Cara tummy time merujuk kepada amalan meletakkan bayi pada perut mereka atau dalam posisi meniarap semasa bayi dalam keadaan terjaga (awake) di mana ia membantu mereka dalam mengembangkan kekuatan otot dan kemahiran motor bayi.
Tummy time juga merupakan satu bentuk senaman yang penting dalam perkembangan motor, visual dan deria bayi. Ia juga penting untuk membantu menguatkan otot teras leher, belakang dan juga otot bahu bayi.
Selain itu ia juga membantu bayi mencapai perkembangan pertumbuhan mereka dengan baik. Ia juga mampu mencegah kelewatan pencapaian motor awal bayi, sindrom kepala rata dan torticollis.
Cara tummy time terbaik ibu ayah boleh cuba

Ibu dan ayah boleh mula dengan meniarapkan anak selama 1-2 minit sambil menambahkan durasi meniarap setiap hari. Aktiviti tummy time ini boleh dilakukan selama 10-15 minit sehari.
Cara tummy time yang paling efektif ialah dengan meletakkan objek serta mainan yang selamat dekat dengan bayi anda. Gerakkan mainan itu di hadapan mukanya. Ini akan menangkap perhatian bayi anda dan mendorongnya untuk bergerak, mengangkat dan memalingkan kepala.
Anda juga boleh menggunakan buku untuk mendapatkan perhatian bayi. Tiarapkan buku tersebut berdekatan dengan bayi dan selak buku bergambar ataupun majalah. Ini akan menguatkan mata bayi anda.
Ataupun anda boleh cuba letakkan cermin mainan yang tidak akan pecah supaya bayi anda boleh melihat dirinya.
Anda juga boleh bertukar tempat yang berbeza ketika melakukan tummy time, contohnya di halaman rumah dan di atas selimut.
Cara tummy time dengan aktiviti menarik dan menyeronokkan

- Berinteraksi dengan bayi anda. Biar dia tahu anda bersamanya dengan bercakap atau bernyanyi ataupun dengan menyentuh tangan mereka dan membuat tangan mereka rasa geli.
- Sekiranya bayi anda tidak suka meniarap di atas lantai, cuba tiarapkan bayi atas segulung tuala ataupun di atas paha anda. Jika bayi anda betul-betul tidak suka meniarap, berhenti dan cuba lagi pada masa yang lain.
- Sentiasa awasi bayi anda semasa tummy time. Apabila dia menjadi semakin kuat, pastikan anda alih dan jauhkan barang-barang yang berbahaya untuk mengelakkan sebarang kemalangan.
Kepentingan ajar anak anda meniarap atau buat tummy time

Bayi banyak menghabiskan masa mereka dengan baring terlentang memandang ke arah siling, berada dalam katil bayi ataupun berada dalam pelukan ibu dan ayah.
Jadi dengan memusingkan mereka untuk meniarap atau tummy time, ia bukan sahaja dapat memberi bayi suatu perspektif yang berbeza malahan juga ia merupakan satu proses yang penting dalam membantu perkembangan tumbesaran bayi.
Walaupun aktiviti ini nampak mudah tetapi ia memberi banyak manfaat kepada perkembangan bayi anda.
1. Membantu kemahiran perkembangan motor
Apabila bayi meluangkan masa semasa aktiviti meniarap, mereka akan menggunakan dan menggembangkan otot tubuh mereka seterusnya membolehkan mereka mengangkat kepala ke atas, berguling dan seteruskan akan belajar merangkak.
Kajian menunjukkan bayi yang tidak meluangkan masa dalam posisi meniarap ini mungkin akan mengalami kelewatan dalam perkembangan motor mereka.
2. Mengurangkan kemungkinan kecacatan otak
Bayi seharusnya tidur secara terlentang untuk mengurangkan risiko kematian bayi secara mengejut atau sudden infant death syndrome (SIDS). Tetapi sekiranya bayi terlalu banyak berada dalam posisi terlentang ianya akan menyebabkan bayi berisiko mendapat sindrom kepala rata atau plagiocephaly.
Jadi tummy time boleh membantu untuk mencegah masalah ini. Bayi yang banyak meluangkan masa tummy time biasanya mempunyai bentuk kepala yang cantik dan bulat. Biasanya masalah plagiocephaly adalah biasa dan tidak berbahaya kepada bayi dan ianya tidak kekal.
Tetapi sesetengah jenis plagiocephaly boleh menyebabkan masalah yang serius yang dipanggil craniosynostosis. Jadi sekiranya anda melihat kawasan yang rata pada kepala bayi anda mintalah pakar pediatrik untuk melihatnya.
3. Mengalakkan perkembangan deria
Apabila bayi meniarap ia membantu merasai pengalaman posisi badan dan pergerakkan yang berbeza. Mereka akan mula belajar mengerakkan kaki dan tangan untuk mengubah posisi badan mereka. Hal ini membolehkan bayi melihat pemandangan yang berbeza di sekitar mereka.
Selain itu semasa proses meniarap, bayi akan meluangkan banyak masa di atas permukaan pelapik seperti tilam, permaidani, kain alas dan juga permukaan lantai. Ini membolehkan mereka merasai sensasi perbezaan permukaan yang mereka sentuh sekaligus meningkatkan pertumbuhan perkembangan deria.
Proses ini membantu mereka merasai lebih selesa dengan tekstur yang disentuh oleh mereka.
4.Baik untuk perkembangan visual
Tummy time baik untuk meningkatkan perkembangan visual bayi. Ini kerana semasa bayi meniarap mainan, boneka dan juga objek-objek lain berada sangat dekat dengan mereka. Ini secara tidak langsung membantu bayi mendapat pengalaman baru dalam menfokus, mengenalpasti dan menjejak objek di sekitar mereka.
5.Regangkan fleksor pinggul
Tummy time kadangkala merupakan satu-satunya masa dalam satu hari bayi meregangkan sepenuhnya kaki mereka dan memanjangkan sepenuhnya fleksor pinggul bayi. Hal ini sangat penting untuk keseimbangan simetri dalam proses merangkak dan juga berjalan.
6.Mengelakkan torticollis
Bagi bayi yang banyak meluangkan masa meniarap mereka kurang mendapat masalah torticollis. Ia adalah keadaan di mana otot leher mereka mengetat dan menyukarkan mereka untuk menoleh atau memalingkan muka.
7.Menstimulasi proses pencernaan
Tummy time juga baik untuk proses pencernaan bayi. Apabila bayi meregang dan menggerakkan otot perut mereka semasa meniarap ini ia secara tidak langsung mengurut organ perut yang membantu bayi mengeluarkan gas dan menstimulasi pergerakkan usus yang baik.
Jadikan aktiviti tummy time ini sebagai satu rutin harian bayi agar bayi sentiasa ceria dan untuk menjaga kesihatan pencernaan yang baik.
Apa perlu buat jika anak tidak suka tummy time

