“Bayi saya terlalu pemalu sampaikan tidak mahu dekat dengan orang lain. Pening saya dibuatnya.”
Bayi anda mempunyai sifat pemalu yang tinggi?
Sifat pemalu merupakan sifat yang sering berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.
Ramai yang beranggapan bahawa sifat pemalu ini merupakan satu sifat yang negatif tetapi sebaliknya, ia merupakan sifat normal yang berlaku bukan sahaja dalam kalangan bayi, malah ianya turut berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai sifat pemalu.
Jadi buat para ibu bapa, anda janganlah terlalu risau kalau bayi anda sudah mula menunjukkan ciri atau sifat pemalu.
Apakah ciri-ciri bayi yang mempunyai sifat pemalu?
Sifat pemalu oleh terlihat dalam diri si kecil apabila mereka mempunyai sifat-sifat seperti ini:
- Masalah untuk berenggang dengan ibu bapa.
Berlaku apabila anak anda tidak mahu berpisah dengan anda dan terlalu attach dengan anda terutamanya apabila mereka dihampiri oleh orang yang tidak dikenali.
- Menangis ataupun meraung
Sewaktu berada dalam persekitaran sosial yang asing buat dirinya.
- Menyorokkan dan memalingkan muka
Anak anda sentiasa memalingkan wajah dan menyorokkan muka mereka apabila ada orang bercakap dengannya.
- Perasaan takut
Terutamanya apabila dihampiri oleh orang yang tidak dikenali.
- Elak bertentangan mata
Mengelak daripada bertemu muka dan juga mengelak untuk berada dalam persekitaran sosial.
Walaupun ianya merupakan suatu situasi yang normal tetapi kehadiran sifat pemalu yang keterlaluan dalam kalangan bayi ini, ianya masih boleh dikawal dan masih boleh diatasi dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat buat anak.
Apa yang penting ialah anda sebagai ibu bapa, jangan terus memaksa anak untuk membuat perkara yang mereka tidak sukai seperti memaksa anak anda untuk bersalam dengan orang lain dan sebagainya.
Disini, kami ingin kongsikan 6 tips untuk ibu bapa membantu bayi mereka mengatasi sifat malu dan untuk anak anda mula bersosial.
#1 Bercakap dan berkomunikasi dengan bayi
Walaupun bayi anda masih kecil dan masih belum boleh bercakap, apalah salahnya jika anda cuba untuk bercakap dan berkomunikasi dengan bayi anda kerana bayi anda boleh memahami anda sebenarnya!
Mengapa perlu anda berkomunikasi dengan anak anda?
Perbuatan ini akan lebih merangsang anak anda untuk cuba berkomunikasi dan memberikan interaksi kepada anda. Ini juga bertindak sebagai latihan dalam membantu anak anda untuk berinteraksi dengan orang lain apabila orang lain mengajak mereka bercakap dan bergurau.
Jadi, barulah anak anda tidak kekok.
#2 Ambil masa anda untuk kenalkan bayi anda dengan orang lain
Stres bila anak anda tidak mahu dengan orang lain?
Jangan terlalu gopoh gapah dalam memperkenalkan bayi anda dengan orang lain. Apa yang perlu anda lakukan ialah mengambil masa untuk anda dan bayi anda dalam membantu anak anda untuk membiasakan diri mereka dengan orang lain. Perlahan-lahan itu lebih baik daripada terus membuat perkara yang anak anda tidak sukai.
Malah, ia turut membantu anak anda untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran asing atau sewaktu mereka bertemu orang yang tidak dikenali.
Apa-apa pun, anda kena peka dengan tingkah laku dan cara anak anda menerima kehadiran orang baru. Perhatikan reaksi anak anda terlebih dahulu dan jangan terlalu memaksa mereka kerana dikhuatiri anak anda akan berasa lebih takut nanti. Silap-silap haribulan boleh fobia anak anda.
#3 Biarkan bayi berinteraksi dengan cara sendiri
Kalau orang dewasa mempunyai cara mereka tersendiri dalam bergaul, begitu juga dengan si kecil anda. Anak anda perlu diberi masa untuk berinteraksi kerana mereka mempunyai tahap-tahap mereka sendiri.
Amati cara anak anda dan ketahui apa perkara yang mereka gemari dan tidak sukai. Jadi ibu bapa boleh merencana aktiviti ataupun strategi untuk membiarkan bayi berinteraksi mengikut cara mereka sendiri tanpa sebarang paksaan.
Pastikan mereka selesa terlebih dahulu sebelum anda memperkenalkan anak anda dengan cara baru untuk berinteraksi.
#4 Ajar bergaul dengan adik beradik ataupun rakan yang lebih besar
Bayi yang banyak bergaul dengan rakan-rakan yang lebih besar boleh membantu bayi untuk lebih aktif berinteraksi dan seterusnya mengurangkan sifat malu dalam diri mereka.
Kebanyakan bayi lebih menggemari untuk bersosial dan bersama kanak-kanak. Jadi ini adalah sesuatu yang anda boleh cuba!
Jika anda mempunyai anak-anak yang lebih dewasa, anak-anak anda juga boleh memupuk komunikasi untuk si kecil dengan bermain dan membuat aktiviti bersama.
Tapi ingat! Kalau anda nak kenalkan dengan orang yang lebih dewasa, lihat cara anak terlebih dahulu.
#5 Bawa anak berjalan dan bersosial
Sekiranya ada peluang untuk anda melakukan kegiatan riadah ataupun bersosial dengan rakan, bawa anak anda berjalan untuk menyediakan anak anda kepada persekitaran yang baru dan anak anda juga boleh bertemu dengan rakan sebayanya ya lain.
Ajar anak anda untuk berinteraksi sewaktu bertemu dengan orang baru. Ianya boleh dimulakan dengan sesuatu yang mudah seperti mengajar anda melambai atau ucapan seperti helo. Anda seharusnya menunjukkan contoh untuk anda mengikut anda.
Ini akan membuatkan anak anda berasa yakin untuk bergaul dan berkomunikasi dengan sendirinya.
#6 Jangan tinggalkan anak anda
Buat permulaan, jangan tinggalkan anak anda bersendirian sewaktu berada di tempat baru ini kerana anak anda akan berasa takut apabila anda tidak berada di samping mereka.
Lebih-lebih lagi kalau anda menyertai sesi Playgroup bersama anak ataupun berada di tempat-tempat yang asing untuk anak anda.
Apa yang anda boleh lakukan ialah bersama-sama anak anda dan beri sokongan untuk anak anda berkenalan dengan orang baru. Selepas anak anda mula berasa selesa dan kelihatan lebih yakin, anda boleh perlahan-lahan memberi ruang kepada anak anda untuk berkenalan dan membiasakan diri tanpa kehadiran anda.
Sumber: Popmama
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: “Saya Malu” Sambil Menyorok Belakang Ibu – Ini 5 Cara Mudah Untuk Pulihkan Perasaan Malu Anak