Anak-anak yang sedang membesar sememangnya memerlukan pemerhatian rapi daripada orang dewasa bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini. Namun sedarkah anda akan kepentingan pengetahuan cara CPR yang betul?
Kaedah ini dikatakan mampu menyelamatkan nyawa orang tersayang sebelum petugas kesihatan tiba bagi memberikan rawatan yang sepatutnya.
Anak lemas panjat kolam, mujurlah isteri tahu cara CPR
Menerusi perkongsian pengalaman yang dihadapi oleh seorang bapa, Abdul Rahim, dia meluahkan perasaan hampir kehilangan anak bongsunya berusia dua tahun setengah akibat lemas.
Difahamkan kanak-kanak terbabit, Alita Raysha bermain berhampiran kolam di perkarangan rumah tanpa disedari oleh dia dan isteri.
Ini video dan kronologi apa yang berlaku kepada keluarga kami dalam tempoh 24 jam yang lepas. Harap ia menjadi pengajaran buat ibu ayah yang lain.
- (Video) Jam 3:20 petang, anak bongsu kami Alita Raysha lemas dalam kolam ketika bermain. Dia telah mengambil kerusi dari belakang rumah dan panjat penghadang.
- Kemudian kebetulan abangnya lalu dan nampak Alita kaku di dalam kolam.
- Abangnya panggil saya dan isteri. Isteri saya cepat-cepat angkat Alita yang sudah kaku dari kolam.
- Isteri saya adalah seorang bekas jururawat di PPUM, yang selayaknya digelar Super Mom dengan tenangnya telah melakukan cara CPR ke atas anaknya sendiri yang sudah tidak bergerak langsung ketika itu.
- Badan Alita sudah keras dan membulat masa buat CPR. Dia tidak memberikan apa-apa respon. Memang dah terasa seperti kehilangan anak kami pada masa tu.
- Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T setelah cuba melakukan beberapa kali CPR sambil memanggil-manggil nama anak tanpa mengalah, Alita kemudian merengek dengan sangat perlahan. Anak kami telah kembali kepada kami setelah 5 minit melakukan CPR. Kami terus menghantarnya ke Jabatan Kecemasan HRPB.
- Ketika di Jabatan Kecemasan, setelah stabil anak kami dihantar ke PHDU. Namun malam itu jam 10 malam, Alita diserang sawan yang memberi isyarat mungkin ada gangguan pada otak akibat terputus oksigen seketika pada insiden petang tadi.
- Pada jam 10:30 malam, doktor telah memindahkan anak kami ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik untuk pemerhatian rapi.
- Alhamdulillah pagi ini Alita telah sembuh sepenuhnya dan menunggu tempoh 24 jam untuk discharge.
Pengajaran buat ibu ayah akan kepentingan mengetahui cara CPR yang betul
Kami jadikan ini sebagai pengajaran dan pengalaman betapa pentingnya pengetahuan cara CPR. Tanpa tindakan pantas isteri saya semalam, kami mungkin kehilangan anak bongsu buat selama-lamanya.
Malah mungkin menghabiskan baki usia kami dengan penyesalan yang tidak berkesudahan. Sungguh tidak sanggup untuk dibayangkan. Kami jadikan ini pengajaran bahawa setinggi mana penghadang sekalipun, anak tetap boleh ambil kerusi dan panjat.
Pengawasan maksima ke atas anak-anak sememangnya sentiasa diperlukan.
Kolam itu tujuannya adalah untuk mengajar anak berenang dan apungkan badan di dalam air sekiranya berlaku kecemasan. Dua orang kakak dan abangnya sudah pandai, tapi Alita belum habis belajar lagi.
Hari ini kami telah membuat keputusan untuk simpan kolam ini, mungkin akan dipasang kemudian apabila anak sudah betul-betul dewasa nanti. Mungkin juga tidak pasang terus.
Kecuaian sedikit boleh mengorbankan nyawa
Saya kongsikan video ini agar menjadi pengajaran kepada yang lain untuk sentiasa berhati-hati. Sebenarnya sekelip mata sahaja sudah cukup untuk menyebabkan insiden kehilangan nyawa berlaku.
Alhamdulillah, hari ini semuanya selesai. Terima kasih kepada yang mendoakan. Terima kasih juga kepada Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi HRPB yang memberikan layanan terbaik kepada anak kami dan anak kecil yang lain.
Hanya Tuhan dapat membalas jasa baik kalian. Semoga apa yang berlaku pada kami ini menjadi pengajaran kepada ibu bapa lain juga. Anak adalah rezeki dan juga tanggungjawab. Jagalah mereka dengan sebaiknya.
Anda boleh lihat video di bawah, bagaimana cara yang betul untuk melakukan CPR pada anak kecil sekiranya kejadian seperti ini berlaku. Semua ibu bapa WAJIB tahu tahu bagaimana melakukan CPR.
Sumber: Abdul Rahim
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Memang Nampak Comel Bila Bayi Pakai Pelampung Baby, Namun Anda Perlu Tahu 4 Risiko Ini!