Isu beg sekolah berat seolah-olah tiada penamat bagi kanak-kanak sekolah di negara ini. Ia ibarat topik wajib setiap tahun dan seolah-olah tiada penyelesaiannya.
Jadi, kali ini kami kongsikan tips daripada pakar mengenai ciri-ciri yang ibu bapa patut titik beratkan dalam pemilihan beg sekolah untuk anak-anak.
Pastikan beg sekolah anak anda ada ciri-ciri ini untuk elak masalah tulang belakang
Menurut Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, pemilihan beg sekolah berat dan yang salah boleh menyebabkan sakit tengkuk, sakit belakang, serta masalah-masalah tulang belakang yang lain, seperti skoliosis dan kyphosis.
Justeru, katanya ada beberapa ciri yang perlu dititikberatkan untuk pemilihan beg sekolah anak ia termasuklah:
#1. Jenis beg
Ia mestilah mempunyai dua tali penyandang dan penyandang mempunyai pelapik span. Penyandang yang mempunyai klip penyambung di bahagian hadapan adalah digalakkan.
Jadi berat beg itu tidak sepenuhnya bergantung kepada bahu anak anda.
#2. Dalaman
Untuk bahagian dalam, ia mestilah mempunyai pembahagi ruang atau jalur pengikat, agar buku boleh disusun rapi serta diletakkan berhampiran pada ruang yang dekat kepada tubuh pemakai.
#3. Saiz
Bahagian atas beg mesti berada di paras belikat dan bahagian bawah hanya berada di lengkung pinggang. Jika bahagian bawah mencecah punggung, bermakna beg terlalu besar.
Cara galas beg yang betul
Selain itu, anda juga harus ajar anak menggalas beg dengan cara yang betul. Jangan biarkan anak anda terus merosakkan tulang belakangnya dengan cara menggalas beg yang tidak betul serta kerana beg sekolah berat.
#1. Beg tidak boleh melebihi 15 peratus berat badan pemakai
Berat beg dan isinya tidak melebihi 15% berat badan pemakainya. Jika berat pemakai 20kg, maka berat beg mestilah tidak lebih 3kg. Jika ada muatan lebih, bawa di tangan dan dilekapkan ke dada.
Jangan isi semuanya ke dalam beg kerana ia akan menyebabkan muatan lebih yang akan memberi tekanan kepada bahu dan tulang belakang anak anda.
#2. Beg tidak londeh
Selalu kita lihat ada anak-anak yang memakai beg terlalu londeh hingga ke paras bawah punggung jadinya. Jadi pastikan tali penyandang dipendekkan sehingga beg rapat ke tubuh da tidak londeh.
Ia memastikan beban dapat ditampung dengan baik, serta mengelakkan beg berhayun semasa berjalan atau berlari.
#3. Jangan sandang sebelah
Pastikan anak tTidak menjinjing atau menggalas hanya sebelah tali penyandang beg, untuk mengelakkan bebanan tertumpu hanya pada sebelah bahagian tubuh.
Bebanan tidak simetri boleh menyebabkan skoliosis.
Jadi adakah anda lihat dan cakna cara anak anda membawa beg sekolahnya? Jika ada tanda-tanda yang tidak elok, lebih baik anda minta dia ubah segera.
Apa itu skoliosis?
Skoliosis dalam terma biasa bermakna tulang belakang yang bengkok. Tulang belakang yang normal kelihatan mencengkung ke dalam dan ke luar bila dipandang dari sisi. Ia kelihatan lurus bila dipandang dari belakang.
Dalam skoliosis, tulang belakang membengkok ke sisi apabila dipandang dari belakang dan ini kelihatan dalam bentuk “S” atau “C”.
Tanda-tanda anak alami skoliosis
Skoliosis adalah disebabkan oleh faktor genetik, pertumbuhan tulang belakang yang tidak normal semasa perkembangan akil baligh dan masalah tulang atau otot.
Jenis-jenis skoliosis termasuklah:
- Skoliosis kongenital di mana skoliosis terjadi semenjak dilahirkan.
- Skoliosis neuromuskular disebabkan oleh masalah otak (seperti cerebral palsy), masalah tulang belakang (seperti spina bifida) atau masalah otot (seperti distrophi muskular).
- Skoliosis degeneratif yang disebabkan oleh pembedahan, trauma atau penyakit tulang belakang.
- Skoliosis idiopatik di mana punca penyebab tidak dapat ditentukan. Ia juga mempunyai penghidap yang paling ramai. Jenis ini biasanya banyak melibatkan budak perempuan daripada budak lelaki.
Antara tanda yang boleh dilihat jika anak anda menghidap skoliosis termasuklah:
- Paras bahu yang tidak sama tinggi.
- Sebelah bahagian tulang belikat lebih tinggi dari sebelah yang lain.
- Sebelah bahagian tulang belikat kelihatan lebih jelas berbanding sebelah yang lain.
- Posisi pinggang sebelah kanan dan kiri tidak sama paras.
- Apabila membongkok ke hadapan, bahagian belakang tidak lurus dan tidak sama paras antara belakang kanan dan kiri.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sebelum beli beg sekolah untuk anak, ikut tips memilih beg sekolah ini dulu
Baca juga: 5 Jenama Cooler Bag Yang Bagus, Jom Cuba Beg Susu Bayi Mana Paling Best Ini!
Baca juga: Senarai 4 beg bayi yang cantik dan popular, mudah kerja ibu lepas ini!