Kes kanak-kanak berlebihan berat badan seolah-olah menjadi isu biasa pada masa kini. Tidak pelik lagi jika lihat budak obes sekarang ini, seolah-olah menjadi pemandangan biasa.
Mungkin sebab pemakanan kanak-kanak zaman sekarang banyak yang ‘segera’ jadi berat badan mereka pun segera naik. Memang nampak comel anak-anak ini, tetapi jika tidak sihat, tiada guna juga kan?
Baca juga: Panduan Diet Pemakanan Untuk Anak Obesiti @ Terlalu Gemuk, #5 Paling Kena Elak!
Berlebihan berat badan bukan ‘perkara biasa’, perlu diubah
Menurut Dr Muhammad Yazid Jalaludin, kanak-kanak yang montel dan tembam mungkin kelihatan comel, dan dalam masyarakat Asia, dianggap ‘bertuah’ atau ‘cukup makan’.
Namun, kanak-kanak montel tidak harus dianggap normal demi kesihatannya. Sukar untuk kita tentukan jika seorang kanak-kanak itu berlebihan berat badan atau tidak kerana mereka membesar pada kadar berbeza.
Indeks Jisim Tubuh (IJT) seseorang boleh dikira dengan mengukur berat badan relatif kepada ketinggian untuk menentukan sekiranya seseorang kurang berat badan, normal, berlebihan berat badan atau obes.
Bagi kanak-kanak, IJT-bagi-umur ditentukan menggunakan carta IJT khusus bagi umur dan jantina untuk penilaian lebih tepat, dan membandingkan IJT mereka dengan populasi umum kanak-kanak.
Jika anak anda berlebihan berat badan, ambil langkah yang diperlukan untuk mengatasi masalah ini.
Apa yang harus anda lakukan?
Pupuk gaya hidup sihat dalam diri anak anda dan perbaiki tabiat makan bersama-sama keluarga!
#1. Jadi teladan yang baik
Sebagai ibu bapa, amalan baik bermula dengan anda! Kanak-kanak memerhati dan belajar daripada orang di sekeliling mereka. Anda harus peka tentang apa yang anda makan dan lakukan, dan bagaimana ia mempengaruhi anak anda.
Anda menentukan apa yang dibeli dan dimakan di dalam rumah dan pilihan anda membawa kesan ke atas anak anda.
#2. Libatkan seluruh keluarga
Anak anda lebih cenderung untuk menerima perubahan yang beransur-ansur dan melibatkan seluruh keluarga. Makan hidangan sihat bersama-sama dan jangan sediakan hidangan ‘khas’ untuk anak anda yang berlebihan berat badan. Dia mungkin rasa tersisih.
Jangan guna TV dan peranti agar semua orang dapat makan dengan perlahan, fokus, dan pada waktu yang tetap.
#3. Makan berdasarkan piramid makanan Malaysia
Diet sihat mempunyai makanan daripada setiap kumpulan makanan, dihidangkan dalam sukatan sederhana, dan terdiri daripada pelbagai jenis, untuk membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan.
#4. Guna konsep Pinggan Sihat Malaysia
Iaitu ½ pinggan sayur dan buah, ¼ pinggan produk bijirin, sebaik-baiknya bijirin penuh, dan ¼ pinggan ikan, daging atau ayam.
Beri dia sukatan bersesuaian dalam pinggan kecil. Juga berikan dua gelas susu setiap hari. Masih lapar? Beri dia minum air kosong (baik untuk hidrasi) dan habiskan sayur dan buahnya (untuk memenuhi 5 sajian setiap hari), bukannya menambah nasi atau mi, untuk elak makan berlebihan.
Elakkan membeli dan memberi anak anda minuman manis.
#5. Bincangkan amalan sihat
Nasihatkan anak anda kepentingan kesihatan, dan bagaimana amalan sihat seperti mengambil sayur, bersenam, dan tidur awal boleh menjadikannya kuat dan menjauhkan penyakit. Guna perkataaan mudah yang boleh dia fahami.
#6. Lebih kerap memasak di rumah
Dengan ini, hidangan anak anda akan mengandungi ramuan segar dan sihat yang dimasak dengan cara lebih sihat seperti mengukus. Pengambilan makanan segera dan snek kurang berkhasiat seperti keropok atau makanan bergoreng boleh dikurangkan.
#7. Makan di luar dengan sihat
Apabila keluar berjalan-jalan, bawa bekalan snek sihat seperti buah segar. Makan di restoran yang lebih sihat, bukan di restoran makanan segera. Anak anda akan belajar bahawa makan di luar juga harus sihat seperti makan di rumah.
#8. Snek sihat mudah didapati
Letakkan buah dan sayur yang mudah dimakan seperti epal, pisang, tomato ceri atau lobak kecil di tempat yang mudah dilihat dan dicapai. Sembunyikan makanan dan minuman berkalori tinggi!
#9. Jangan tinggalkan sarapan
Sarapan sihat membekalkan tenaga yang cukup untuk memulakan hari setelah ‘berpuasa’ (waktu tidur) 9-11 jam sejak makan malam. Tidak bersarapan juga boleh menyebabkan seseorang makan berlebihan kemudiannya.
#10. Tabiat tidur yang baik
Kajian menunjukkan terdapatnya hubungan antara kurang tidur dan berat badan berlebihan. Kurang tidur menjejaskan mood dan tingkah laku anak anda, tetapi tidur berlebihan juga tidak baik.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber:Dr Muhammad Yazid Jalaludin
Baca juga: Anak Gemuk & Kuat Makan Belum Tentu Sihat, Ia Boleh Menganggu Perkembangan Otak!