Terlalu Rindu Anak Yang Sudah Meninggal, Wanita Ini Bertemunya Melalui Teknologi VR

Sukar untuk menerima takdir kehilangan anak tercinta. Hati seorang ibu manakah tidak tersiksa berhadapan dengan rindu yang menggunung.
Kehilangan anak tercinta pastinya menghancurkan hati seorang ibu. Manakan tidak, perjalanan kehamilan selama hampir 9 bulan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui.
Kesakitan yang dihadapi tidak boleh digambarkan dengan kata-kata, malah memerlukan tempoh masa yang agak panjang untuk pulihkan kembali kehidupan seperti sedia kala.
Hal ini telah berlaku kepada seorang ibu yang bernama Jang Ji-Sung apabila telah kehilangan anak perempuannya, Nayeon berusia 7 tahun kira-kira tiga tahun yang lalu.
Mengubati rindu hati seorang ibu
Kecanggihan teknologi yang dikecapi pada hari ini telah membantunya untuk mengubati rindu yang menggunung terhadap anaknya.
Peranti realiti maya (VR) memberi peluang kepada Jang untuk bertemu anaknya biarpun hanya tempoh masa yang begitu singkat.
Pengalaman yang tidak semua orang perolehi ini telah dirakam oleh stesen penyiaran Korea Selatan, MBC, bagi memaparkannya sebagai dokumentari yang bertajuk Meeting You.
Ia telah disiarkan di Korea Selatan pada Khamis, 6 Februari yang lalu.
Sebuah pratonton yang memperlihatkan adegan pertemuan antara Jang dan anak perempuannya telah dikongsi di laman youtube MBC.
Netizen begitu sebak menyaksikan situasi ini kerana memaparkan kedua-duanya berada dalam dunia berbeza iaitu alam realiti dan maya. Namun, masih boleh bertemunya lagi.
Menurut MBC, pasukan produksi memerlukan tempoh masa hampir lapan bulan untuk membangunkan realiti maya ini.
Mereka mengaplikasikan teknologi gerakan untuk merakam setiap pergerakan pelakon kanak-kanak bagi bertindak sebagai karakter Nayeon dalam dunia maya dan turut menggunakan semula suaranya.
Bukan itu sahaja, mereka turut menyediakan sebuah taman maya yang sering wanita ini berkunjung sebagai tempat mereka bertemu.
Pertemuan di alam maya
Dalam pratonton ini, Jang berpeluang untuk membelai dan bercakap dengan anak perempuannya.
"Ibu berada di mana? Adakah ibu berfikir tentang saya?’’ itulah antara dialog yang dikeluarkan oleh pelakon animasi kanak-kanak yang hampir sama karakter Nayeon.
Pasukan produksi berjaya menyempurnakan hajat Jang yang ingin menyentuh, memegang tangan dan mengusap wajah anak perempuannya.
Dalam peranti VR berkenaan, Jang juga sempat menyanyikan lagu ulang tahun untuk puteri kecilnya.
Mereka turut menikmati hidangan ulang tahun tradisional Korean iaitu sup rumpai laut dan memberinya beberapa keping kek madu kerana ia adalah makanan kegemaran Nayeon.
Selepas itu, Nayeon telah meniup lilin dan membuat ucapan
"Tolong jangan biarkan ayah saya merokok dan tolong jangan biarkan ibu saya menangis."
Pertemuan singkat ini berakhir dengan Nayeon berbaring di atas katil. Ia cukup bermakna buat dirinya yang terlalu merindui anak tercinta.
Jang juga sempat mengucapkan selamat tinggal buat anaknya.
"Selamat tinggal, ibu sayang kamu." kata Jang dan dibalas dengan "saya juga."
Kemudian, Nayeon kembali tidur dan seperti magik, dirinya telah hilang dan bertukar menjadi seekor rama-rama yang cantik.
Pertemuan singkat yang berharga
Selepas selesai pertemuan ini, Jang mengatakan biarpun ia tidak sama sepenuhnya seperti Naeyon, dia tetap berasa seolah-olah melihat anak perempuannya yang sebenar.
Kongsinya lagi, pengalaman berharga ini turut mengajarnya supaya tidak melepaskan anaknya lagi, tetapi lebih menyayangi dan menghargainya.
Dikatakan Nayeon adalah anak ketiga dari empat anaknya. Dia telah disahkan menghidap penyakit yang jarang berlaku iaitu haemochromatosis.
Haemochromatosis berlaku kerana seseorang mengalami penyerapan terlalu banyak zat besi dalam pengambilan makanan seharian sehingga memberikan kesan terhadap kesihatan.
Masalah ini menyebabkan ia berkumpul di sekeliling tubuh dan lama-kelamaan akan merosakkan banyak organ termasuklah bahagian hati yang sekaligus membawa kepada kematian.
Pada masa ini tiada ubat untuk haemochromatosis tetapi terdapat rawatan yang boleh memanjangkan usia hidup. Nayeon telah meninggal pada usia 7 tahun pada musim luruh tahun 2017.
Sumber: Penulis asal Nikki De Guzman. Artikel ini mendapat keizinan daripada theAsianparent Singapura untuk diterjemah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
Wanita Tekad Terjun Tingkat 19 Hotel Di Genting Lepas Kecewa Dengan Suami & Hilang 200 Ribu Kerana Berjudi!
"Umur Baru 12 Tahun, Tapi Dia Sudah Perlu Jaga 5 Adik Lain Lepas Kematian Ibu..."
Luka Bersalin Bernanah Teruk, Ibu Jangan Cuba Petua MENGARUT Ketika Dalam Pantang!
Doktor Pediatrik Ini Kongsikan Cara Merangsang Anak Kecil Mula Bercakap, Jom Cuba Parents!