Ibu bapa pasti gembira apabila melihat si kecil yang dahulunya masih bayi kini sudah membesar dengan sihat dan riang gembira. Namun jangan terkejut jika ada sisi sikapnya iaitu sifat pemalu mula muncul semasa usianya sudah menginjak ke angka dua tahun.
Hal ini kerana, ramai kanak-kanak seusia ini cenderung untuk menjadi malu dan pendiam. Jika anak menunjukkan tanda-tanda pada salah satu ini yang terlalu kuat, mungkin ada sesuatu yang anda perlu bimbangkan.
Apapun, anda perlu mengendalikan sifat pemalu anak ini dengan bijak tanpa menunjukkan rasa marah kerana ia mungkin memberi impak buruk di kemudian hari. Jadi untuk itu, kami ingin kongsikan dengan anda beberapa tips bagi mengatasi rasa malu pada anak. Harap membantu!
Mengapa Anak Ada Sifat Pemalu?
“Sebelum ni okay sahaja, kenapa sekarang anak tiba-tiba jadi pemalu dan pendiam pula?”
Persoalan itu mungkin timbul dalam kalangan ibu ayah di luar sana apabila melihat perubahan sikap pada anak-anak. Adakah ia normal atau sebenarnya membimbangkan?
Sebenarnya ia adalah normal terutama jika anak berdepan dengan persekitaran baharu atau orang yang belum dikenali.
Namun, ada antara sebab atau faktor lain yang mungkin menyebabkan anak anda memiliki sifat pemalu ini iaitu:
- Faktor genetik. Mungkin gen tertentu dalam keluarga mempengaruhi personaliti anak kecil itu
- Personaliti. Sesetengah orang dilahirkan dengan sifat yang lebih sensitif dan gugup apabila berdepan dengan perkara baru
- Hubungan kekeluargaan. Kadang-kala, kanak-kanak yang berasa tidak selamat dalam keluarga mereka atau dengan orang dewasa cenderung untuk menjadi pemalu
- Kurang interaksi sosial. Kanak-kanak yang tidak atau kurang mendapatkan interaksi sosial dalam beberapa tahun pertama kehidupan mereka mungkin akan lebih bersikap pemalu
- Sering menerima kritikan. Kanak-kanak yang sering diusik, dibuli atau dikritik oleh orang penting seperti ibu bapa, guru atau rakan cenderung menjadi pemalu
- Takutkan kegagalan. Kanak-kanak yang berasa seperti mereka gagal atau yang terus-menerus didesak melebihi had mereka boleh tampil lebih pemalu
Sifat Pemalu yang Keterlaluan, Apa Perlu Buat?
Walaupun rasa malu adalah perubahan semula jadi dalam perkembangan anak apabila dia semakin membesar, namun sebagai ibu bapa anda perlu mengambil langkah awal untuk mengurangkan sifat ini dalam diri mereka supaya tidak menjadi lebih teruk pada masa akan datang.
Antara perkara-perkara yang boleh dilakukan adalah:
#1. Terima anak anda seadanya
Jangan sesekali mengejek anak anda apabila mereka berasa malu. Sebaliknya, cuba berusaha untuk memberitahu mereka bahawa anda menerima dan menyayangi mereka seadanya.
Cuba untuk faham mereka dan mungkin anda boleh bertanyakan sendiri kepada anak anda tentang rasa malu yang dialami olehnya itu. Jadi pendengar yang baik dan cubalah fahami ketakutan atau kegusaran mereka itu supaya anda boleh bantu anak anda seperti yang diharapkan.
#2. Biarkan anak anda tahu anda fahami mereka
Anda juga mungkin pernah melalui fasa dan sikap yang sama pada suatu ketika dahulu bukan? Kongsikan kepada anak anda tentang perkara itu dan cara anda mengatasinya. Kanak-kanak biasanya memandang tinggi terhadap ibu bapa mereka. Jadi dengan mengetahui bahawa anda berjaya mengatasi kebimbangan anda, secara tidak langsung ia juga akan memberikan mereka kekuatan dan semangat yang sangat besar.
#3. Jadi role model untuk anak dengan tampil lebih yakin
Untuk menharapkan anak anda tidak menjadi seorang yang terlalu pemalu, anda juga perlulah menunjukkan contoh yang baik. Pastikan anda sentiasa bersikap positif, yakin dan bersemangat dengan apa jua yang anda lakukan supaya anak anda boleh menjadikan anda sebagai role model terbaiknya.
#4. Bercakap tentang kebaikan bersikap mesra sesama manusia
Anda juga mungkin boleh kongsikan cerita tentang bagaimana sikap ramah dan mesra telah membantu hidup anda. Beritahunya tentang tingkah laku yang anda ingin anak anda amalkan. Jangan lupa untuk puji anak anda apabila mereka berjaya mencontohi tingkah laku itu!
#5. Tetapkan matlamat
Tetapkan satu tanda aras untuk dicapai oleh anak anda bagi menjadikan mereka lebih selesa dalam bersosial. Tidak mengapa jika ia adalah sekadar matlamat kecil, namun yang penting boleh dicapai. Contohnya adalah bertanya khabar kepada seorang setiap hari.
