Kebanyakan gigi bayi mula tumbuh pertamanya akan mengalami perubahan tingkah laku atau mungkin lebih kerap meragam. Bagi ibu ayah baru, adalah penting untuk anda mengetahui perkembangan gigi bayi dan cara menghadapinya.
Rata-rata bayi akan tumbuh gigi susu ketika mereka memasuki usia 6 bulan. Walau bagaimanapun, ada yang lebih awal dan lebih lambat.
Isi Kandungan
Tanda Gigi Bayi Tumbuh
Setiap bayi mempunyai perjalanan tumbesaran yang berbeza-beza. Ini termasuklah apabila gigi bayi tumbuh. Bayi A mungkin mula tumbuh gigi pada usia 5 bulan dan bayi B tumbuh gigi pada usia 11 bulan.
Walau bagaimanapun, persamaan yang dapat mengenalpasti adakah bayi anda sedang tumbuh gigi atau tidak adalah dengan melihat tanda-tanda bayi yang sedang tumbuh gigi, seperti di bawah ini.
1. Air Liur Meleleh Dengan Banyak
Apabila gusi telah dirangsang dengan gigi yang sedang tumbuh, air liur bayi akan mulai banyak.
Maka ibu-ibu kenalah bersedia dengan bib dan tuala kecil. Air liur yang terlalu banyak meleleh juga boleh menyebabkan masalah cirit-birit atau berak cair.
2. Kulit Menjadi Gatal-Gatal Dan Kemerahan
Disebabkan muka dan leher bayi tumbuh gigi yang sentiasa lembab dek air liur banyak, gatal-gatal kemerahan mula muncul pada kulit si manja. Kadang-kadang ia muncul dalam bentuk kulit menggelupas.
Ibu boleh selalu mengelap air liur bayi dan menyapu krim bayi yang sesuai dengannya (ingat baca kandungan krim tersebut dulu! Pastikan ia selamat untuk bayi).
3. Suka Menggigit
Disebabkan rasa gusi yang tidak selesa atau gatal, mereka akan mula menggigit. Apa sahaja yang boleh dimasukkan ke dalam mulut, akan digigitnya termasuklah puting ibu.
Ia momen yang menyakitkan, tetapi ia akan berlalu, percayalah. Jadi ibu-ibu kena bertahan sikit lah, ye!
4. Asyik Merengek
Disebabkan gusi yang tidak selesa atau sakit, mereka akan kerap merengek untuk menunjukkan yang mereka tidak selesa. Jadi cuba untuk lebih bersabar dengan bayi anda ketika ini.
Fikirkanlah yang mereka sedang berada di dalam kesakitan.
5. Pendarahan Di Bawah Gusi Atau Hematoma
Pendarahan di bawah kulit pada gusi atau hematoma juga mungkin berlaku. Keadaan ini akan kelihatan seperti gusi kebiru-biruan dan bengkak.
Tidak perlu risau kerana ia adalah normal, tetapi bagus juga untuk anda tahu mengenai simptom ini.
6. Susah Untuk Tidur
Disebabkan rasa tidak selesa dan sakit yang dilalui, mereka akan mengalami kesukaran untuk tidur.
Untuk melalui fasa ini, cuba bergilir dengan pasangan anda untuk menemani bayi di waktu malam sementara seorang lagi tidur.
7. Batuk
Batuk juga merupakan salah satu simptom yang menunjukkan bayi sedang tumbuh gigi. Tapi, ia bukan disebabkan mereka sakit.
Ia kerana air liur yang terlalu banyak membuatkan mereka terjeluak. Kadang-kala ia hanyalah batuk kosong.
8. Hilang Selera Makan
Sesetengah bayi akan jadi lebih sensitif dan enggan makan. Ini kerana mereka rasa tidak selesa untuk mengunyah atau makan.
Sama ada makanan separa pejal atau cair, rasa sakit atau tidak selesa ketika tumbuh gigi itu menghilangkan selera mereka.
Tapi anda jangan pula berhenti memberi mereka makan hanya kerana mereka enggan makan. Cuba berikan sesuatu yang mereka suka.
9. Demam
Ini adalah salah satu tanda yang paling biasa terjadi. Demam biasa yang tidak terlalu panas kerana gigi baby tumbuh. Tetapi sekiranya demam itu telah berlanjutan lebih dari 3 hari, dapatkan pemeriksaan lanjut.
10. Cirit-birit
Cirit-birit yang tidak serius boleh terjadi kerana menelan air liur yang terlalu banyak ketika baby tumbuh gigi. Namun sekiranya cirit-birit berlanjutan dengan terlalu banyak dan lama, bawa anak anda ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
11. Kerap Gosok Pipi
Kadang-kadang, sakit gusi sampai ke pipi dan telinga. Dan ini akan menyebabkan si manja anda itu akan lebih kerap menggosok pipi. Ibu ayah harus peka kerana ini juga petanda jangkitan telinga!