Sekiranya bayi anda tidak mahu meniarap, ibu dan ayah perlu tahu waktu yang sesuai untuk melakukan aktiviti meniarap ini. Sebagai contoh dalam masa sehari, pilih waktu di mana bayi anda berada dalam keadaan ‘mood’ yang baik untuk mencuba tummy time.
Ketika bayi berada dalam keadaan yang baik mereka secara tidak langsung bersedia untuk bekerjasama melakukan aktiviti meniarap.
Selain itu ibu dan ayah juga boleh mencuba melakukan tips dibawah:
- Pastikan tempat bayi melakukan aktiviti tummy time selesa dan selamat. Sediakan kawasan atau ruang yang menarik. Letakkan permainan di sekitar mereka.
- Duduk atau berbaring di atas lantai menghadap bayi anda. Bacakan buku cerita kepada mereka, senyum atau membuat apa-apa mimik muka yang menarik perhatian bayi. Bersembang atau nyanyi lagu kesukaan bayi anda.
- Tummy time tidak semestinya bayi perlu meniarap di atas permukaan lantai/tilam. Cuba meniarapkan bayi diatas dada anda semasa anda baring terlentang. Melihat muka ibu dan ayah akan membuatkan bayi merasa selesa, teruja dan menjadikan aktiviti tummy time ini lebih menyeronokkan.
- Anda juga boleh pertimbangkan untuk meletakkan tuala yang digulang di bawah dada bayi dari ketiak kiri ke ketiak kanan bayi anda. Menambahkan tuala ini memudahkan bayi untuk menolak dan mengangkat kepala mereka.
- Pertimbangkan juga meletakkan cermin di hadapan bayi anda semasa bayi meniarap. Bayi suka melihat pantulan imej wajah mereka jadi ia akan membantu bayi untuk belajar menampung berat badan mereka.
- Apa permainan kesukaan bayi anda? Beri mereka bermain dengannya semasa tummy time. Ia akan membantu bayi belajar mencapai. Mereka akan belajar mengawal pengunaan siku dan bahu semasa aktiviti mencapai objek ini.
- Ibu dan ayah juga boleh cuba meletakkan tangan anda di bawah dada si manja dan secara perlahan bantu mereka untuk cuba menolak seterusnya mereka akan belajar untuk mengangkat kepala. Setelah bayi mendapat kawalan leher dan kepala, ibu dan ayah bolehlah pegang dibahagian perut dan dada bayi dan mengangkat mereka untuk bermain permainan ‘kapal terbang’. Ini akan membantu si manja terbiasa dengan posisi tummy time ini.
- Jika bayi menolak untuk melakukan aktiviti tummy time, ibu dan ayah boleh mencuba mengajak mereka melakukan semula aktiviti ini pada waktu yang berbeza.
Tips tambahan untuk ibu dan ayah
1. Lakukan aktiviti tummy time ini semasa si manja anak sedang jaga. Sentiasa awasi meraka sepanjang aktiviti ini. Jangan biarkan mereka tertidur secara meniarap untuk mengelakkan kemalangan seperti kematian bayi secara mengejut atau SIDS. Jika bayi anda kelihatan mengantuk letakkan mereka di tempat tidur mereka semula.
2. Untuk kes-kes yang agak jarang aktiviti ini mungkin tidak selamat untuk bayi yang mempunyai masalah seperti berikut:
- Bayi lahir pramatang
- Bayi mempunyai masalah ketidakupayaan atau masalah kesihatan
- Bayi yang mempunyai masalah reflux
3. Jika ibu dan ayah merasa bimbing adakah bayi anda sesuai untuk lakukan cara tummy time ini, jumpa dan berbincang dengan pakar pediatrik. Mereka akan membantu memberi panduan yang selamat tentang bagaimana melakukan aktiviti tummy time ini.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Alami ‘Hot Flashes’ Selepas Bersalin? Habis Basah Katil Semasa Tidur, Mengapa Ini Terjadi?
Baca juga: Jenis Mainan Untuk Bayi 2 Bulan, Bantu Stimulasikan Penglihatan & Otak Si Manja
Baca juga: Pantang Larang Ekzema, Ibu Kena Elak Mandikan Si Manja Dengan Air Suam & Sabun
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!