Berdepan detik bayi terjatuh adalah pengalaman paling mengerikan bagi ibu ayah. Biarpun sudah berjaga-jaga dengan anak di hadapan mata, namun kesilapan sedikit sahaja mampu mengundang risiko yang besar.
Jika hanya memberikan kesan terhadap kulit sahaja tanpa kecederaan otak, anda tidak perlu risau biasanya ia tidak serius. Namun secara visualnya mampu buatkan ibu ayah risau dan panik.
Baca juga: Bayi 5 Bulan Ke Atas Sudah Pandai Bergolek, Ibu Sila Waspada Jika Anak Terjatuh Katil!
Kisah benar bayi terjatuh dari stroller
Menurut seorang petugas perubatan, Kamarul Ariffin Nor Sadan, beliau menceritakan detik mencemaskan apabila menerima kes seorang bayi terjatuh dari stroller.
”Anak saya jatuh dari stroller, selepas itu dia menangis tidak henti-henti,” kata si ibu dalam keadaan yang begitu panik.
Tambahnya, si ibu berkenaan sudah pun memujuk anak kecilnya. Namun tidak berhasil. Apabila saya melihat sahaja keadaan bayi itu, terus dilanda rasa gemuruh.
Ketika menyentuh dan melakukan pemeriksaan, ternyata apa yang saya khuatiri berlaku sememangnya sedang terjadi! Otot lehernya sudah mengeras, tangan lurus dan kakinya melunjur. Allah!
Ini tandanya bayi mula mengalami masalah sawan dan juga bermakna berlakunya kecederaan otak. Bukan itu sahaja, ada beberapa lagi tanda lain yang saya periksa.
Tindakan ibu bapa sekiranya berdepan anak terjatuh
Ibu ayah dinasihatkan untuk melakukan beberapa perkara yang sama semasa berdepan anak terjatuh, iaitu:
#1. Tanda-tanda lebam
Ini menunjukkan telah berlakunya kecederaan tisu badan seperti otot, tendon, lemak, kulit dan kapilari (salur darah halus). Jika lebam kelihatan sangat besar, keras dan berwarna gelap, ibu ayah jangan berlengah lagi untuk segera membawa anak berjumpa doktor.
Ada kemungkinan berlakunya hematoma iaitu pendarahan di bawah lapisan kulit.
#2. Luka dan berdarah
Setelah melakukan pemeriksaan, anda menyedari keluarnya darah, bertenang dan periksa saiz luka berkenaan. Sekiranya lebarnya melebihi satu jari, saya sarankan anda terus bawa ke hospital. Sementara itu, ibu ayah boleh cuci luka tersebut menggunakan air bersih dan tekap.
Tidak perlu mencucinya berulang kali. Darah hanya akan berhenti apabila kita tekap luka berkenaan.
#3. Retak
Sekiranya anda menyedari berlaku perubahan atau keganjilan pada bentuk kepala si manja, cuba untuk meraba kepalanya. Khuatir ada keretakan di bahagian tengkorak. Hanya keretakan sehingga tulang tengkorak terbenam atau terangat dapat dirasa. Jika ibu ayah tidak pasti tentangnya, bawalah berjumpa doktor.
#4. Anak menangis tanpa henti
Sekiranya anak kecil anda berusia 3 tahun ke bawah menangis tanpa henti (incosolable cry) atau tidak boleh dipujuk, ini berkemungkinan dia mengalami sakit bahagian kepala. Hal yang perlu anda tahu adalah sakit kepala berpanjangan boleh mengakibatkan kesan kecederaan terhadap otak.
Justeru, segeralah merujuk ke hospital atau klinik yang berdekatan.
#5. Pandangan bertukar menjadi kabur
Bahagian otak yang memproses kelihatan terletak di bahagian belakang kepala. Jika terhantung di bahagian belakang kepala dan selepas itu pandangan anak menjadi kabur, ada kemungkinan dia mengalami kecederaan otak.
#6. Muntah
Kadang-kadang selepas terhantuk atau terjatuh, anak akan menjadi muntah. jika ini berlaku secara berterus, ia mungkin tanda adanya kecederaan dalam otak. Penyebab utama terjadinya gejala muntah ini adalah kerana tekanan otak mengalami peningkatan mendadak.
#7. Sawan
Ini juga antara salah satu tanda berlakunya kecederaan otak. Simptom sawan adalah mata anak naik ke atas, mulut menjadi berbuih, bibir biru, kejang leher tangan dan kaki, terkencing, terberak dan sebagainya.
Jika ibu menyedari anak menunjukkan tanda ini, segera berjumpa dengan doktor.
Manakala sekiranya anak tidak sedarkan diri selepas terhantuk atau terjatuh, ia mungkin telah berlakunya kecederaan otak. Masalah ini boleh berlaku kerana gegaran, lebam dan pendarahan. Bawalah si manja anda berjumpa doktor di fasiliti perubatan berdekatan.
Ibu ayah perlu memantau keadaan anak dalam masa 24 hingga 48 jam selepas terjatuh. Sebahagian simptom yang disebutkan di atas kadang-kadang tidak berlaku serta-merta selepas terjatuh, namun terjadi lewat sedikit.
Jika tiada tanda-tanda yang membimbangkan, boleh beri si manja Paracetamol dan letakkan tuaman ais pada kawasan yang terjatuh bagi mengurangkan rasa sakit dan bengkak yang besar. Boleh tuam selama 5 hingga 10 minit, kemudian ulang 3 kali sehari.
Nasihat terakhir: Jika anak terjatuh, buatlah keputusan mengikut naluri hati seorang ibu. Walaupun kelihatan elok sahaja, tetapi anda perlu berasa risau dan bawalah mereka berjumpa doktor.
Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan
Kredit foto: istock
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia