Cabaran Ibu Tunggal – Cerita dan Petua Dari Mereka yang Menempuhinya

lead image

Jom selami realiti hidup mereka yang bergelar ibu tunggal, bersendirian dalam membesarkan anak-anak. Mereka menempuhi cabaran tersendiri, namun masih mampu berkongsi petua buat mereka yang turut menempuhinya.

Dalam kehidupan yang sempurna, bak drama dan iklan, satu keluarga yang sempurna akan terdiri daripada seorang ayah, seorang ibu, dan beberapa orang anak (secara idealnya, merangkumi kedua-dua jantina lelaki dan perempuan). Namun, kita tahu, realiti tidaklah sesempurna dan seindah itu.

Kali ini, kami ingin kongsikan dengan anda antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ibu tunggal ketika hidup secara bersendirian dan berdikari dengan anak-anak mereka.

Kami kumpulkan juga beberapa cerita dan petua mengatasi cabaran tersebut dari mereka yang pernah menempuhinya, seperti yang dikongsikan dalam Psychology Today.

Cabaran Ibu Tunggal #1 – Tekanan Emosi

Tidak kisahlah atas sebab apa sekalipun seseorang itu menjadi ibu tunggal – perceraian atau kematian pasangan – pasti ia akan disertai dengan tekanan emosi.

Ia boleh melibatkan emosi berkenaan dengan kesedihan kehilangan teman hidup atau tekanan memikirkan bebanan kewangan yang terpaksa diharungi bersendirian.

Wanita, sehebat mana pun dia, pasti akan terkesan apabila terpaksa menanggung segala beban dan tanggungjawab dalam membesarkan anak-anak secara berseorangan.

Julie Principe, 38 tahun dari Rhode Island, berkata:

“Ketika anak lelaki saya kecil, saya sering berasa runsing. Saya akan membasuh pinggan di waktu malam sambil mata bengkak kerana menangis. Saya tidak mahu anak lelaki saya nampak sebab saya tidak mahu dia risau tentang apa-apa, contohnya tentang hal duit.”

Selepas beberapa tahun mengumpul pengalaman sebagai ibu tunggal, Julie berkongsi tip kepada para ibu tunggal di luar sana:

“Saya sering beritahu pada diri sendiri, selagi kami ada makanan di atas meja, semuanya baik-baik belaka. Dan, saya sering pastikan yang saya cukup bersenam, ia membuatkan saya kurang berasa tertekan.”

Cabaran Ibu Tunggal #2 – Ragu-Ragu pada Kemampuan Diri

Apabila kita menggalas ‘jawatan’ sebagai ibu tunggal, pasti kita tidak dapat lari daripada perasaan ragu-ragu pada kemampuan diri sendiri. Adakah kita mampu membesarkan anak-anak dengan sempurna, seperti keluarga yang lain?

Sidney Cavaricci, 28 tahun dari New York City, berkata:

“Susah hendak tahu sama ada kita melakukan benda yang betul atau tidak. Bila kita ada pasangan, kita boleh berbincang tentang cara kita dan memperbaiki berdasarkan perbincangan bersama. Tetapi, sebagai ibu yang berseorangan membesarkan anak, kita perlu melakukannya sendiri tanpa bantuan sesiapa, dan ia bukannya mudah!”

single mommy Cabaran Ibu Tunggal – Cerita dan Petua Dari Mereka yang Menempuhinya

Source: Milenews.tv

Dia kemudiannya berkongsi petua dengan ibu tunggal yang lain.

“Saya sering bergaul dengan para ibu yang lain. Saya belajar dari mereka dan ambil inspirasi dari cara mereka membesarkan anak-anak. Saya juga ingatkan diri yang tiada siapa yang sempurna. Apabila saya lihat anak perempuan saya gembira, saya tahu yang saya sedang melakukan perkara yang betul.” 

Cabaran Ibu Tunggal #3 – Berasa Rindu yang Amat Sangat Apabila Tiba Giliran Anak ke Rumah Pasangan

Jika kita menjadi ibu tunggal disebabkan perceraian, ia akan menjadi satu rutin hidup yang baru, di mana kita akan berkongsi anak dengan pasangan kita. Akan ada masa untuk anak berada di samping kita, dan akan ada juga masa untuk dia bermalam di rumah bapanya.

