Sebut saja mengenai berpantang lepas bersalin seakan-akan ada dua kumpulan yang tegar memperjuangkan pendirian mereka, tidak kiralah berkaitan makanan berpantang atau apa saja.
Dua kumpulan ini tegar memperjuangkan pendirian masing-masing hingga kadangkala menimbulkan ketidakpuasan hati.
Satu pihak memperjuangkan mengenai berpantang cara tradisional sebelah pihak lagi memperjuangkan mengenai berpantang secara moden.
Satu pihak mengatakan berpantang cara tradisional itu lebih bagus manakala kumpulan yang lebih moden berpendapat cara moden juga tidak kurang hebatnya yang mana ia perlulah mengikut cara perubatan moden.
Berpantang lepas bersalin? Adakah ia benar-benar perlu?
Jadi sebenarnya di manakah kebenarannya? Wujudkah berpantang cara moden pada masa sekarang atau sebenarnya ia diadaptasi dari berpantang cara tradisional?
Generasi lebih tua sangat menitik beratkan hal berpantang selepas melahirkan malah jika keguguran lebih ketat pantangnya.
Mereka berpendapat yang tidak mengikut amalan berpantang akan mudah diserang penyakit terutama ketika usia semakin bertambah.
Pelbagai pantang larang yang ‘keluar’ ia termasuk tidak boleh minum air banyak, tak boleh minum ais atau air sejuk, tak boleh makan laksa setahun, jangan banyak berjalan atau berjalan laju, yang kita sendiri pun tidak tahu dari mana asalnya.
Baru-baru ini juga tular mengenai kenyataan Pakar Bedah Am, Dr. Amalina Bakri yang menindas komen netizen tentang rahim akan mengembang sekiranya minum air sejuk. Katanya “rahim bukanlah span yang bisa menyerap air”.
Ibu moden rasa dikongkong
Ada juga wanita yang mengalami tekanan kerana terasa dikongkong. Namun, sejauh mana amalan berpantang yang ditekankan oleh nenek moyang kita dulu wajar dengan zaman sekarang?
Jika dilihat, kebanyakan ibu muda kini melalui proses bersalin seakan-akan tiada apa, ibarat luka terkena pisau saja. Mereka boleh berseluar jeans sendat walaupun baru tiga hari bersalin.
Sangat menakjubkan. Dari satu segi memang membanggakan, setelah bertarung nyawa bak kata orang ibarat telur di hujung tanduk, berjam-jam lamanya di dewan bersalin, tiga hari selepas itu boleh berjalan-jalan di pusat beli belah?
Mungkin yang hanya ikut berpantang adalah ‘cuti’ lama saja. Yang lain redah saja ya?
Berpantang tradisional
Peraturan dalam berpantang yang ditetapkan dalam adat Melayu yang dikatakan ‘renyah’ dengan adanya amalan ‘wajib’ seperti berurut, bertungku, bengkung, mandian herba dan memakai pilis di dahi yang mengambil tempoh masa sehingga 44 atau 60 hari pemakaiannya.
Selain itu ada pelbagai jenis makanan yang tidak boleh dimakan kerana dipercayai ‘berangin’ dan membuatkan ibu sejuk antaranya termasuklah makanan berasaskan ubi, sayur kangkung, nangka, tembikai dan pelbagai lagi.
Dengan mengamalkan pantang cara ini didakwa mampu mengembalikan tahap kesihatan dan kecergasan.
Selain itu, mereka juga percaya yang sekiranya amalan berpantang ini tidak diamalkan, akan mendatangkan kesan memudaratkan kepada diri ibu. Tiada salahnya ibu berpantang cara ini, jika tahan, dipersilakan.
Berpantang moden
Menurut seorang pakar perubatan, Prof Dr Imelda Balchin, beliau berpendapat amalan berpantang yang sesuai untuk zaman dahulu tidak semestinya sesuai dengan zaman sekarang.
Menurutnya, zaman moden ini berbeza dengan zaman dulu terutamanya dari segi gaya hidup yang lebih moden dan pemakanan yang pelbagai.
Sebagai contoh berpantang cara nenek moyang kita tidak dibenarkan untuk minum air dengan banyak. Ini kerana mungkin zaman dahulu kemudahan tandas tidak mesra ibu bersalin seperti sekarang.
Jika dahulu mungkin jarak tandas jauh di luar rumah dan memerlukan ibu baru bersalin berjalan jauh, malah mencangkung pula, tetapi kini tandas berada di dalam bilik malah boleh duduk lagi dengan selesa.
Tetapi hari ini kita tahu bahawa meminum air adalah baik untuk kesihatan, terutamanya bagi ibu yang menyusukan bayi mereka.
Pilihan di tangan masing-masing
Yang pasti, tidak kiralah cara tradisional atau moden, apa kepentingan berpantang selepas melahirkan anak? Jawapannya mestilah tidak lain tidak bukan mahu memastikan tubuh badan termasuk emosi pulih selepas membawa satu nyawa tambahan dalam diri selama kira-kira 9 bulan lamanya.
Walau apa pun yang ibu percaya, kesihatan paling utama untuk dijaga. Asalkan ia tidak memudaratkan kesihatan, suka hati ibu lah yang mana satu pilihanmu. Zaman moden ini banyak pilihan, mahu confinement lady datang ke rumah, mahu ke confinement center, pilih saja ibu asalkan sesuai dengan kemampuanmu!
Tips kekal sihat selepas bersalin
- Dapatkan rehat secukupnya
- Minum air secukupnya
- Makan makanan berkhasiat
- Segera ke hospital jika alami masalah kesihatan
- Sentiasa positif
Sumber: apakataorang, Harian Metro
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comcara-berpantang-sendiri