Perjalanan kehidupan dan cabaran rumah tangga setiap mereka yang sudah berkeluarga itu berbeza-beza. Boleh jadi kita melihat orang lain beruntung, bahagianya hidup dia seolah-olah tiada masalah yang dihadapi.
Apa yang anda boleh baca dalam kisah ini?
- Struggle bekerja, antara cabaran rumah tangga
- Kehadiran anak kedua
- Cadangan berhenti kerja ditolak isteri
- Urus rumah tangga bersama-sama
- Dua punca pendapatan jadi satu
Namun kita tidak tahu sejauh mana mereka berjuang menghadapi ‘pergelutan’ hidup lebih-lebih lagi membesarkan anak dalam dunia penuh mencabar ini. Kisah yang dikongsikan oleh Firdaus Shakirin yang juga bapa kepada 3 anak, antara kisah cabaran mungkin pernah dilalui ibu ayah di luar sana dalam membesarkan anak-anak.
‘Struggle’ bekerja dan cari nafkah, antara cabaran rumah tangga
Berkongsi kisahnya, Firdaus bercerita, dia dan isteri pernah bekerja secara shif 12 jam seminggu pada sebelah siang dan seminggu pada sebelah malam. Tatkala itu, mereka hanya dapat tidur 2 jam atau 3 jam dalam sehari sebelum pergi ke tempat kerja.
“Dulu kami struggle, laki bini kerja shif 12 jam seminggu siang, seminggu malam. Tidur 2, 3 jam saja sehari dan selepas itu, pergi ke tempat kerja.
“Tak tahu bila anak sulung tu kami jaga. Sedar-sedar, sudah nak dapat adik pula,” katanya bercerita menerusi hantaran Facebook.
Firdaus juga tidak terlepas daripada pandangan orang sekeliling yang beranggapan mereka sekeluarga dikategorikan sebagai orang yang beruntung.
“Ayat yang selalu dengar adalah, untunglah laki bini dua-dua kerja, duit banyak. Walhal orang tak tahu setiap bulan kami combine gaji bayar hutang.
“Duit lebih, bahagi dua. Kadang-kadang dapatlah seorang RM300 dan kadang-kadang, isteri tak ambil bahagian dia dan dia suruh kita guna saja,” katanya berkongsi cerita.
Cabaran rumah tangga semakin bertambah selepas kehadiran anak kedua
Tanggungjawab dan komitmen kemudian semakin bertambah apabila kedua-dua pasangan tersebut menerima cahaya mata kedua.
“Masuk anak dua, lagi struggle. Gaji sama tapi anak dua. Jadi saya pun decide untuk tukar tempat kerja dan cari kerja yang gaji tinggi sikit.
“Dulu duit mengasuh RM300, sekarang RM600. Dulu duit lampin pakai buang dengan susu RM200, sekarang RM400. Jadi RM1,000 memang khas untuk anak sahaja,” ujarnya lagi.
Apabila bertukar tempat kerja, Firdaus turut berdepan kesukaran untuk berjumpa isteri memandangkan jadual waktu tidak sama.
“Bila dah tukar tempat kerja, automatik jadi susah jumpa bini. Jadual kerja tak sama, seorang kerja pagi dan seorang kerja malam.
“Masa ini dah mula bincang dengan isteri. Jadi suri rumah sepenuh masa je Yang, senang sikit nak urus anak-anak,” katanya.
Cadangan untuk berhenti kerja ditolak isteri
Bapa tersebut berkata, usul meminta isterinya berhenti kerja serta menjadi suri rumah tidak dipersetujui dengan alasan, Firdaus tidak mampu untuk membayar hutang sekali gus menampung sepenuhnya perbelanjaan keluarga.
“Usul ini ditolak isteri atas alasan kerja seorang tak mampu untuk bayar hutang. Dia risau yang saya tak boleh tanggung seisi keluarga kami. Dia masih nak kerja lagi dan tengok lagi keadaan.
“Saya decide untuk tukar kerja lagi. Tapi kali ni sebab nak kerja dalam normal shif Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang. Senang nak jaga anak-anak, senang nak ambik dan hantar anak-anak, senang nak jumpa isteri sendiri. Alhamdulillah, dapat kerja normal,” katanya.
Suami isteri urus rumah tangga bersama-sama
“Apabila dapat kerja normal, anak-anak saya yang jaga, saya yang uruskan. Isteri fokus kerja siang malam dia itu saja. Bila anak-anak ikut jadual saya, saya pula jadi struggle.
“Pagi-pagi bangun seawal 5 pagi, siapkan diri sendiri, siapkan anak-anak dan jam 6 pagi hingga 6.30 pagi, keluar rumah hantar anak-anak.
“Malam pukul 7 malam baru smpai rumah pengasuh walaupun keluar pejabat pukul 5.30 petang. Dalam perjalanan balik rumah, dah call kedai tomyam untuk bungkuskan makanan.
“Kejap lagi lalu ambil, sampai umah selesai anak-anak, bagi mereka makan, main. Agak nampak macam ok, lari pergi mandi dan makan,” katanya.
Firdaus berkata, dia melalui rutin harian tersebut selama setahun sebelum isterinya mengandung anak ketiga dan perbincangan mengenai usul menjadi suri rumah sepenuh masa dibuat sekali lagi.
“Sekali lagi usul untuk jadi suri rumah sepenuh masa dibincangkan. Selepas ini kalau hantar pengasuh, tiga anak sudah jadi RM900. Tak campur susu dan lampin pakai buang.
“Isteri nak cuba dulu, tengok macam mana lepas ni. Selepas pantang, hantar pengasuh, sempat bayar RM900 untuk dua bulan.
“Kemudian tiba-tiba pengasuh pula tak boleh mengasuh sebab dia mengandung. Isteri ambil cuti dan ketika itu dia decide untuk jadi suri rumah,” katanya.
Dua punca pendapatan jadi satu
“Struggle lagi sebab dua punca pendapatan jadi satu. Hutang sama, komitmen sama, perbelanjaan sama, tapi satu gaji yang kena tanggung bayar semua.
“Tawakal kepada Allah SWT, terus maju ke hadapan. Ini adalah pilihan yang terbaik ketika ini, waktu ini untuk kami sebagai pasangan.
“Alhamdulillah, setelah sekian lama struggle, kini kerja seorang pun dah mampu untuk tanggung perbelanjaan seisi keluarga.
“Allah ganti rezeki yang hilang tu sedikit demi sedikit, tahun demi tahun sehinggalah ke hari ini Allah masih ganti lagi.
“Sekarang bila saya dengar soalan, boleh survive ke kerja seorang? Saya hanya mampu tersenyum dan menjawab, boleh asalkan tahu untuk kawal perbelanjaan, bersederhana dalam semua perkara. Tak perlu terikut-ikut dengan cara hidup orang lain.
“Asal ada nawaitu untuk keluarga, isteri dan anak-anak, selebihnya Allah permudahkan,” kata Firdaus mengakhiri kisahnya.
Facebook
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Persediaan Fizikal & Mental Sebelum Bersalin Caesar, Ini Info PENTING Ibu Kena Tahu!
Baca juga: Ramai Pasangan Tidak Tahan Dengan Ujian Rumah Tangga, Pilih Bercerai Di Usia Muda
Baca juga: “Puan Ambil Balik Anak, Dia Peliklah”- Baru 2 Hari Hantar Tadika, Ibu Sedih Anak Dilabel Tidak Normal
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!