Pada waktu ini, hanya orang yang pernah mengalaminya dapat memahami perasaan rindu yang hadir.

Elizabeth Nelson, 39 tahun dari Brooklyn, berkata:

“Kesepian adalah satu cabaran. Kali pertama anak saya pergi ke rumah bapa mereka pada hujung minggu, saya berasakan seperti segala udara dalam rumah ini telah disedut keluar – saya tidak dapat bernafas!”

Bagi menyediakan dirinya untuk menghadapi waktu kesunyian apabila terpaksa berpisah dengan anak-anak buat seketika, Elizabeth mula mencari jalan penyelesaian buat cabaran ini.

Dia menyatakan bahawa:

“Cara saya adalah saya akan merancang terlebih awal aktiviti yang saya ingin lakukan ketika anak-anak bermalam di rumah bapanya. Saya akan keluar bersama rakan-rakan, pergi makan malam atau apa sahaja – saya akan lakukan perkara yang biasanya tidak dapat saya lakukan apabila anak ada di rumah.” 

Cabaran Ibu Tunggal #4 – Hilang Masa untuk Diri Sendiri

Apabila kita terpaksa menjadi ibu dan ayah kepada anak-anak, amat mudah untuk kita menjadi terlalu sibuk dengan tanggungjawab sehingga lupa akan hak pada diri sendiri.

Kita bekerja sepenuh masa di siang hari, dan pada waktu malam, menghabiskan pula masa rehat dengan mengajar atau menjaga anak kita. Keinginan menjadi superwoman telah merampas waktu untuk diri sendiri.

Renachantel McClain, 39 tahun dari Michigan, berkata:

“Selepas seharian bekerja dan menjalankan tugas seorang ibu di rumah, kita terlupa untuk menjaga diri sendiri.”

Beliau berkongsi petua:

“Ambil masa sekurangnya satu jam setiap minggu dengan melakukan sesuatu untuk diri sendiri. Pergi berjalan, menulis jurnal – lakukan sesuatu yang membolehkan anda berhubung semula dengan diri anda, sebelum anda menjadi seorang ibu!”

Cabaran Ibu Tunggal #5 – Tiada Bantuan Kedua

Ketika kita mempunyai pasangan, kita boleh meminta bantuan dari suami untuk menguruskan anak-anak. Ia sememangnya meringankan beban, terutamanya apabila kita jatuh sakit.

Apabila bersendirian, kita hilang tempat sokongan. Jika ada pun, sebagai contoh dari ibu bapa kita, ia bukanlah bantuan sepenuh masa yang boleh kita harapkan. Ia tidak sama dengan bantuan dari pasangan hidup.

Amelia Shaw, dari Mexico, berkata:

“Kita tiada jalan keluar. Kita tidak dapat ‘pass baton’ kepada sesiapa pada hari yang kita rasa seperti tidak dapat menjalankan tugas sebagai seorang ibu.”

quote about being a single mother Cabaran Ibu Tunggal – Cerita dan Petua Dari Mereka yang Menempuhinya

Source: Pinterest.com

Bagi mereka yang pernah menempuhi cabaran ini, Tiffany Komba, 25 tahun dari California, ada berkongsi tip buat ibu tunggal di luar sana.

“Apabila anda perlukan masa bersendirian, tidurkan anak anda. Atau, biarkan sahaja dia menonton TV buat seketika. Masuk ke dalam bilik dan bertenang.”

Langkah ini sekurang-kurangnya dapat melepaskan tekanan dalam hati kita dan memberikan ruang untuk menenangkan fikiran.

Mencari Hikmah dalam Takdir Hidup

Sememangnya, menjadi ibu tunggal bukanlah satu tugas yang mudah. Namun, dengan rasa redha, keazaman, kematangan dan sikap tidak berputus asa, pasti ia akan menjadi satu pengalaman hidup yang mendewasa dan menggembirakan.

Dalam setiap perkara yang terjadi dalam hidup kita, lihat pada aspek positif.

Seperti kata Renachantel McClain,

“Ia boleh dilihat sebagai perkara yang positif. Kita tidak perlu ‘bergaduh’ dengan pasangan apabila keputusan berada sepenuhnya dalam tangan kita sebagi ibu tunggal!”