Kebanyakan wanita di negara ini tidak tahu cara mengesan kanser payudara dengan melakukan pemeriksaan sendiri di rumah. Bahkan ada yang mengakui bahawa mereka tidak pernah meneliti bahagian payudara atas sebab-sebab tertentu.
Meskipun telah diwar-warkan bahawa kanser payudara merupakan kanser paling tinggi terjadi dan penyebab utama kematian dalam kalangan wanita di Malaysia, namun masih ada yang belum membuka mata untuk mengambil langkah pencegahan awal.
Isi Kandungan
Cara mengesan kanser payudara sendiri di rumah
Menurut laporan Berita Harian, statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada Februari lalu mendedahkan seorang daripada sembilan wanita di negara ini berkemungkinan menghidap penyakit kanser.
Daripada kalangan wanita itu 33.9 peratus menghidap kanser payudara, kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).
Pakar Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Aqilah Othman, berkata keadaan itu semakin membimbangkan berikutan trend penghidap kanser payudara sudah berubah apabila lebih ramai wanita bawah 40 tahun didiagnosis menghidap kanser.
Menyedari akan hal ini, adalah penting untuk para wanita mengetahui cara mengesan kanser payudara dengan betul bagi membolehkan anda mendapatkan rawatan lebih awal dan berkesan.
Pentingnya Pengesanan Awal Kanser Payudara
Pengesanan awal kanser payudara secara signifikannya dapat membantu memperbaiki peluang untuk rawatan selanjutnya berjaya. Apabila kanser payudara dikesan pada peringkat awal, ia biasanya lebih mudah untuk dirawat, kurang invasif, dan selalunya membawa ke arah penyembuhan sepenuhnya.
Pemeriksaan sendiri di rumah, sekaligus diikuti dengan pemeriksaan kerap secara klinikal dan mamogram, boleh memainkan peranan penting dalam mengenalpasti isu berpotensi seawal yang mungkin.
Pemeriksaan sendiri payudara (PSP)
Bagi wanita yang berusia 20 tahun ke atas perlu melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) setiap bulan sepanjang hayat mereka. Manakala bagi anda yang melebihi usia 30 tahun, perlu melakukan Pemeriksaan Payudara oleh doktor atau kakitangan perubatan lain setiap tahun.
Justeru, bilakah waktu yang sesuai untuk melakukan PSP? Jika anda masih datang haid, PSP mestilah dilakukan di antara hari ke-7 hingga ke-10 selepas keluarnya haid. Namun bagi mereka yang memiliki kitaran haid yang tidak teratur atau sudah putus haid, PSP mesti dilakukan pada satu hari yang ditetapkan setiap bulan.
Jadi pilihlah hari yang mudah untuk diingati, seperti hari pertama atau terakhir pada bulan tersebut.
Dua cara untuk melakukan PSP di rumah
1. Berdiri di hadapan cermin
Anda hendaklah meneliti pada saiz, bentuk dan keseimbangan bentuk payudara (simetri) serta paras kedua-dua puting payudara.
- Tanggalkan pakaian pada paras pinggang. Lihat diri anda di hadapan cermin.
- Angkat kedua-dua tangan ke atas kepala. Periksa payudara dari pelbagai sudut.
- Berdiri tegak di hadapan cermin dengan tangan anda di sisi. Pusing ke kiri dan ke kanan untuk mengesan sebarang perubahan pada payudara.
- Tegangkan otot-otot bahagian dada dengan mencekak pinggang dan menolak ke bawah.
Antara tanda amaran yang perlu anda beri perhatian ialah:
- Puting payudara tertarik ke dalam
- Perubahan bentuk dan saiz payudara yang luarbiasa
- Ada benjolan pada ketiak atau payudara
- Ada kerutan atau lekuk luar biasa pada payudara
- Pendarahan atau lelehan cecair luar biasa dari puting
2. Cara berbaring
- Mulakan dengan payudara kanan. Baring mengiring ke kiri dengan membengkokkan kedua-dua lutut anda.
- Letakkan bantal atau tuala mandi yang telah dilipat di bawah bahu sebelah kanan untuk menaikkan bahagian yang akan diperiksa.
