Pasangan yang pernah mengalami keguguran kandungan, kelahiran mati atau bayi meninggal dalam kandungan sering kali menyalahkan diri mereka sendiri.
Malah bukan itu saja, mereka juga dipersalahkan oleh ahli keluarga sendiri serta masyarakat. Ada saja alasan yang mereka cari untuk mengaitkan pada insiden yang terjadi.
Kesedihan yang dialami adalah sama namun cara mereka meratapi kesedihan itu mungkin berbeza-beza.
Dan dalam proses itulah mereka mula mencari di mana silapnya, kadang kala menyalahkan diri sendiri kadang kala menyalahkan pihak perubatan yang beranggungjawab sepanjang proses kelahiran bayi yang tersayang.
Jadi siapakah yang patut dipersalahkan apabila bayi meninggal dalam perut atau ketika kelahiran? Adakah proses menyalahkan diri sendiri dan orang lain ini normal?
Menurut kajian, cara meratapi kesedihan ini berlaku dalam kelajuan yang berbeza, terutama bagi pasangan yang meratapi kesedihan yang sama namun menanganinya dengan cara berbeza.
Sands Australia, pertubuhan nasional yang mewakili dan menyokong ibu bapa yang pernah mengalami keguguran, kelahiran mati serta kematian neonatal menyatakan bahawa terdapat dua jenis kesedihan yang dialami iaitu kesedihan intuitif dan kesedihan instrumental.
Kesedihan intuitif
Memberi respon dan reaksi yang kuat, dan memberi emosi yang ketara. Contohnya menangis dengan kuat, meluahkan apa yang mereka rasai tanpa disedari, melontarkan kemarahan kepada orang yang terdekat.
Kesedihan instrumental
Responnya lebih lambat, proses yang senyap dan kurang mengekspreskan emosi. Sand Australia menyatakan sesiapa yang melalui kesedihan jenis ini lebih kepada melakukan sesuatu yang fizikal dan benda yang praktikal.
Kerap kali pasangan melalui kesedihan ini dengan berbeza. Si isteri mungkin lebih kepada mengekspresikan emosi, manakala si suami pula lebih kepada mengambil langkah untuk menjadi kuat kepada si isteri.
Secara tidak langsung si suami menunda kesedihannya, dan harus berhadapan dengannya di kemudian hari. Selalunya bila keadaan si isteri bertambah baik waktu itu kesedihan mula bertandang kembali.
Menyalahkan diri adalah satu proses meratapi kesedihan
Jadi apabila pasangan mula menyalahkan diri, merasakan semua yang terjadi adalah akibat dari kesilapannya, itu adalah normal, dan merupakan salah satu proses meratapi kesedihan. Tidak kiralah dalam kesedihan intuitif atau instrumental, keduanya akan meratapi kesedihan namun dalam tempoh waktu yang berbeza.
Menurut kajian pasangan juga akan mula menyalahkan institusi perubatan juga pakar/staf perubatan yang terlibat sepanjang proses kehamilan atau kelahiran, dan itu juga bergantung kepada situasi yang dialami. Sesudah itu pasangan akan mulai menyalahkan diri mereka sendiri. Mereka akan cuba mengaitkan situasi sehingga mereka kembali berasa bersalah. Kejadian ini mungkin berlarutan sehingga 15 bulan selepas kelahiran. Dan selalunya terjadi lebih kepada si isteri.
Kesedihan berakhir apabila mengandung lagi?
Trauma dan kesedihan akibat bayi meninggal tidak akan hilang begitu saja. Walaupun pasangan itu telah dikurniakan bayi kedua atau ketiga atau seterusnya.
Ia bukanlah satu memori yang boleh dipadamkan begitu sahaja. Malah perasaan sedih itu akan datang secara tiba-tiba tidak kira waktu. Sedang anda bermain dengan anak-anak yang lain pun, jika memori itu datang menghantui, rasa sebak masih akan dirasai.
Jadi apabila ada yang mengatakan, “tidak mengapa, awak muda lagi, boleh dapat baby lain,” ternyata kata-kata itu tidak membantu. Seharusnya katakan saja “saya cukup kesal apa yang berlaku, memang berat dugaan ini, namun awak tabah menghadapi,” cukup itu saja.
Apa yang patut anda bantu apabila rakan atau keluarga terdekat mengalami kehilangan bayi
Pertama sekali, elakkan dari terus bertanya bagaimana ia boleh berlaku? Sentiasa mulakan dengan, “saya minta maaf awak terpaksa lalui perkara ini.” Dan janganlah suka menggunakan ayat “benda dah berlaku, nak buat macam mana,” malah katakan saja yang anda bersimpati. “Tak boleh bayangkan benda ini terjadi kepada saya, berat dugaan ini, namun awak tabah.” Berikan kata semangat yang begitu, ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka rasa lebih kuat.
Untuk keluarga terdekat, walau bagaimana rapat sekalipun, elakkan untuk terus menyalahkan orang. Tidak kiralah pihak perubatan atau pasangan itu sendiri. Kata-kata itu sedikit tidak dapat membantu mereka. Ia hanya akan menyebabkan emosi mereka tidak menentu.
Elakkan juga untuk berkata “tak mengapa, boleh cuba hamil lagi,” sesungguhnya kita tak tahu sekiranya mereka struggle untuk hamil atau bukan mudah untuk mereka mencuba hamil, tiba-tiba kehilangan pula. Katakan “tidak mengapa, kita berdoa untuk yang terbaik.” Dengan sentiasa mengingatkan mereka untuk berpaling kepada Allah swt adalah yang terbaik, sesungguhnya hanya Dia yang tahu perasaan orang yang ditimpa dugaan ini.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: abc.net
Gambar: The New York Times