Setiap pasangan yang menantikan cahaya mata pastinya mengharapkan bayi dilahirkan dengan sihat dan sempurna. Namun tidak semua dapat merasainya, apabila diberikan ujian kelahiran bayi kepala dua pada satu badan.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Bayi kepala dua dan tiga tangan telah mengejutkan pihak hospital
- Bayi kepala dua berisiko kelahiran mati
- Cara menjaga kehamilan agar tetap sihat dari trimester pertama
Bagi mana-mana ibu ayah, pastinya ia perkara yang sukar untuk diterima. Lebih-lebih lagi melihatkan keadaan sedemikian berlaku pada anak terlalu kecil.
Bayi kepala dua dan tiga tangan telah mengejutkan pihak hospital
Seorang bayi telah mengejutkan ibu ayahnya dan doktor selepas dia dilahirkan dengan dua kepala. Sebelum ini mereka telah diberitahu bakal menimang cahaya mata kembar, namun hal sebaliknya telah terjadi.
Kelahiran yang mengejutkan itu berlaku di sebuah hospital di Ratam, India, di mana pasangan suami isteri menjangkakan dan berharap mereka diberi kejutan menggembirakan dengan kelahiran bayi kembar semasa bersalin.
Wanita berkenaan, Shaheen Khan dan suaminya, Sohail telah dimaklumkan pada awal kehamilan mereka bakal menimang cahaya mata kembar.
Walau bagaimanapun sebaik sahaja bersalin, bayi berkenaan ada dua kepala dan tiga lengan.
Tangan yang ketiga menjulur ke bahagian belakang bayi di antara dua kepalanya.
Kelahiran yang mengejutkan itu adalah disebabkan oleh kecacatan bayi jarang berlaku. Ia dikenali sebagai dicephalic parapagus, dengan hanya sebilangan kecil sahaja kelahiran dapat bertahan hidup sehingga dewasa.
Bayi kepala dua berisiko kelahiran mati
Biasanya bayi yang mengalami masalah ini memiliki keadaan di mana dua kepala bercantum pada satu bahagian tubuh. Selalunya, ia boleh mengakibatkan risiko kelahiran mati (stillbirth).
Untuk rawatan lanjut, ibu dan bayi masih ditahan di hospital. Mereka juga telah memberikan nama bayi malang berkenaan dengan nama Indore.
Seorang doktor telah mengulas mengenai kelahiran mengejutkan di hospital ini. Beliau mengatakan bahawa perancangan masa akan datang mungkin pihaknya mempertimbangkan sama ada bayi berkenaan perlu melalui proses pembedahan ataupun tidak.
”Kes seperti ini amat jarang berlaku. Keadaan bayi juga masih tidak begitu stabil memandangkan baru beberapa hari dia dilahirkan.”
”Disebabkan inilah kami memastikan mereka mendapat pemerhatian yang rapi oleh pihak hospital. Kami juga tidak merancang untuk melakukan sebarang pembedahan ke atas pesakit memandangkan usianya yang baru lahir.” jelas Dr Lahoti.
Cara menjaga kehamilan agar tetap sihat dari trimester pertama
Kesihatan tubuh hendaklah dipastikan benar-benar dijaga ketika mengandung. Jika ibu sihat, janin dalam kandungan juga akan baik-baik sahaja.
Berikut ada beberapa cara yang membantu anda dalam memastikan kehamilan sihat. Antaranya:
#1) Berjumpa doktor mengikut tarikh temu janji klinik
Sebaik sahaja mengetahui diri anda kini berbadan dua, segeralah melakukan pemeriksaan dengan doktor.
Hal ini adalah penting bagi membolehkan doktor mengira usia kehamilan, mengenal pasti masalah kandungan dan memilih vitamin ibu mengandung yang terbaik untuk anda.
Ibu juga dinasihatkan berkunjung ke klinik mengikut jadual yang telah ditetapkan. Ia bertujuan untuk memantau kesihatan diri anda dan perkembangan bayi dalam kandungan.
#2. Pemakanan yang sihat
Sememangnya menjadi lumrah apabila awal kehamilan anda dilanda dengan gejala alahan yang agak teruk. Namun ibu hendaklah memastikan bahawa anda mengambil makanan yang sihat meliputi makanan berprotein, tinggi vitamin C, kalsium, zat besi dan asid folik.
Paling penting adalah amalkan susu untuk ibu mengandung bagi menyokong perkembangan janin ke tahap optimum.
#3. Sentiasa kekal aktif
Senaman yang ringan mampu mengelakkan anda daripada perasaan murung ketika mengandung. Kajian membuktikan bahawa ia mempunyai kesan positif ke atas bahan kimia otak seperti serotonin dan dopamina, iaitu yang membantu mengawal emosi anda.
Elak membuat pergerakan senaman yang lasak kerana ia boleh mengakibatkan risiko jatuh atau terhantuk. Anda digalakkan untuk berjalan, berenang ataupun aerobik.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bagaikan Tidak Percaya, Wanita 25 Tahun Ini BERJAYA Melahirkan Bayi Kembar Sembilan
Baca juga: Janin Alami Cystic Hygroma & Meninggal Dalam Kandungan, Ibu Jangan Abaikan Asid Folik!
Baca juga: Air Kencing Jadi Nanah Dalam Buah Pinggang, Ibu Akur Bayi Dibedah Ketika Usia 2 Bulan