Buku Pink KKM: Panduan Lengkap Membuka Rekod Kesihatan Kehamilan Di Klinik Kesihatan

undefined

Kepentingan buku pink KKM untuk ibu hamil dapat memantau perkembangan kehamilan, mendapat vaksin dan sebagai rujukan semasa kecemasan.

Jika anda pernah hamil sebelum ini, pasti masih mempunyai buku pink KKM dalam simpanan. Di dalamnya penuh dengan rekod kesihatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan. Ibarat diari khas untuk bakal ibu, buku ni akan jadi rujukan penting setiap kali pemeriksaan.

Pendek kata, ke mana saja anda pergi sepanjang tempoh mengandung, buku pink ni memang kena bawa sama!

Buat yang pertama kali hamil, kami kongsikan panduan membuka buku pink untuk wanita hamil dengan mudah.

Apa Itu Buku Pink?

Buku pink KKM  adalah buku rekod kesihatan kehamilan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk ibu mengandung yang mendapatkan pemeriksaan di klinik kerajaan.

Ia berfungsi sebagai rekod penting untuk memantau kesihatan ibu dan bayi sepanjang tempoh kehamilan.

Semua maklumat penting seperti sejarah perubatan, perkembangan janin, keputusan ujian darah, tekanan darah dan rawatan yang diterima akan direkodkan dalam buku ini.

Kenapa Perlu Buka Buku Pink?

Membuka buku pink bukan sekadar prosedur biasa, tetapi sangat penting untuk kesihatan ibu dan bayi.

Buku ini memastikan ibu mendapat penjagaan kehamilan yang menyeluruh dan boleh mengesan sebarang komplikasi sejak awal.

Berikut adalah sebab utama mengapa ibu hamil perlu mendaftar dan mendapatkan buku pink:

1. Memantau Perkembangan Kehamilan

Pemeriksaan berkala yang dilakukan di klinik kesihatan memastikan perkembangan janin berada dalam keadaan normal dan sihat. Setiap lawatan akan mencatat berat badan ibu, tekanan darah serta pertumbuhan bayi dalam kandungan.

Jika ada sebarang perubahan yang membimbangkan, tindakan awal boleh diambil.

2. Mengesan Sebarang Komplikasi Awal

Kehamilan boleh menyebabkan perubahan besar dalam tubuh ibu. Sesetengah ibu berisiko mengalami tekanan darah tinggi (pre-eklampsia), diabetes gestasi atau anemia.

Dengan pemantauan melalui buku pink, masalah ini boleh dikenal pasti lebih awal dan rawatan boleh diberikan sebelum ia menjadi serius.

3. Mendapat Vaksin dan Suplemen Penting

Ibu hamil memerlukan pelbagai nutrien penting untuk menyokong kesihatan bayi dan dirinya sendiri.

Melalui buku pink, ibu akan diberikan suplemen seperti asid folik dan zat besi bagi mencegah kecacatan kelahiran dan anemia.

Selain itu, vaksin seperti tetanus juga akan diberikan untuk melindungi ibu dan bayi daripada jangkitan.

4. Rujukan Semasa Kecemasan

Buku pink bukan sekadar catatan biasa, tetapi ia juga menjadi dokumen rujukan penting sekiranya ibu mengalami kecemasan seperti pendarahan, sakit perut yang luar biasa atau tekanan darah tinggi secara tiba-tiba.

Dengan adanya buku ini, doktor di hospital atau klinik lain dapat memahami sejarah kesihatan ibu dengan cepat dan memberikan rawatan yang sesuai.

5. Menjadikan Proses Bersalin Lebih Lancar

Apabila tiba waktu bersalin, buku pink akan membantu petugas kesihatan memahami keadaan ibu sepanjang kehamilan.

Jika terdapat sebarang komplikasi atau sejarah perubatan tertentu, doktor dapat mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan kelahiran yang selamat.

6. Membantu Ibu Memahami Kesihatan Sendiri

Buku pink bukan hanya untuk rekod klinik, tetapi juga membantu ibu memahami keadaan kesihatan mereka sendiri. Ibu boleh melihat bacaan tekanan darah, ujian darah dan perkembangan berat badan mereka dari masa ke masa.

Ini memberi kesedaran kepada ibu untuk lebih menjaga kesihatan sepanjang kehamilan.

Bila Perlu Buka Buku Pink?

Anda disarankan untuk membuka buku pink seawal mungkin sebaik sahaja disahkan mengandung iaitu sekitar usia kandungan 6 hingga 8 minggu.

Pendaftaran awal membolehkan pemantauan lebih teliti dan persediaan awal jika terdapat sebarang risiko kesihatan.

Kelewatan ibu hamil membuka buku pink akan dilabelkan sebagai “late booking”.

Panduan Membuka Buku Pink (Terbaru 2025)

Bagi ibu yang ingin membuka buku pink di klinik kesihatan, berikut adalah langkah-langkah terkini:

1. Buat Temujanji Di Klinik Kesihatan

Anda boleh hadir ke klinik kesihatan ibu dan anak (KKIA) atau Klinik Kesihatan (KK) terdekat. Sesetengah klinik mungkin memerlukan temujanji awal.

