyumbang sesuatu kepada keluarga, merasa hebat dengan pencapaiannya hingga terasa dia itu memang sebahagian dari keluarga.
Maka, amat normal kita melihat anak kecil sibuk-sibuk mahu menyapu rumah, sibuk-sibuk mahu mendodoi adik, sibuk-sibuk mahu mengelap meja,sibuk-sibuk mahu tolong masak dan macam-macam lagi. Jadi, raikan lah sikap anak kecil ini.
Tidak benar jika ada yang berpendapat rumah akan sentiasa bersepah selama anak belum besar. Malah, sebenarnya, kenyataan seperti itu hanya merendahkan kemampuan anak kecil: seolah-olah mereka adalah makhluk primitif yang tak boleh dibentuk dan tak faham sivik.
Didik Anak Untuk Menolong Bersihkan Rumah
Apabila kita meminta tolong anak-anak melakukan kerja rumah ia bukanlah ‘child labour’, ia sebenarnya sangat penting untuk perkembangan anak-anak dalam membentuk menjadi orang yang bertanggungjawab. Ini antara kebaikannya:
- Anak merasa dia turut berfungsi dan penting untuk menyumbang kepada keluarga. Keluarga adalah satu pasukan penting.
- Ibu bapa melengkapkan anak dengan kemahiran hidup yang diperlukannya sepanjang hayat. Bukankah ibu bapa tiada selamanya untuk anak?.
- Anak belajar tentang mengambil tanggungjawab. Anak perlu tahu bahawa jika semua orang bangkit memegang tanggungjawab, semua urusan menjadi ringan.
- Anak belajar menilai dan menghargai kerja keras/susah. Anak perlu tahu,dalam hidup nya, ada orang yang bertungkus lumus memastikan dia dapat tinggal di tempat yang cukup selesa untuk dipanggil rumah, ada makan minum dan pakaian yang tersedia dan ianya satu komitmen yang tak harus diperlekeh.
- Anak mencontohi sikap ibu ayah. Ia adalah pelajaran yang akan anak bawa dalam dirinya sampai bila-bila.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Baby Language
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!