Anak-anak kecil mempunyai jiwa yang sering ingin mengekplorasi dan mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Oleh kerana itulah, di mana-mana sahaja, mereka mahu meneroka, menyentuh, melihat, bermain, bereksperimen itu dan ini. Sememangnya fitrah anak-anak kecil. Jadi, sudah tentulah ruang sekeliling rumah bersepah. Namun, kita tidak boleh menghalang anak-anak berkreativiti, selama ianya selamat dan tidak berbahaya.
Baru-baru ini, tular sebuah artikel yang menyatakan bahawa ‘rumah bersepah itu petandanya anak bijak‘. Sebenarnya anda tidak boleh tersenyum gembira dengan pernyataan tersebut. Sampai bila ibu bapa mahu membiarkan rumah bersepah?
Ada waktunya ibu bapa tidak boleh hanya menutup mata melihat keadaan rumah yang sebegitu. Nanti lama-kelamaan kita pula dilihat sebagai pengotor dan pemalas. Namun juga, ibu bapa juga tidak boleh menjadi ‘tukang kemas’ setiap kali rumah bersepah akibat perbuatan anak-anak.
Rumah Bersepah Kerana Anak-Anak? Ini 3 Tips Setiap Ibu Bapa Harus Cuba
Beberapa perkara kita boleh jadikan panduan untuk memiliki kediaman yang kemas dan bersih walaupun ramai anak-anak kecil.
1. Rangsang
Seawal umur 2 tahun, anak-anak sudah pandai menerima dan memahami setiap arahan. Jadikan kesempatan ini untuk melatih anak anda untuk melakukannya. Ini boleh dimulakan dengan mengajaknya mengemas bersama-sama dengan anda.
Jadikan ini sebagai momen yang menyeronokkan. Contohnya, ambil anak patungnya dan buat seolah-olah ia berjalan dan mahu masuk tidur ke dalam kotak simpanan mainan. “Kakak, tengok ni, doll dah mengantuk. Warghh.. dia dah menguaplah! Jom tidurkan dia dalam kotak ni”.
Sama-sama dengan anak anda ambil blok mainan dan masukkan ke tempat simpanan sambil belajar mengira. Buat lakonan dengan ceria untuk mengambil perhatian anak, dan anak akan berasa seronok.
2. Puji dan dorong
Anak‐anak kecil, malah kita sendiri sebagai orang dewasa suka dipuji. Pujian adalah strategi disiplin yang mudah, tetapi berkesan yang meningkatkan tingkah laku yang baik. Tetapi pujian tersebut mestilah kena dengan cara, tempat dan waktunya.
Para ahli psikologi berpendapat, memberi pujian kepada anak adalah salah satu cara mendidik peribadi yang baik.
Sebaliknya, jika pujian diberi pada keadaan yang kurang tepat, ia akan membuatkan anak-anak terlalu bergantung kepada pujian dan menurunkan motivasi anak-anak.
Puji anak anda apabila dia pandai mengemas mainan selepas bermain. Puji hasil kerjanya walaupun tidak seberapa kemas, setanding dengan umurnya. “Kakak kemas dulu mainan atas meja ni, dah siap tunjuk kepada ibu ya?” Anak saya suka menunjukkan hasil kerja mengemasnya kepada saya. “Ibu, tengok ni. Surprise!!”, katanya setelah siap mengemas.
Kemudian saya akan buat seperti teruja gembira, “Wahh.. pandainya Kakak kemas..” Wajahnya bertukar menjadi gembira. Bermaksud ‘self esteem‘ telah meningkat. Kadang‐kala ada sedikit lagi barang yang bersepah, saya tetap beri pujian dan menyambung ayat dengan “Jom kita kemas lagi, ada lagi sikit lagi ni”.
3. Disiplin
Ibu bapa harus membuat perkara nombor 1 dan 2 berulang‐ulang kali.
Jangan marah kerana anak‐anak kecil perlukan masa untuk memahami perkara yang baru dipelajari. Beri masa yang cukup untuk mereka mengemas.
Tetapi, tugas mengemas itu harus disiapkan juga, tidak kira apa. Beri arahan dengan tegas berulang kali apabila anak membuat sepah. Perkara ini, apabila dijadikan sebagai rutin, anak‐anak akan jadi terbiasa dan tidak terbeban untuk melakukannya.
Ibu bapa haruslah bersabar dalam mendidik dan mendisiplinkan anak dalam perkara ini. Semoga rumah tidak lagi bersepah dan ibu bapa tidak lagi penat menjadi ‘tukang kemas’.
Selamat mencuba.
Artikel ini ditulis oleh Farah Suraya Md Nasrudin. Penulis merupakan seorang pensyarah kanan di sebuah universiti awam. Dia sangat menyukai topik keibubapaan dan juga merupakan ibu kepada 3 orang anak.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Jom Bongkar 5 Rahsia Bagaimana Cara Kemas Rumah Agar Selalu Nampak Teratur Saja!
Baca juga: Rumah Tak Terurus, Suami Cari Pasal? Beri Dia Tips Ini Untuk Seri Rumah Tangga!
Baca juga: Buat Sendiri Rak Mainan Anak, Modal Tak Sampai RM30, Rumah Pun Kemas!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!