#6. Beri pendedahan kepada perkara baharu
Cuba tunjuk dan dedahkan kepada anak anda sebarang perkara baharu untuk mereka dapatkan pengalaman. Berikan sokongan jika mereka mula menunjukkan ciri-ciri yang lebih extrovert dari semasa ke semasa.
#7. Biar anak anda lakukan perkara yang mereka mahir
Jika anak anda boleh melibatkan diri dengan aktiviti yang mereka gemari dan mahir mengenainya, secara perlahan-lahan mereka boleh tampil lebih yakin dan berani. Puji mereka apabila mereka mahir dalam sesuatu perkara dan berikan mereka peluang untuk melakukan perkara itu. Dengan mengambil bahagian dalam aktiviti yang mereka gemari juga, mereka secara tidak langsung mendapat ruang yang lebih mudah untuk berinteraksi dan berhubung dengan kanak-kanak yang mempunyai minat yang sama.
Mengelakkan Anak Dari Malu Keterlaluan
#1. Bertanyakan hal anak kepada guru dan dirinya sendiri
Ada kanak-kanak yang cenderung untuk melahirkan rasa malu kerana beberapa masalah dalaman yang cenderung timbul berpunca dari masalah keluarga.
Jadi apa yang anda boleh buat adalah bertanyakan hal tersebut dengan guru kelas anak supaya dapat mengetahui bagaimana kelakuannya semasa di sekolah dan adakah dia berinteraksi dengan orang lain.
Sifat pemalu pada anak ini juga boleh jadi disebabkan penyalahgunaan seksual, perceraian ibu bapa, pergaduhan dan penderaan lisan yang cenderung membuatkan anak berasa malu dan sebagainya.
Sekiranya anak anda pernah mengalami trauma semasa peringkat awal kehidupannya, anda mungkin perlu mendapatkan bantuan profesional untuk menangani keadaan ini.
#2. Empati
Selain itu, terdapat perbezaan antara simpati dan empati, jadi pastikan anda tidak salah dengan cara yang satu ini.
Apapun, jika anda bersimpati dengan anak, ia hanyalah menambahkan rasa malu pada diri mereka sendiri dan secara tidak langsung membuatkan dia tidak mempercayai dirinya. Jadi, ibu bapa harus elak menunjukkan tingkah laku seperti seorang hakim kepada tingkah laku anak.
Empati dengannya dan jelaskan bahawa anda beruntung memilikinya sebagai anak. Beritahu dia supaya tidak buruk sangka dengan dirinya sendiri, galakkan anak untuk mendapatkan pencapaiannya yang diimpikan dan beritahu kepada anak bahawa dia adalah anak yang terbaik di dunia.
#3. Cari kekuatan anak
Anak kecil ini kadang kala cenderung rasa malu kerana kekurangan dari sudut motivasi dan keyakinan terhadap diri mereka sendiri.
- Bantu dia menggarap kekuatannya sebagai individu
- Tunjukkan perkara dan kualiti yang baik
- Galakkan anak membina identiti sendiri
- Setiap kanak-kanak cenderung ke arah aktiviti tertentu yang boleh membuatkan dirinya berasa selesa, jadi selalu berikan galakan kepadanya
#4. Menggalakkan interaksi
Salah satu cara untuk membantu anak buang rasa malu adalah dengan selalu kerap berinteraksi dengan mereka.
Anda juga boleh menjemput rakan-rakan tadika anak untuk datang ke rumah anda. Cuba letakkan situasi di mana anak lebih berkemungkinan mengawal dan berkuasa. Dengan cara ini ia dapat membantu anak anda belajar memainkan peranannya dan membuka jalan untuk si kecil berinteraksi dengan orang sekeliling.
#5. Jangan ‘label’ anak sendiri
Kesilapan paling teruk yang mungkin anda lakukan adalah menggelarkan anak dengan ‘seorang pemalu’ dan sebagainya. Terutamanya bila berada dalam kelompak yang ada orang ramai seperti berhimpun dengan saudara mara ataupun jiran tetangga.
Jika anda selalu melabel anak anda sebagai ‘seorang yang pemalu’, ini akan membuatkan mereka hilang rasa percaya pada diri sendiri. Sebaliknya, apa yang anda boleh buat adalah:
- Beritahu anak bahawa anda bangga dengan dirinya
- Tidak terlalu memaksa anak untuk tidak bersifat pemalu
Diharapkan tips-tips di atas dapat membangunkan keyakinan diri pada anak sekaligus membuatkannya mudah berinteraksi dengan individu yang lain dan menikmati kenangan indah sebagai kanak-kanak.
Sekiranya masalah ini tidak dapat diatasi atau anak cenderung memiliki sikap yang lebih membimbangkan, anda dinasihatkan untuk terus meminta pandangan dan nasihat daripada pakar.
Semoga bermanfaat.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Perkembangan Dan Milestone Anak 4 Tahun, Ini 5 Perkara Yang Dia WAJIB Mahir
Baca juga: Kesalahan Ibu Bapa Terhadap Anak, Paksaan & Kekerasan Boleh Buat Mereka Jadi Lebih Nakal!
Baca juga: Anak Malas Belajar? Ini Cara Terbaik Untuk Melatih Anak Agar Lebih Semangat Tengok Buku!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!