Puasa merupakan satu latihan yang amat berfaedah khususnya untuk mengatasi pergantungan akibat merokok namun masih kurang perokok yang mahu mengambil kesempatan untuk berhenti terus merokok pada bulan ini.
Berbuka dengan air, makan kurma sebiji, kemudian terus nyalakan api nak menghisap rokok. Maklumlah seharian berpuasa tentu rasa susah nak tahan diri sampai makan nasi pun dikemudiankan.
Sudah tentu kita biasa melihat situasi sebegini kan? Terlihat benar kepuasan dapat melakukan perkara tersebut selepas seharian terpaksa berlapar dan dahaga, selain menahan diri daripada menyedut asap rokok.
Adakah merokok ketika berbuka puasa ini berbahaya? Sejauh manakah risiko kesihatan yang bakal menjemput? Ikuti penjelasan oleh Dr. Samhan menerusi perkongsiannya di Instagram baru-baru ini.
3 kesan bahaya merokok sejurus selepas berbuka
Rokok mengandungi banyak bahan kimia yang berbahaya untuk kesihatan anda. Bahan kimia utama yang terkandung dalam rokok adalah karbon monoksida, nikotin dan tar malah akan lebih berbahaya jika masuk ke dalam tubuh ketika keadaan perut kosong selepas berjam-jam anda puasa.
1. Radang paru-paru
Ketika perut kosong, nikotin akan diserap dengan lebih banyak dan tinggi jumlahnya berbanding perut sudah terisi dengan makanan.
2. Kurang oksigen
Kandungan bertoksik dalam rokok akan memasuki aliran darah dan menurunkan kadar oksigen dalam darah sekali gus mengakibatkan sel dalam badan anda kekurangan oksigen!
3. Gangguan pencernaan
Selain itu, menyedut asap dalam keadaan perut kosong juga akan mengakibatkan peningkatan kandungan asid dalan perut dan bertindak balas. Ini sudah pasti mengganggu sistem pencernaan tubuh kita!
“Manakan tidak, selepas berpuasa selama 12 jam, tubuh badan memerlukan air, glukosa (gula) dan oksigen untuk menghasilkan tenaga tapi malangnya tubuh disuap pula dengan racun yang bertindak menghancurkan sistem dan fungsi organ,” katanya.
Kesan asap rokok yang masuk ke dalam tubuh individu selepas berpuasa menyebabkan saluran darah mengecut dan menganggu saliran oksigen di dalam salur darah.
Asap rokok juga menyebabkan darah menjadi lebih pekat, meningkatkan tekanan darah dan menganggu degupan jantung. Situasi ini menyebabkan risiko serangan jantung dan stroke meningkat berkali ganda.
Ramadan bulan terbaik untuk berhenti
Ujarnya, sepatutnya perokok memanfaatkan bulan Ramadan ini dengan menjadikannya peluang keemasan untuk melatih diri berhenti merokok secara total.
Masa menyedut asap rokok anda ketika puasa sudah pasti berkurang. Sebelum ini anda boleh melakukannya pada bila-bila saja, namun sepanjang bulan puasa anda hanya boleh melakukannya semasa berbuka puasa hingga sahur.
Masa merokok yang lebih terhad semasa bulan puasa mungkin dapat membantu anda mengurangkan tabiat merokok.
Mulakan dengan mengurangkan satu batang rokok sehari, lakukannya sehingga anda terbiasa dan kemudiannya cuba untuk mengurangkan satu batang rokok lagi dari jumlah sebelumnya.
Lakukan perkara ini secara berterusan sehingga anda mungkin tidak merokok lagi. Walaupun bulan puasa telah selesai, anda boleh meneruskan usaha anda untuk berhenti terus, kuncinya adalah konsisten.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Kesan Bahaya Merokok MASIH SAMA Walaupun Anda Merokok Jauh Dari Anak
Baca juga : Sperma Sihat Bukan Hanya Dari Segi Pemakanan Sahaja, Tapi Juga Gaya Hidup Tak Merokok Dan Vape