Hanya tinggal berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum kita menyambut Aidilfitri. Musim raya nanti tak sah kalau tiada isu berebut bilik tidur, apatah lagi apabila adik-beradik pulang serentak. Berkumpul dengan adik-beradik dan sanak-saudara memanglah seronok tetapi jangan lupa untuk bertimbang rasa dan bertolak ansur terutama berkaitan dengan aurat dan batas ipar duai.
Seperti yang tular melalui satu ciapan di Twitter, pemilik ini memuat naik luahan seorang wanita yang meluahkan rasa kecewa tentang isu berebut bilik tidur di rumah mertua ketika hari raya.
Terpaling lambat sampai, tapi dah ‘booking’ bilik awal
Wanita ini menyatakan rasa terkilan apabila ada adik-beradik suaminya menempah bilik tidur lebih awal walaupun merekalah yang paling lewat tiba ke kampung.
“Balik kg je mesti ada isu berebut bilik. Padahal kami dah sampai awal dari orang lain, tiba-tiba ada je yang dah booking bilik dulu. Sibuk pasal aurat bini dia, habis aurat saya macam mane. Mertua pun kadang-kadang serba salah, jadi saya tak adalah nak salahkan dia.”
Wanita ini turut mendedahkan suaminya pernah memberikan sejumlah wang untuk tambah bilik semasa dalam proses membesarkan rumah ibu mertuanya, namun tiada bantuan langsung dari adik-beradik yang lain.
“Masa besarkan rumah dengan tambah bilik, suami ada bagi RM15K. Adik-beradik yang lain satu sen pun takde bagi. Saya tak kisah pun sape dapat bilik, janji sape sampai dulu dia dapat, Ni tak, orang yang sama je dapat bilik. Padahal dia la yang terpaling lambat sampai”, luahnya lagi.
Dalam pada itu, rata-rata netizen berpendapat bahawa lebih baik tempah hotel atau homestay berdekatan kerana isu aurat bukanlah perkara yang kecil. Ada juga yang memberikan pandangan lebih baik asingkan bilik iaitu orang perempuan tidur di bilik tidur manakala orang lelaki tidur di ruang tamu.
Utamakan soal aurat berbanding adat
Menurut satu perkongsian video oleh Dr. Kamilin Jamilin, seorang pensyarah Fakulti Pengajian Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Tiktok, mengutarakan tentang isu balik raya tidur di homestay atau di kampung.
Kalau zaman dulu-dulu, momen yang selalu dinantikan bila nak sambut raya adalah tidur lambak atau tidur beramai-ramai di ruang tamu. Namun, itu cara dulu. Orang sekarang kebanyakannya lebih suka tidur di hotel atau homestay bila pulang ke kampung kerana ramai yang sudah mula menyedari tentang soal aurat dan ikhtilat.
@drkamilinjamilin Balik Raya, Tidur Homestay/Kampung?🤔 #IlmuSunnah ♬ original sound – Dr. Kamilin Jamilin
” Orang sekarang kekwat nak tidur luar je, orang dulu relaks je meriah tidur ramai-ramai kat ruang tengah walaupun berkeluarga besar. Orang sekarang in ramai dah sedar soal aurat ataupun ikhtilat iaitu percampuran lelaki dan perempuan”.
“Kalau rumah tu kecil berbanding kapasiti ahli keluarga yang ramai sampai lelaki dan perempuan langgat tidur dekat ruang tengah tak cukup bilik memang kita kena fikir soal agama, kita kena jaga mengatasi adat tradisi”,
“Lagi-lagi bila ada anak-anak lelaki ataupun remaja. Yang perempuan bila masuk toilet ada yang ala kadar je, tak jaga aurat. Ibu yang menyusu mungkin tak sedar tentang auratnya bila tertidur semasa menyusukan anaknya. Jadi, kalau terbangun mudah ternampak aurat perempuan”, tambahnya.
Dalam masa yang sama, Dr. Kamilin turut berkongsi hadis yang diriwayatkan al-bukhari daripada Uqbah bin Amir, Rasulullah SAW mengingatkan tentang ikhtilat antara orang perempuan dengan lelaki terutama ipar duai. Ada bahaya yang menanti jika tidak dicegah dari awal.
Namun, bagi mereka yang memilih untuk tidur di luar kerana tidak cukup bilik supaya janganlah jadi seperti tetamu yang datang hanya untuk makan. Pada waktu inilah masa yang sesuai untuk kita bersilaturahim dan saling bermaaf-maafan.
Oleh sebab itu, buat para suami jangan ambil mudah maruah dan keselesaan kaum perempuan. Biarlah apa orang nak kata asalkan kita betul-betul menjaga diri dan keluarga.
Bagaimana nak berkasih sayang bila ada yang selalu sahaja terpaksa berkorban dan makan hati dalam diam?
Baca juga: Tips Berkesan Pisahkan Tempat Tidur Anak Agar Si Manja Seronok Tidur Di Bilik Sendiri
Baca juga: Ibu Ayah, Sebelum Tidur Berasingan Dengan Si Manja, Ketahui Bahaya Yang Tersembunyi Di Bilik Bayi
Baca juga: Didik Anak Tentang Aurat & Rasa Malu Sejak Kecil, Bila Besar Nanti Pandai Jaga Diri