Jika ditanya kepada ibu-ibu di luar sana, pastinya mereka mempunyai pengalaman masing-masing ketika bersalin. Ada yang diberi kemudahan untuk bersalin secara senang dari awal sehingga akhir. Namun ada juga berdepan beberapa komplikasi sehingga menyebabkan bentuk kepala bayi lonjong.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Bentuk kepala bayi lonjong selepas dilahirkan secara vakum
- Bentuk kepala bayi lonjong akan kembali normal selepas dua minggu
Apa yang pasti bagi ibu baru pertama kali, keadaan ini boleh membuatkan anda berasa sangat risau. Sehingga ada yang menangis kerana takut bentuk kepala bayi tidak kembali normal seperti bayi yang lain.
Bentuk kepala bayi lonjong selepas dilahirkan secara vakum
Kadangkala komplikasi boleh berlaku semasa kelahiran dan memerlukan intervensi seperti penggunaan vakum, forsep atau pembedahan.
Untuk makluman, ekstraksi vakum merupakan salah satu prosedur untuk membantu proses persalinan normal. Ia dilakukan menggunakan alat yang disebut vakum ekstraktor.
Baru-baru ini tular sebuah video yang menunjukkan seorang bayi keluar dengan bentuk kepala bertukar lonjong setelah divakum.
Pastinya, keadaan ini membawa keresahan kepada mana-mana ibu dan ayah sekali pun. Iyalah, anak yang keluar itu kelihatan tidak normal.
Bentuk kepala bayi lonjong akan kembali normal selepas dua minggu
Walau bagaimanapun, ibu dan ayah janganlah risau. Bayi itu akan pulih dan kembali normal selepas itu. Secara perlahan-lahan bayi akan beransur pulih dalam tempoh dua minggu.
Jangan pula ibu dan ayah ‘memandai-mandai’ memperbetulkan kepala bayi itu sendiri. Jangan menekan, membalut atau menyapukan apa-apa ubat pada kepala bayi.
Namun begitu, terdapat juga cara lain untuk membantu mempercepatkan pemulihan tersebut iaitu pertama, menukar-nukar posisi bayi itu tidur serta tidak membiarkan si manja tidur pada satu-satu posisi sahaja.
Kedua, ibu dan ayah boleh mengurangkan tekanan pada bahagian kepala bayi dengan turut mendukung atau meletakkan bayi di dalam baby carrier.
Kesimpulannya, ibu dan ayah yang bayi mereka mengalami kes kepala lonjong susulan divakum tidak perlu risau. Kepalanya akan kembali ke bentuk asal dalam tempoh tertentu iaitu dalam dua minggu.
Ibu dan ayah juga diingatkan tidak menekan, membalut atau menyapukan sebarang ramuan. Biarkan kepala si manja beransur pulih.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kepala Bayi Lonjong Atau Leper? Cuba Tips Doktor Ini, Supaya Ia Kembali Bulat, Normal!
Baca juga: Perkara Tentang Kepala Bayi Baru Lahir Yang Ibu Ayah Wajib Tahu!
Baca juga: Ubun Kepala Bayi Sangat Rapuh, Mengapa Ibu Perlu Berhati-hati Semasa Menyentuhnya?