Panduan lengkap cara menyusu bayi yang sumbing (cleft lip)

Cara menyusukan bayi sumbing, cleft lip atau cleft palate boleh menjadi lebih senang kalau mengikut panduan ini...

Setiap ibu pasti tahu cabaran menyusukan anak, tetapi pernah tak ibu terfikir bagaimana pula kalau bayi sumbing bibir dan lelangit? Bagaimana cara menyusukan bayi sumbing?

Pasti mencabar bukan? Biarpun mencabar, sebenarnya terdapat banyak kisah ibu menyusukan bayi sumbing bibir dan lelangit yang berjaya.

Sumbing bibir dan lelangit adalah kecacatan sejak lahir apabila mulut bayi, rahang atas dan hidung tidak membentuk dengan betul. Pada umumnya, bayi akan sumbing bibir atau sumbing lelangit.

Tetapi kadang-kadang kedua-duanya boleh berlaku sekali.

Apa itu sumbing lelangit?

Lelangit adalah bumbung mulut anda. Apabila disentuh dengan lidah, bahagian depannya rasa keras dan semakin lembut apabila menuju ke belakang kerongkong.

Apabila bayi dilahirkan dengan keadaan sumbing lelangit, dia akan mempunyai pembukaan di antara hidung dan bumbung mulutnya.

Setiap bayi dengan keacatan mulut ini adalah berlainan -- ia mungkin mula dari bahagian keras atau bahagian lembut lelangit bayi. Kadang-kadang ia melibatkan seluruh mulutnya.

Apa itu sumbing bibir pula?

Kebanyakan bayi yang dilahirkan sumbing lelangit biasanya akan sumbing bibir juga. Sumbing bibir adalah pembukaan pada bibir atas tetapi ada juga yang sumbing bibir unilateral.

Dalam keadaan bibir sumbing unilateral, pembukaan pada bibir atas hanya berlaku pada satu sisi sahaja: di sebelah kanan atau di sebelah kiri.

Untuk bibir sumbing bilateral pula, pembukaan bibir akan berada di kedua-dua sisi dan terdapat celah di tengah-tengah kedua lubang hidung.

Cara menyusukan bayi sumbing bibir dan lelangit

Cara menyusukan bayi sumbing bibir dan lelangit memerlukan banyak tenaga dan kesabaran. Ibu menyusu dan anak akan memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri. 

Bantuan dan sokongan dari pakar laktasi yang berpengalaman juga sangat penting untuk menjayakan penyusuan ibu. 

Tetapi sebelum bayi anda menjalankan pembedahan, ibu-ibu boleh cuba dulu yang berikut:

#1 Pemampatan payudara

Ini kaedah untuk merangsangkan susu supaya ia akan keluar lebih lancar. Sebaik sahaja bayi sudah melekap dan mula menyusu, beri dia beberapa minit dahulu.

Cara menyusukan bayi sumbing bibir dan lelangit ialah dengan memerhatikan mulut bayi anda yang menyusu dengan mulut terbuka dan tertutup.

Apabila ini berlaku, perah payudara anda dengan perlahan-lahan di antara jari dan ibu jari anda untuk melancarkan susu. 

Jika anak berhenti tiba-tiba, ibu juga perlu berhenti memerahkan payudara kerana mungkin bayi anda sudah tidak mahu menyusu atau perlu berehat. 

#2 Prostesis Obturator  (plat gigi)

Gambar screenshot dari Youtube : RJ's Cleft Journey

Walaupun doktor Australia dan Amerika Syarikat akan mengesyorkan bayi sumbing bibir dan lelangit untuk menggunakan prostesis obturator (plat gigi), di Malaysia ada juga!

Ia adalah alat prostetik yang diperbuat dari akrilik yang boleh menutup lelangit mulut bayi. Pakar ortodontik boleh membuat plat gigi mengikut bentuk mulut bayi anda dalam masa 2-3 hari pertama selepas kelahiran.

Tetapi cara menyusukan bayi sumbing dan lelangit yang menggunakan alat prostetik ini adalah sedikit berbeza. Ibu perlu berhati-hati dengan penempatan puting supaya tidak tercedera.

#3 Kedudukan ibu menyusu 

Cara menyusukan bayi sumbing bibir yang paling berkesan ialah dengan menggunakan posisi yang sesuai. Kepala bayi hendaklah rapat dengan payudara.

Dalam semua cara menyusu, adalah yang terbaik untuk memegang payudara anda di dalam mulut bayi anda.

#4 Kerapkan sentuhan kulit ke kulit

Banyakkan sentuhan kulit ke kulit dengan bayi untuk membina ikatan yang lebih erat. Ini juga boleh membantu bayi anda berasa lebih selesa dan menyumbang kepada perkembangan yang lebih baik.

Sentuhan kulit ke kulit juga akan merangsang refleks bayi untuk menyusu lebih kerap.

Akhirnya, bersabarlah

Sebelum pembedahan dapat dilakukan ke atas bayi anda, bersabarlah dan jangan putus asa dan terus cuba menyusukan anak sambil mengikut petua dan tunjuk ajar dari pakar laktasi.

Cara menyusukan bayi sumbing bibir selepas pembedahan  

Setelah pembedahan sudah selesai, ibu perlu berhati-hati apabila menyusukan bayi anda. Berikannya sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan jangan lupa langkah-langkah ini:

  • Menyusu sekerap yang mungkin: Ini untuk memastikan susu ibu sentiasa lancar dan cukup untuk bayi selepas pembedahan untuk meningkatkan sistem imunnya.
  • Mengepam susu seperti biasa: Bayi anda mungkin tidak akan dapat menyusu sehingga dia pulih dari pembedahan. Jadi pastikan ibu rajin mengepam semasa ini untuk memastikan susu ibu mencukupi dan tidak berkurang. 
  • Alat untuk membantu penyusuan: Jika ibu masih tidak dapat menyusukan anak selepas pembedahan, anda boleh cuba untuk memberi susu ibu dengan menggunakan picagari. Ibu juga boleh cuba menyusu dengan menggunakan nipple shield ataupun cup feeding and nipple shields. Ada juga botol-botol yang boleh membantu bayi yang tidak dapat menghisap dengan baik seperti Medela Special Needs bottle
  • Pantau isu lain yang berkaitan: Ramai bayi sumbing bibir juga senang colic dan perut kembung, jadi jangan lupa untuk tegakkan badan mereka semasa menyusu.
  • Pastikan ibu bapa sendawakan anak selepas menyusu dan urut bahagian perut untuk melegakan perut yang masuk angin. Muntah susu adalah perkara yang biasa untuk bayi sumbing bibir dan lelangit, tetapi keadaan ini akan pulih selepas pembedahan. Jika bayi anda masih muntah, dapatkan bantuan pakar laktasi. 

Kesimpulannya, cara menyusukan bayi sumbing bibir dan lelangit memang banyak cabarannya dan memerlukan kesabaran.

Walaupun sangat susah, ibu-ibu tidak perlu bimbang. Anda tidak berseorangan, kerana ramai juga ibu-ibu lain yang menghadapi cabaran yang sama.

Sebaliknya tumpukan perhatian kepada anak tersayang dan kekalkan sikap yang positif. Semoga membantu!

 

 

 

 

 

 

 

Rujukan: breastfeeding.asn, MyHealth

Baca juga:

 

Penulis

Rosanna Chio