- Kemudian letakkan tangan kanan di bawah kepala. Gunakan tangan kiri anda untuk memeriksa payudara kanan anda.
- Gunakan tapak jari-jari anda untuk memeriksa sebarang penebalan atau benjolan.
- Kemudian periksa payudara anda dengan melakukan dua kaedah di bawah.
1.Cara mengesan kanser payudara kaedah urutan menegak (Vertical Strip)
- Periksa seluruh kawasan payudara dalam corak urutan menegak, dari tulang selangka di bahagian atas kegarisan kutang (bra-line) di bahagian bawah; dan dari garis-tengah antara kedua payudara ke garis tengah di bahagian bawah ketiak menggunakan tangan kiri, mulakan urutan pertama di ketiak.
- Buat pusingan ringan dan kemudian tekan kuat di tempat ini untuk merasakan sebarang benjolan atau penebalan.
- Gerakkan tangan perlahan-lahan ke bawah ke arah garis-kutang menggunakan pusingan ringan dan tekanan kuat di setiap tempat.
- Di bahagian bawah garis-kutang bergerak lebih kurang dua sentimeter ke kiri dan terus ke arah atas menuju tulang selangka anda dengan melakukan pusingan dan tekanan.
- Bergeraklah ke atas dan ke bawah mengikut urutan dan liputi seluruh kawasan yang di tunjukkan.
2. Cara mengesan kanser payudara dengan kaedah Pusingan
- Bermula di bahagian atas payudara anda, buat pusingan yang besar. Bergeraklah sekeliling payudara anda dengan memerhatikan sebarang benjolan atau penebalan yang luar biasa.
- Buat sekurang-kurangnya tiga pusingan kecil sehingga anda sampai ke puting payudara.
- Lakukan ini sebanyak dua kali dengan tekanan ringan dan tekanan kuat.
- Jangan lupa periksa bahagian bawah areola (kawasan hitam).
Kemudian, lakukan pemeriksaan lelehan di puting payudara dan bahagian ketiak anda.
- Menggunakah kedua-dua belah tangan, tekan payudara anda untuk melihat sama ada terdapat sebarang lelehan luarbiasa dari puting payudara.
- Jatuhkan tangan kanan anda ke sisi dan rasa ketiak anda dengan teliti untuk mengesan sebarang benjolan.
Mula sekali lagi langkah yang sama untuk payudara kiri dengan menggunakan tangan kanan.
Untuk lebih mudah, anda boleh tonton video ini:
Apa Yang Perlu Dilihat Ketika Membuat Pemeriksaan Sendiri Payudara Di Rumah
Ketika pemeriksaan sendiri payudara, sentiasa peka terhadap tanda-tanda ini:
- Ketulan baru atau jisim di dalam payudara atau bahagian bawah siku.
- Perubahan dalam bentuk saiz payudara, bentuk atau simetri.
- Kesakitan yang tidak dapat dirungkai atau rasa lembik di dalam payudara.
- Kulit berubah seperti kemerahan, dimpling, kulit berkedut, atau bersisik.
- Perubahan pada puting, termasuklah cecair keluar dari puting, penyongsangan, atau warna dan tekstur bertukar.
Bila patut rujuk doktor
Jika anda mendapati perubahan yang luar biasa atau tidak pernah berlaku sebelum ini ketika membuat pemeriksaan sendiri payudara, adalah penting untuk anda merujuk terus kepada pakar kesihatan anda dengan secepatnya. Sentiasa ingat yang kebanyakkan ketulan pada payudara adalah bukan kanser, tetapi hanya doktor yang boleh memberikan diagnosis tepat menerusi pemeriksaan klinikal, mamografi, dan boleh jadi ujian lanjut.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kadar Pesakit Kanser Payudara Semakin Meningkat, Wanita Muda 20-40 Tahun Paling Ramai Yang Kena
Baca juga: Kanak-Kanak 3 Tahun Ini Menjadi Antara Pesakit Kanser Payudara Termuda Di Asia!
Baca juga: Ibu Muda Ini Hidap Kanser Payudara & Koma Lepas Bersalin, Si Kecil Belum Sempat Menyusu