Ramai yang berkata bahawa sakit itu adalah penghapus dosa. Walaupun begitu, sebagai manusia biasa, pasti kita akan tetap menderita apabila sakit itu datang seperti migrain yang membuatkan seperti kepala rasa macam hendak pecah. Oleh itu, kami kongsikan cara hilangkan migrain demi kebaikan anda.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Ketahui apakah itu migrain sebelum mula meneroka cara hilangkan migrain
- Bagaimana migrain boleh terjadi kepada seseorang individu
- Sakit kepala ganggu hidupan seharian, perlu tahu cara hilangkan migrain
Apabila sakit kepala mula datang menyerang, ia memang akan membuatkan kita tidak mampu untuk menjalankan apa-apa tugas pun dan pasti kita akan berasa serba tak kena. Baring, sakit. Berdiri pun sakit!
Ketahui apakah itu migrain sebelum mula meneroka cara hilangkan migrain
Migrain, atau juga dikenali sebagai Vascular headache adalah sakit kepala yang menyerang secara berulang dan ianya biasa berlaku pada sebelah bahagian kepala pada permulaanya yang kemudian akan melarat hingga ke kedua-dua belah kepala.
Bagi mereka yang pernah merasa migrain ini, pasti tahu bagaimana seksanya rasa sakit kepala yang berpunca dari penyakit ini. Lagi-lagi apabila terlalu mudah diserang migrain dengan perubahan cuaca atau terlalu banyak tekanan.
Selain dari berasa sakit kepala, migrain juga boleh membuatkan seseorang mengalami beberapa simptom lain:
- Pening
- Loya
- Muntah
- Cirit-birit
- Sensitif terhadap cahaya dan bunyi
Migrain juga boleh terbahagi kepada dua jenis iaitu migrain klasik serta migrain biasa.
Apabila anda mengalami migrain klasik, sebelum anda berasa sakit kepala, anda akan mengalami prodrome atau dalam erti kata mudah, sebuah aura yang seakan-akan memberi tanda amaran bahawa anda akan diserang migrain.
Migrain biasa pula lebih lazim dialami oleh kaum wanita dan ia terjadi tanpa sebarang amaran.
Bagaimana migrain boleh terjadi kepada seseorang individu
Terdapat beberapa perkara yang boleh menjadi punca seseorang mengalami migrain. Namun, mari kami kongsikan bagaimana keadaan migrain ini boleh menyerang seseorang individu.
Dalam kepala kita terdapat beberapa saluran-saluran darah yang membekalkan darah ke kulit kepala serta otak. Migrain akan mula menyerang apabila saluran darah di kepala mengembang kepada saiz yang lebih besar daripada biasa.
Urat saraf sensori yang mengesan rasa sakit pada dinding saluran darah menjadi terangsang dan menghantar isyarat sakit ke otak.
Mengapa ini boleh berlaku? Nah, terdapat beberapa punca mengapa seseorang boleh diserang sakit migrain ini. Antaranya termasuklah:
- Stres atau tekanan
- Pengambilan alkohol
- Pemakanan seperti coklat, keju, teh dan kopi
- Tidak cukup tidur
- Perubahan hormon ketika haid
- Merokok
- Tekanan darah yang rendah
- Perubahan suhu persekitaran yang mendadak
Sakit kepala ganggu hidupan seharian, perlu tahu cara hilangkan migrain
Banyak cara yang anda boleh gunakan untuk menghilangkan migrain agar dapat meneruskan aktiviti harian anda tanpa sebarang kesakitan dan ketidakselesaan.
- Minyak panas. Jika anda diserang migrain, cepat-cepatlah sapukan minyak panas ke bahagian kepala, leher, belakang telinga serta tengkuk supaya sakit tersebut tidak melarat. Kemudian, urutlah diri anda supaya darah mula mengepal dan sakit anda akan berkurangan.
- Urutan. Ini adalah salah satu cara paling efektif untuk menghilangkan migrain. Untuk mengurut, anda boleh mulakan dengan bahagian bahu, diikuti dengan leher, tengkuk, belakang kepala dan kemudian telinga serta kepala anda. Bagi melepaskan haba yang terkumpul, anda boleh menarik sikit-sikit rambut anda. Ini akan membantu melancarkan peredaran darah dalam kepala anda.
- Duduk dalam gelap. Apabila mengalami migrain, seseorang akan menjadi lebih sensitif terhadap cahaya. Sekiranya mereka yang sedang migrain berada di tempat yang cerah atau silau, pasti akan lebih sakit kepala! Duduklah dalam bilik gelap untuk mengelak migrain melarat menjadi lebih teruk.
- Basahkan rambut. Mengikut petua masyarakat Cina, migrain anda dapat dikurangkan dengan membasuh keseluruhan rambut dari hujung hingga ke kulit kepala. Ini boleh membebaskan haba yang terperangkap pada kulit kepala, seraya menyejukkan kepala yang panas. Lagi seronok jika anda letakkan sahaja kepala di bawah aliran air yang mengalir.
- Gunakan pek ais dan air suam. Sekiranya anda berada di rumah, cara termudah untuk menghilangkan migrain ialah dengan merendam kaki dalam sebesen air suam dan kemudian meletakkan pek ais di belakang leher anda. Ini dipercayai dapat mengecutkan saluran darah di kepala, dan haba dalam badan akan keluar melalui kaki anda.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Percaya Atau Tidak, Isteri Lebih Sakit Kepala & Stres Layan Kerenah Suami Berbanding Anak-Anak
Baca juga: Kerap Sakit Kepala Sebelah Kanan, Ini Penyebab Ia Terjadi & Petua Bagi Mengatasinya!
Baca juga: Cara Urutan Sakit Kepala Untuk Ibu Hamil Tanpa Perlu Makan Panadol