Tangisan adalah satu-satunya cara bayi berkomunikasi. Walaupun baru, mereka boleh menyedari bahawa tangisan pada waktu malam dapat membantu mendapatkan apa yang dikehendaki. Jadi mungkin ada masa-masanya anda perlu biarkan mereka.
Bagaimana anda ketahui bahawa satu-satu masa itu sesuai untuk membiarkan bayi menangis pada waktu malam? Kami kongsikan panduan bagaimana menentukan bila waktunya untuk membiarkan saja bayi anda menangis.
Membezakan tangisan
Foto: Orami
Jika anda teliti dengan baik, bermula daripada hari pertama bayi dibawa pulang ke rumah, anda sudah dapat membezakan beberapa jenis tangisannya.
Tangisan disebabkan lampin yang basah berbeza daripada tangisan disebabkan lapar. Jika anda belum dapat pastikan, ambil masa untuk menganalisa tangisan bayi anda serta kenalpasti mengapa dan bagaimana mereka menangis untuk disebabkan oleh satu-satu perkara.
Ketahui masa terbaik membiarkan bayi menangis
Sentiasa periksa bayi anda apabila mereka mula menangis untuk memastikan mereka selamat. Jika anda dapati tiada apa yang terjadi terhadapnya dan dia baru sahaja menyusu, biarkan saja bayi menangis sedikit.
Ramai bayi menangis untuk mendapatkan perhatian. Cabarannya ialah menentukan bila mereka benar-benar memerlukan sesuatu dan bila mereka sekadar inginkan perhatian.
Ini sama sekali tidak bermakna anda patut biarkan mereka menangis sekuat hati. Cukuplah sekadar mendisiplinkan mereka dan memberitahu bahawa anda tidak akan datang sekiranya tidak perlu.
Pastikan anda sentiasa sedar bahawa mendisiplinkan bayi tidak harus didahulukan sekiranya terdapat keperluan atau kecemasan.
BERKAIT: Menangani bayi menangis
Nasihat pakar
Foto: Republika
Dr Marsha Weinraub, seorang pakar Perkembangan Kanak-kanak dan Hubungan Ibubapa dan Anak-Anak dari Temple University, Philadelphia menjalankan satu kajian tentang bayi yang menangis pada waktu malam pada usia 6, 15, 24 dan 36 bulan.
Hasil kajian menunjukkan pada usia bayi 6 bulan, 66% bayi tidak terjaga atau terjaga hanya satu malam dalam seminggu, sementara bakinya tidak terjaga apabila mencapai usia 15 dan 24 bulan.
Bagi Dr Weinraub, penting bagi bayi untuk belajar tidur semula sendiri. Cara terbaik adalah menidurkan bayi pada satu masa yang sama setiap malam, biarkan mereka tidur sendiri dan tahan diri daripada menjenguk bayi apabila mereka terjaga.
National Health Services, UK mencadangkan supaya ibu membiarkan bayi menangis 5 – 10 minit sebelum menjenguk mereka sekiranya semua telah diperiksa berada dalam keadaan baik dan tiada apa yang diperlukan. Dalam beberapa malam berikutnya, tingkatkan masa menunggu.
Dr Robert Epstein, pakar psikologi Kesihatan Mental dan Sains Tingkah Laku dari American Institute for Behavioural Research and Technology, juga menganjurkan teknik yang hampir sama iaitu teknik ‘waiting-for-a-pause’.
Angkat hanya jika ada kecemasan
Foto: Pa&Ma
Jika bayi menangis, pastikan anda datang padanya bagi melihat jika ada apa-apa yang perlu diberikan segera atau kecemasan. Jika tiada kecemasan, tunggu hingga tangisan reda sebelum melakukan sesuatu terhadapnya.
Apabila bayi berhenti menangis atau tangisan hampir reda, segera dapatkan mereka – memberi pelukan, membelai, bercakap-cakap dengannya dan sebagainya.
Anda boleh panjangkan sedikit demi sedikit tempoh menunggu pada hari-hari berikutnya. Beliau juga menambah bahawa menunggu bayi reda atau berhenti menangis berbeza dengan tidak mengendahkannya langsung, yang mana merupakan kaedah keibubapaan yang buruk.
BERKAIT: How to be a good parent
Teknik membiarkan bayi untuk reda daripada menangis atau tidur semula secara idealnya perlu dilakukan selepas bayi berusia 6 bulan.
Ini kerana selepas 6 bulan, bayi sudah mula dapat menyesuaikan dirinya dengan dunia baru. Sebab itulah hasil kajian Dr Weinraub menunjukkan bayi berusia 6 bulan ke atas kebanyakkannya tidak terjaga atau menangis di waktu malam.
Juga jika bayi dibiarkan menangis bagi jangka masa lama, dibimbangi hormon kortisol yang terhasil akibat tekanan yang dirasakan bayi kerana tidak diendahkan akan meracuni otak.
Menurut Dr Penelope Leach, seorang pakar Keibubapaan, ini telah dibuktikan dengan mengkaji air liur bayi yang tertekan akibat selalu dibiarkan menangis dan didapati mengandungi kadar hormon kortisol yang tinggi.
Menurutnya lagi, bayi biasanya menangis bersebab dan tidak pandai untuk ‘mengugut’ ibu dengan tangisan sekurang-kurangnya dalam 18 bulan pertama.
Apapun juga, naluri seorang ibu biasanya adalah yang terbaik.
Pernahkah anda mencuba teknik sebegini? Kongsikan pengalaman anda di ruangan komen di bawah 🙂
Sumber: Temple EDU, Telegraph UK, Guardian.UK
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Cara Jaga Bayi Newborn Supaya Kurang Fussy & Lebih Berdikari! Ibu Bapa WAJIB Baca
Baca juga: Bagaimana Memandikan Bayi Anda
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!