Setiap pasangan yang berumah tangga pasti memiliki cara tersendiri untuk membahagiakan satu sama lain. Sediakan isteri pembantu rumah boleh menjadi salah satu cara balas pengorbanan isteri selama ini.
Isi Kandungan
Dr Hannan Yusof Hargai Isteri
Tidak semua orang mampu melakukannya, namun usaha kecil ini boleh membawa kegembiraan yang besar dalam perhubungan.
Seperti yang disampaikan oleh pengasas spa kecantikan, Dr Hannan Yusof menerusi satu hantaran di Instagramnya tentang kehidupan berumah tangga.
“Saya bagi isteri saya 7 orang pembantu rumah tanda terima kasih”
Mungkin kedengaran macam tak masuk akal, tapi di rumah saya memang ada 7 orang pekerja sepenuh masa yang membantu menguruskan keluarga kami.
Ada pemandu, tukang kebun, dan pengawal keselamatan. Semua ini untuk kemudahan isteri dan anak-anak saya.
Saya bukan nak menunjuk. Saya kongsi cerita ini sebab saya nak jelaskan, semua ini saya lakukan sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan isteri saya selama ini.
Saya mahu dia betul-betul berehat sekarang kerana dia sudah terlalu banyak berbakti untuk saya.
Isteri Korbankan Masa & Kerjaya Demi Keluarga
Di awal perkahwinan, dia banyak mengalah. Dialah yang menguruskan anak-anak kerana dia mahu saya fokus mengejar cita-cita berniaga.
Dia juga yang menguruskan segala urusan rumah dan ketika itu saya tak mampu nak beri duit kerana terikat dengan hutang akibat kegagalan perniagaan kedai makan saya.
Dia satu-satunya manusia yang yakin saya akan berjaya. Dia korbankan masa dan kerjayanya semata-mata supaya saya boleh capai impian saya dulu.
Saya banyak tinggalkan keluarga sampai masa dia lahirkan anak kedua kami, saya tiada di sisi sebab ketika itu saya di Korea untuk belajar.
Tak Pernah Meminta & Sentiasa Bersyukur
Satu perkara yang saya kagumi tentang isteri saya, dia tak pernah meminta apa-apa. Dari dulu, dia tak pernah mengidam sesuatu yang mewah. Apa saja yang saya beri, dia terima dengan penuh kegembiraan.
Dia tak pernah bandingkan hidup kami dengan orang lain dan sentiasa bersyukur dengan apa yang kami mampu miliki.
Itulah sebabnya sekarang saya bagi dia 7 orang pembantu. Biar dia betul-betul rehat dan tak perlu fikir tentang urusan rumah atau anak-anak.
“Ini waktu dia untuk menikmati hasil penat lelahnya selama ini. Sekarang dia bebas untuk kejar apa saja impiannya, sejauh mana dia mahu. Alhamdulillah”, katanya sebelum mengakhiri kapsyen panjang dengan sepotong ayat al-Quran.
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”
(Surah Al-Furqan 25:74)
Bukan mudah untuk mencari pasangan yang setia dan sanggup menemani kita di kala suka dan duka. Jika sudah menemuinya, hargailah sebaik yang mungkin kerana pasangan juga adalah pinjaman sementara dalam hidup kita.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Lelaki Kahwini Pesakit Kanser Paru-Paru Tahap 4, Sarung Cincin Atas Katil Hospital