Baru-baru ini, seorang bayi berusia 11 bulan telah terkena jangkitan saluran kencing kerana kemaluannya dibersihkan dengan cara yang salah.
Ini hanyalah salah satu dari jangkitan yang boleh dihidapi jika tak mengikut cara membersihkan kemaluan bayi perempuan dengan betul.
Artikel ini akan memberi anda panduan lengkap tentang apa yang normal dan tak normal tentang kemaluan bayi perempuan anda dan memberikan cara membersihkan kemaluan bayi perempuan dengan betul.
Cara membersihkan kemaluan bayi perempuan: Apa yang anda perlu tahu?
Pakar kanak-kanak, Dr. Laura Jana berkata, adalah normal jika anda melihat kemaluan bayi perempuan anda sedikit bengkak selepas lahir.
Khususnya, anda akan perasan bibir luar vagina (labia majora) bengkak dan kulit labia akan licin atau sedikit berkedut.
Normal jika anda ternampak sedikit tisu berwarna pink terkeluar di antara labia. Ini dipanggil humenal tag dan akan hilang sendiri ke dalam labia apabila kemaluan anak perempuan anda berkembang.
Jika anda lihat bayi mengeluarkan cecair berwarna jernih, putih atau kemerahan seperti darah haid, ini juga normal.
Ia terjadi disebabkan oleh kesan hormon ibu yang masuk ke dalam badan bayi dan akan hilang sendiri dalam beberapa minggu.
Jika keadaan ini berlaku, jangan gosok vagina anak anda. Jika dalam masa beberapa minggu cecair ini tak hilang dan mengeluarkan bau, hubungi doktor anda dengan segera.
Cara membersihkan kemaluan bayi perempuan dengan betul
1 – Waktu mandi
Kemaluan bayi perempuan anda sangat sensitif, jadi anda perlu berhati-hati semasa membersihkannya.
Pada dua minggu pertama, ramai ibu bapa memilih untuk membersihkan kawasan ini dengan hanya menggunakan air yang bersih dan kapas.
Tapi jika anda ingin menggunakan sedikit sabun bayi ke dalam air yang anda gunakan juga tak menjadi masalah. Anda juga boleh gunakan tisu basah tanpa bau atau kedua-dua cara sekali.
Pastikan sabun yang anda pilih adalah sesuai dengan bayi dengan mengujinya di kawasan kecil kulit bayi anda.
Jika sabun tersebut sesuai dengan bayi, campurkan sedikit ke dalam air dan celupkan kain lembut atau span dan bersihkan kawasan kemaluan dari depan ke belakang.
Jangan gosok kawasan kemaluan bayi anda semasa membersihkan. Apabila selesai mandi, lap dengan cara menekapkan tuala perlahan-lahan untuk mengeringkan air dan bukan dengan menggosok.
Ingat: jika bayi anda buang air besar sebelum waktu mandi, bersihkan kawasan kemaluannya dulu sebelum memasukkannya ke dalam air mandi.
2 – Semasa menukar lampin
Pertama, gunakan lampin untuk membersihkan kotoran pada kawasan kemaluan.
Gunakan tisu basah atau kapas dan usap dari depan ke belakang. Guna tisu basah yang baru selepas satu usapan.
Membersihkan kemaluan dengan cara ini akan mengelakkan bakteria dari punggung bayi berpindah ke vagina.
Tepuk kawasan kemaluan dengan lembut untuk mengeringkan dan anda boleh meletakkan krim lampin jika anda mahu sebelum memakaikan lampin baru.
Semasa menukar lampin, jika anda perasan yang najis telah masuk ke dalam bibir vagina, ini adalah cara yang betul untuk membersihkannya:
- Selepas membasuh tangan dengan bersih, perlahan-lahan buka bibir vagina bayi anda.
- Gunakan kain lembab yang bersih atau tisu basah dan perlahan-lahan bersihkan kawasan dari depan ke belakang bermula dari tengah vagina di tempat yang kotor
- Jika bayi anda lasak dan banyak bergerak, gunakan air dan sedikit sabun untuk membersihkan kemaluan mereka.
3 masalah kesihatan jika cara membersihkan kemaluan bayi perempuan salah
1. Inguinal Hernia
Menurut Dr. Victoria Rogers McEvoy penolong profesor di Sekolah Perubatan Harvard, keadaan ini terjadi apabila tisu badan seperti gelung usus bergerak ke kanal inguinal yang terbuka.
Ini akan menyebabkan benjolan yang tak menyakitkan di kawasan pangkal paha anak anda yang akan anda perasan semasa menukarkan lampinnya.
2. Jangkitan saluran kencing (UTI)
Bayi anda boleh mendapat UTI dari bakteria yang telah membiak di dalam saluran kencingnya.
Untuk bayi perempuan, uretra dan lubang punggung jaraknya sangat dekat dan risiko untuk mendapat UTI lebih tinggi jika tak dibersihkan dengan betul selepas buang air besar atau kecil.
Ini sebabnya kenapa ia penting untuk anda sentiasa membersihkan kawasan kemaluannya dari depan ke belakang untuk mengelakkan najisnya berpindah ke vagina.
Biasanya, tanda UTI adalah demam yang tinggi. Tapi kadang-kadang, ia akan disertai dengan tak selera makan, muntah-muntah, kencing berbau pelik dan mood tak menentu secara tiba-tiba.
Jika anda nampak tanda-tanda ini pada bayi anda, beritahu doktor dengan segera kerana UTI yang tak dirawat boleh merosakkan buah pinggang.
3. Labia melekat
Ini terjadi apabila kulit di depan vagina melekat. Ini biasanya terjadi kerana iritasi dari ruam lampin, kata Dr. Monique pakar ginekologi kanak-kanak di New York. Ia juga kadang-kadang boleh dilihat semasa bayi baru lahir.
Labia melekat ini biasanya tak sakit dan tak akan mengganggu bayi anda untuk kencing.
Lihat video di bawah untuk mendapatkan panduan tentang cara untuk menukar lampin bayi anda:
Segala maklumat di atas hanyalah untuk rujukan anda, jika bayi anda mempunyai apa-apa masalah kesihatan, sila rujuk dengan doktor untuk mendapatkan penjelasan yang lebih tepat.
Artikel asal ditulis oleh Nalika Unantenne dan diterjemah dengan izin dari theAsianparent Singapore
Baca juga:
Cara Menjaga Kebersihan Kemaluan Bayi Lelaki: Panduan Buat Ibu Bapa