Bonding time dengan anak-anak
Masa bonding dan ikatan antara ibu bapa adalah penting untuk bayi.
Sehingga ke hari ini pakar masih mengkaji hubungan erat antara ibu bapa dan anak, dan kesannya kepada anak tersebut.
Setakat ini, pakar tahu hubungan erat ini boleh menyebabkan anak rasa lebih selamat dan dilindungi, serta mempunyai harga diri yang lebih positif.
Selain itu, mereka juga mendapati respons ibu bapa dapat mempengaruhi perkembangan sosial dan kognitif anak.
Berikut ada 3 cadangan bagaimana anda boleh merapatkan hubungan kalian:
#1 Selalu memeluk dan merapatkan hubungan dengan anak
Peluk anak pada sebelah kiri badan dan berdekatan dengan dada, supaya dia dapat mendengar degupan jantung anda.
Setelah 9 bulan mendengar bunyi jantung di dalam rahim, bayi anda akan rasa tenang dan selamat. Ini adalah cara bonding yang baik untuk bayi baru lahir.
Sentuhan kulit dengan kulit, seperti mengurut bayi juga boleh menenangkan bayi anda. Cuba gunakan beberapa titis minyak yang selamat, seperti minyak badam manis ataupun minyak zaitun.
Meniarapkan bayi atas perut dan dada anda.
Kemudian berbual dengan anak sambil menunjukkan ekpresi wajah lucu dan pelbagai. Ini adalah cara yang baik untuk mengeratkan ikatan sambil mengajar mereka hubungan antara kata-kata dengan perasaan.
Perhatikan respons anak anda, dia mungkin akan cuba untuk meniru wajah anda!
Artikel berkaitan: Tutorial Cara-Cara Untuk Ajar Anak Anda Meniarap (Dengan Gambar)
#2 Selalu bercakap dan membaca dengan anak
Pakar mendapati bayi suka dengar percakapan orang dewasa yang mempunyai nada yang berlainan.
Jadi lain kali, cuba cakap dengan bayi anda dengan suara yang comel. Dia pasti rasa geli hati.
Ibu bapa digalakkan untuk bercerita dan membaca buku kepada anak sejak lahir juga.
Anak akan suka mendengar suara dan irama suara anda sambil meluangkan masa istimewa ini bersama-sama. Tunjukkan gambar-gambar yang menarik dengan jari anda, supaya anak boleh berlatih mengikuti objek bergerak dengan mata mereka.
Berbual dengan anak anda sepanjang hari. Anda boleh namakan benda-benda di sekeliling anda apabila sedang melakukan kerja rumah.
Sebagai contoh, sebut –
‘Cuba lihat, stoking siapa yang kecil comel ini?‘ atau ‘Ini buah epal’ sambil menunujuk kepada buah epal ketika keluar membeli belah.
Bayi suka mendengar perbualan ibu bapa mereka, dan selalu terpesona dengan aktiviti ibu bapa dan persekitaran mereka.
#3 Menyanyi dan bermain dengan anak semasa bonding time
Satu lagi cara bonding yang popular dan menyeronokkan adalah dengan menyanyi kerana ia boleh membantu membangunkan kemahiran bahasa bayi anda.
Biarpun di dalam kereta, di bilik mandi, sebelum waktu tidur ataupun pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Hati bayi anda pasti akan terhibur dengan irama nyanyian dan akan rasa tenang kerana suara anda.
Kerapkan senyum dengan bayi anda. Apabila dia membalas senyuman anda, ini akan merangsangkan tindakan kimia semulajadi dalam tubuhnya dan menyebabkan anak berasa nyaman.
Bahan kimia ini juga boleh membantu otak anak berkembang.
Ajak bayi anda untuk bermain Ba…Cak serta permainan yang mempunyai gerakkan.
Di samping dapat meluangkan bonding time, bermain permainan jenis ini dapat membantu pembelajaran dan meningkatkan kemahiran pergerakan bayi anda.
Sumber: Raising Children dan Kids Health
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Bila Ibu Ayah Berpura-Pura Memahami Cakap Bayi, Ia Boleh Membuat Bayi Jadi Pintar -Kajian