Bila Bayi Tumbuh Gigi
Kebanyakan bayi akan tumbuh gigi antara 6 hingga 12 bulan. Terdapat pelbagai keadaan apabila gigi pertama mungkin muncul. Malah sesetengah bayi dikatakan masih belum mempunyai gigi walaupun ketika menyambut tahun pertama kelahiran.
Sekitar usia 3 bulan, bayi akan mula meneroka dunia dengan mulut mereka dan telah meningkatkan pengeluaran air liur dan mula memasukkan tangan ke dalam mulut mereka.
Biasanya, pertumbuhan gigi bayi akan bermula dengan gigi pertama adalah gigi hadapan bawah (gigi kacip tengah bawah) dan kebanyakan kanak-kanak biasanya akan mempunyai semua gigi susu mereka pada usia 3 tahun.
Cara Mengurangkan Kesakitan Bayi
Biasanya pertumbuhan gigi tidak menyebabkan kanak-kanak terlalu tidak selesa, namun ibu ayah boleh mengetahui bila baby tumbuh gigi.
Bayi mungkin menunjukkan tanda-tanda ketidakselesaan di kawasan di mana gigi keluar, gusi di sekeliling gigi mungkin bengkak dan lembut dan bayi mungkin mengeluarkan air liur lebih banyak daripada biasa.
- Gosok gusi bayi – Gunakan kain bersih atau jari untuk mengurut lembut gusi bayi. Ini boleh membantu mengurangkan tekanan.
- Berikan teether sejuk – Teether yang disejukkan dalam peti ais boleh memberi kelegaan kepada gusi bayi. Pastikan ia bersih dan selamat digunakan.
- Lap air liur – Sapu air liur yang berlebihan dengan kain lembut untuk elak ruam atau iritasi di sekitar mulut bayi.
- Penyusuan – Sama ada menyusu badan atau botol, penyusuan boleh menenangkan bayi dan mengalihkan perhatiannya daripada kesakitan.
- Gunakan gel gigi bayi – Ada gel yang direka khas untuk melegakan kesakitan gigi bayi. Pastikan ia selamat dan sesuai dengan umur bayi.
- Berikan perhatian lebih – Kadang-kadang, pelukan dan perhatian lebih boleh membantu bayi merasa lebih tenang dan selesa.
Jika anda mahu beri bayi biskut tumbuh gigi, pastikan anda mengawasi bayi anda semasa mereka memakannya. Ketulan boleh putus dengan mudah dan boleh menyebabkan tercekik.
Selain itu, biskut ini tidak begitu berkhasiat dan kebanyakannya mengandungi gula dan garam. Suhu badan bayi mungkin sedikit meningkat apabila tumbuh gigi.
Usia Berapa Gigi Si Manja Tumbuh Sepenuhnya
Bayi biasanya dilahirkan dengan 20 gigi susu. Pertumbuhan gigi bayi mula keluar melalui gusi pada kira-kira usia 6 bulan dan kesemua gigi biasanya muncul ketika berumur 2 hingga 3 tahun. Gigi akan gugur pada pelbagai masa semasa kanak-kanak dan seterusnya.
Bayi dilahirkan dengan gigi berikut:
- 4 gigi geraham kedua
- 4 gigi geraham pertama
- 4 gigi taring
- 4 gigi kacip sisi
- 4 gigi kacip tengah
Terdapat satu set pada setiap sisi rahang atas, dan satu pada setiap sisi rahang bawah. Gigi di bahagian tengah rahang bawah selalunya muncul dahulu berbanding lain antara usia 4 hingga 10 bulan.
Setiap kanak-kanak adalah berbeza jadi jangan risau jika gigi si manja muncul lebih awal atau lewat. Rujuk doktor gigi jika anda bimbang.
Rahang anak anda akan terus berkembang dan gigi kekal akan mula menggantikan gigi susu apabila kanak-kanak itu berumur sekitar 6 tahun.
Gigi susu kelihatan lebih putih. Gigi susu juga mempunyai akar bentuk yang lebih pendek dan berbeza daripada gigi kekal, menjadikannya lebih mudah untuk akar larut kemudian dan memberi ruang untuk gigi kekal tumbuh di bawahnya.
Untuk mengurangkan risiko kerosakan gigi:
- Jangan biarkan bayi anda tertidur dengan botol yang mengandungi susu, formula, jus buah atau cecair manis
- Lawati doktor gigi anda kira-kira 12 bulan.
- healthychildren (n.d) Baby’s First Tooth: 7 Facts Parents Should Know www.healthychildren.org/English/ages-stages/baby/teething-tooth-care/Pages/Babys-First-Tooth-Facts-Parents-Should-Know.aspx
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bayi Belum Tumbuh Gigi? Jangan Panik, Cuba Ini Untuk Rangsang Pertumbuhan Gigi Si Manja!
Baca juga: Resepi Biskut Homemade Untuk Bayi Gatal Gusi & Baru Tumbuh Gigi Tanpa Gula, Garam
Baca juga: Karies Gigi Anak Boleh Terjadi Biarpun Selalu Gosok Gigi, Ini 7 Langkah Mengatasinya!