Ibu bapa mahu tahu cara dapat anak kembar
Ramai ibu bapa suka idea untuk dapat anak kembar. Senang cerita katanya, tak payah susah-susah mengandung banyak kali. Jadi ramai mahu tahu bagaimana cara dapat anak kembar.
Tapi apabila berbalik kepada realiti, atau situasi sebenar, bayi kembar bermakna 2 kali ganda kerja dan kesabaran, tau! Anda juga pasti akan menghadapi cabaran untuk menjaga mereka berdua serentak tanpa pertolongan.
Tapi kebaikannya, mereka boleh membesar pada masa yang sama dan bermain bersama. Lagipun jika anda hanya mahu 2 orang anak saja, anda sudah boleh mula menumpukan perhatian untuk kurus semula selepas bersalin!
Bagaimana cara dapat anak kembar?
Jika ada lebih dari satu telur disenyawakan dalam rahim, ia digelar sebagai kehamilan berganda. 2 ovum ini boleh disenyawakan sama ada di antara 2 sperma (lalu jadi kembar tak seiras) atau antara satu telur yang terbelah menjadi 2 (lalu jadi kembar seiras).
Keadaan genetik dan alam sekitar boleh menyebabkan hal ini. Jika anda ada atau melakukan 7 perkara ini, peluang untuk mendapatkan anak kembar akan semakin meningkat.
Walaupun 7 benda di bawah ini tidak beri jaminan anda boleh dapat anak kembar, tapi kebanyakannya disokong secara saintifik dan boleh meningkatkan peluang anda!
Jom semak apakah ia:
1# Isteri ada sejarah anak kembar dalam keluarga
Wanita yang mempunyai sejarah kehamilan berganda dalam keluarga mereka lebih berkemungkinan untuk mendapatkan anak kembar mereka sendiri.
Namun, kelebihan ini tidak semestinya berlaku kepada lelaki. Jadi lelaki yang inginkan anak kembar sendiri haruslah mencari seorang wanita dengan sejarah kembar untuk dijadikan isteri.
2# Lambat hamil
Jika anda lambat hamil, peluang kehamilan berganda akan jadi lebih tinggi. Walaupun ia tengok nasib dan peluang semata-mata, anda masih boleh mencuba, kan?
Tapi apabila anda hamil lambat, kehamilan akan dipantau dengan lebih teliti untuk memastikan janin dalam keadaan yang sihat.
Namun, ramai wanita masih berjaya melahirkan anak yang sihat walaupun hamil pada usia 30-an.
3# IVF
Satu lagi cara dapat anak kembar terletak pada IVF. Kemungkinan untuk mendapat anak kembar akan berganda jika anda hamil melalui kaedah ini.
Ini kerana wanita yang melakukan IVF akan diberi hormon dan vitamin untuk memastikan rahim dalam keadaan yang subur. Di samping itu, lebih dari 1 embrio akan ditanam untuk meningkatkan peluang kehamilan.
Jadi, anda bukan hanya berpeluang untuk mendapatkan anak kembar saja, malah mereka juga boleh jadi anak kembar 3! Seronoknya!
4# Jika anda sendiri sudah ada anak kembar
Jika anda sendiri sudahpun mempunyai anak kembar, peluang untuk dapat anak kembar lagi amatlah tinggi.
Ini kerana faktor yang mempengaruhi keberangkalian mendapat anak kembar adalah bergantung pada ovum wanita itu dan bukan sperma lelaki.
5# Jika isteri sedikit overweight
Pakar masih tidak tahu mengapa ini berlaku, tapi ia mungkin akibat hormon yang menyebabkan lebih dari satu ovulasi dalam satu kitaran.
Tapi anda janganlah tambahkan berat badan hanya semata-mata untuk dapat anak kembar pula, kerana anda tidak akan ada BMI yang sihat.
6# Jika wanita itu tinggi
Pelik bukan? Tapi wanita dengan bentuk badan yang tinggi mempunyai peluang yang lebih tinggi berbanding dengan wanita berbadan pendek untuk mendapatkan anak kembar!
Ehem, jadi… isteri anda itu tinggi ke tak? 😛
7# Jika anda juga anak kembar
Peluang untuk mendapatkan anak kembar adalah lebih tinggi jika kehamilan berganda sudahpun berlaku di dalam sejarah keluarga dan anda juga anak kembar!
Tak payah susah-susah, anda mungkin boleh menyambung generasi kelahiran kembar dalam keluarga kelak.
Cara dapat anak kembar – Jangan percaya mitos ini!
Walaupun ada banyak petua yang mendakwa boleh meningkatkan peluang hamil anak kembar, ada banyak yang mitos semata-mata.
Berikut adalah 3 perkara yang TIDAK akan menggalakkan kehamilan berganda.
- Makan tenusu/daging semasa ovulasi. Tiada kajian saintifik yang boleh membuktikan petua ini.
- Terapi alternatif. Naturopati atau akupunktur tidak akan meningkatkan peluang untuk dapat anak kembar.
- Kuasa sihir. Apabila terdesak, ramai pasangan akan menggunakan apa cara saja dan pasti ada saja orang yang akan mengeksploitasi keadaan ini. Jadi jangan percaya orang yang mendakwa boleh menggunakan kuasa sihir agar si isteri boleh hamil atau mendapatkan anak kembar.
Jangan patah hati jika anda tidak dianugerahkan dengan anak kembar. Yang paling penting perkahwinan anda kukuh dan anak yang lain sihat-sihat belaka.
Artikel ini diterbitkan semula dari theAsianparent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
7 Kesilapan Yang Selalu Dibuat & Harus Dielak Jika Anda Mahu Cepat Hamil