2. Bawa Dokumen Penting

  • Kad pengenalan diri
  • Kad pengenalan suami
  • Gambar passport anda dan pasangan (bagi bukan warganegara)
  • Kad perkahwinan atau sijil nikah (jika berkaitan)
  • Bil air atau elektrik terkini (untuk pengesahan alamat)
  • Surat rujukan dari klinik swasta/hospital (jika ada)
  • Buku rekod kesihatan lama (jika pernah hamil sebelum ini)

Setelah anda mendaftar di Klinik Kesihatan, berikut adalah beberapa pemeriksaan awal yang akan dilakukan sebelum buku pink diberikan:

1. Ukur Tinggi & Berat Badan

Jururawat akan catat bacaan tinggi dan berat anda, diikuti dengan maklumat kesihatan seperti kitaran haid, sejarah perubatan dan sebarang masalah kesihatan.

2. Kiraan Tarikh Jangkaan Bersalin (EDD)

EDD akan dikira berdasarkan tarikh hari pertama haid terakhir anda. Ini penting untuk merancang pemeriksaan dan penjagaan seterusnya.

3. Ujian Air Kencing

Ujian ini untuk mengesan kandungan gula dan protein dalam air kencing antara petunjuk penting dalam kesihatan kehamilan.

4. Pemberian Suplemen Pranatal

Anda akan diberikan suplemen penting seperti asid folik, vitamin C, vitamin B kompleks dan zat besi untuk menyokong kehamilan.

5. Temujanji Seterusnya

Tarikh temujanji akan diberikan untuk pemeriksaan susulan, biasanya setiap 4 minggu pada awal kehamilan dan lebih kerap apabila kandungan makin besar.

Setelah semua maklumat direkodkan, anda akan menerima buku pink rasmi yang perlu dibawa setiap kali hadir ke klinik atau hospital.

Setiap buku pink akan dilekatkan dengan pelekat berwarna mengikut tahap risiko kehamilan:

  • Putih: Tiada risiko – pemeriksaan boleh dibuat oleh jururawat, bersalin di mana-mana hospital termasuk hospital daerah.
  • Kuning: Risiko sederhana – perlu jumpa doktor di klinik dan pemeriksaan susulan oleh jururawat di bawah pengawasan doktor. Contohnya: berat badan berlebihan, kehamilan pertama (primid), sejarah bersalin dengan bantuan vakum.
  • Merah: Berisiko – memerlukan pemantauan oleh doktor pakar (FMS atau O&G). Contohnya: darah tinggi, kencing manis dengan insulin, ibu mengandung tanpa nikah.
  • Merah (risiko tinggi): Perlu rujukan segera ke hospital dan pemantauan pakar. Contohnya: masalah jantung, kontraksi pramatang dan kehamilan yang sangat berisiko.

Kepentingan Merekod Kesihatan Ibu Hamil

Merekod kesihatan ibu hamil sangat penting untuk memastikan kesejahteraan ibu dan bayi. Antara kepentingan buku pink KKM untuk ibu hamil:

  • Membantu doktor memantau kesihatan ibu dan janin seperti tekanan darah, berat badan dan tanda-tanda komplikasi.
  • Faktor risiko seperti diabetes atau darah tinggi dapat dikesan lebih awal untuk mengelakkan masalah serius.
  • Mudah untuk menjadualkan temujanji dan merancang rawatan seperti ujian darah dan imbasan.
  • Rekod lengkap memudahkan doktor, jururawat dan pakar lain berkongsi maklumat dan memberi rawatan terbaik.
  • Perubahan kecil dalam kesihatan dapat dikesan lebih awal, membolehkan rawatan segera jika perlu.
  • Rekod menjadi panduan penting untuk kehamilan seterusnya atau rawatan kesihatan ibu selepas bersalin.
  • Maklumat yang dikumpul boleh digunakan untuk kajian dalam bidang kesihatan ibu dan anak.
  • Membantu ibu lebih faham tentang kehamilan dan membuat keputusan kesihatan dengan yakin.

Oleh itu, jika anda sedang hamil atau merancang kehamilan, pastikan anda segera mendaftar dan mendapatkan buku pink KKM dengan segera. Jangan bertangguh kerana penjagaan awal adalah kunci kehamilan yang sihat!

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Muntah Kuning Saat Hamil? Ketahui Punca & Cara Mengatasinya Dengan Betul!

Baca juga: Bila Boleh Buka Buku Pink Sebaik Tahu Diri Hamil? Ini Panduan Lengkap Buat Ibu, Jangan Lambat Ya!

Baca juga: Tidak Buka Buku Pink/ Lewat Buka Buku Pink, Ibu Kongsi Pengalaman & Risiko Hamil Tanpa Pemeriksaan Klinik

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!