Kebanyakan ibu-ibu Melayu terkenal dengan pelbagai cara berpantang tradisional yang diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi. Misalnya tidak boleh banyak bergerak, berjalan perlahan dan tidak boleh duduk bersimpuh.
Meskipun begitu, peraturan dalam berpantang kini dianggap menyukarkan keadaan kerana ibu perlu melakukan amalan wajib seperti berurut, bertungku, memakai bengkung dan mandian herba sekurang-kurangnya sehingga temph 40 hari.
Pengalaman doktor yang melalui cara berpantang moden
Melalui perkongsian seorang doktor, Erna Nadia di akaun Facebook miliknya, dia telah mengamalkan sendiri cara berpantang moden.
Alhamdulillah, kali ini saya memperoleh banyak ilmu yang betul mengenai kesihatan selepas bersalin. Ketika mengandung anak pertama, 6 tahun lepas rasa sangat tertekan selepas bersalin. Hal ini kerana banyak betul larangan dan kena ikut begitu begini.
Sampai hampir kena postpartum depression waktu itu. Jadi bersalin kali ini saya dan suami telah berbincang untuk buat cara yang betul. Selama 3 hingga 4 tahun ini saya sendiri selalu kongsikan tips kesihatan berdasarkan ilmu perubatan yang dipelajari. Takkanlah saya tidak ikut, kan?
Antara penjagaan yang betul selepas bersalin ialah:
- Pantang bersama suami
- Banyakkan bergerak
- Kurangkan pengambilan makanan tinggi garam dan gula
- Tidak angkat berat melebih berat anak
- Makan ubat sekiranya perlu
- Banyakkan minum air masak
- Pakai stokinette jika bersalin secara pembedahan
- Mengetahui alahan diri sendiri. Jika ada alahan pada telur atau makanan laut, elakkan seumur hidup. Bukan hanya selepas bersalin
- Pilih kaedah perancang yang sesuai
Hal yang perlu anda ingat ialah kesihatan tubuh badan hendaklah dijaga sebaiknya seumur hidup, bukan hanya selepas melahirkan bayi sahaja.
Menu makanan harian sepanjang berpantang
Makan pagi saya akan ambil roti bakar, nasi lemak, mee sup, biskut, roti canai, bijirin, capati atau ketupat.
Manakala untuk makan tengah hari dan malam pula ialah ikan, ayam, daging, telur. Masak lemak, kari, maska asam, kicap, sup, goreng kunyit, rendang dan sayur-sayuran.
Sebagai kudap-kudapan pula ialah buah oren, epal, kuih raya, coklat, maruku, kerepek, kopi dan milo. Yang pastinya saya akan ambil air masak 1.5 hingga 2 liter setiap hari.
Aktiviti hari ketiga selepas bersalin pula ialah berjalan ke sana-sini dan melakukan regangan. Memasuki hari ke-6 dah mula workout sikit, memasak, sidai baju serta kemas rumah.
Sama sahaja kan dengan aktiviti sebelum bersalin? Bezanya cuma saya hanya ambil cuti bersalin dan perlu memberikan susu badan setiap 1 jam atau dua sekali.
Punca tubuh badan menjadi letih
Selepas bersalin sememangnya ibu akan menjadi sedikit letih. Satu sebab banyak darah yang hilang ketika bersalin. Dua sebab waktu tidur harian sudah lari. Tiga sebab, posisi menyusu badan, buat kerja atau cara tidur.
Semua ini penyebab badan menjadi sengal-sengal. Jika kurang air, lagilah badan mudah rasa letih.
Dari segi perubatan, berurut, tangas atau tungku sebenarnya tidak diwajibkan. Namun jika anda ingin melakukannya, ini semua adalah reward untuk diri sendiri. Dalam erti kata lain, waktu untuk manjakan diri.
Ketika tempoh berpantang, tubuh memerlukan sedikit masa untuk terbisa dengan norma baharu dalam fasa hidup seorang ibu. Kuncinya adalah anda perlu sabar dan bertenang.
Luka bersalin sebenarnya akan cepat sembuh jika anda ambil makanan yang tinggi protein. Sebab itulah jangan takut untuk makan ikan, ayam, daging atau telur. Pastikan ambil buah dan sayur bagi mengelakkan masalah sembelit.
Air masak perlu diambil dengan banyak. Jika badan kurang air, bukan sahaja susu badan akan berkurang, tetapi tubuh akan mudah lesu serta kaki akan kejang. Manakala, rahim lebih cepat kecut jika anda kerap menyusu badan.
Kalau orang kata, tunggulah nanti umur 40. Badan kau akan sakit-sakit. Anda diamkan sahaja kerana sekarang ini umur 20 pun sudah ramai mengalami masalah kesihatan.
Sebab itulah penjagaan kesihatan tidak terhad selepas bersalin sahaja, tetapi seumur hidup. Jika sentiasa aktif dan kawal pemakanan, InshaAllah sihatlah kita.
Sumber: Pesona Pengantin
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comresipi-selepas-bersalin-sayur-sawi-tumis-air