Ramai wanita yang berkorban masa, tenaga, wang sebaik mereka menjadi ibu. Segalanya dilakukan atas dasar sayang dan menghargai anak-anak serta suami sehingga lupa untuk menghargai dan cinta diri sendiri.
Malah diri sering rasa bersalah, cukupkah itu? cukupkah ini? Pertanyaan yang tak henti bermain di fikiran.
Wahai ibu semua, percayalah, semuanya cukup. Tarik nafas lega, dan mula hargai apa yang anda sudah lakukan. Kalau sendiri tak hargai bagaimana anak-anak dan suami nak hargai anda.
Menurut Puan Diyana Tahir semasa di dalam kelas ‘Kembali Bercinta, beliau ada menerangkan agar penting untuk perempuan memberi fokus pada diri sendiri dan lupakan buat seketika suami dan anak.
Maksud lupa di sini bukanlah lupakan terus, untuk seketika saja, dan lakukan apa yang anda suka untuk diri sendiri bukan sebagai ibu atau isteri. Cinta diri sendiri itu tak susah.
Pentingnya cinta diri sendiri dahulu
Menurut Pn Diyana, tidak ada salahnya untuk kita berkorban demi kepentingan orang lain tapi pastikan kepentingan diri juga diambil kira.
Jaga dulu kesihatan mental kita, keperluan kita dan tanggungjawab pada diri kita dahulu barulah kita punyai kudrat dan mental yang sihat untuk jaga keperluan orang lain.
Hal ini kerana, Allah SWT perintahkan supaya kita bertanggungjawab terhadap diri sendiri terlebih dahulu kemudian barulah orang lain.
Apa yang Allah ajar ini adalah tepat sekali kerana orang yang bertanggungjawab dengan diri sendiri dan menghargai dirinya, tentulah orang itu seorang yang bahagia menjalani kehidupannya.
Sekaligus kebahagiaan yang dikecapi oleh sang isteri itu, akan terpancar keluar kepada suami, anak dan seluruh keluarga. Ini kerana hanya orang bahagia sahaja yang mampu memberikan kebahagiaan itu.
“Ada ketikanya kita merasakan, oh tidak mengapa hari ini saya mengorbankan masa untuk menyiapkan suami smart-smart pergi ke tempat kerja.
“Kemudian baju anak pula diperkemaskan dengan rapi siap ada brand yang pelbagai.
“Tapi pernah atau tidak, anda tunduk dan lihat pakaian sendiri, bagaimanakah rupanya?
“Adakah ia sudah sempat bergosok atau sebaliknya dan bilakah kali terakhir anda membeli baju baru? Pernah tanya tak pada diri sendiri?
“Kemudian lihat pula, adakah baju kita dengan baju suami setaraf?
“Lihat pula meja solek anda, adakah bedak compact sudah kehabisan? Adakah anda sudah sempat menggantikannya dengan yang baru?
“Itu belum masuk lagi waktu tidur, cukup tak tidur setiap hari? ditambah pula anak-anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian lebih daripada ibu mereka ini.
“Bagaimana pula dengan makanan kegemaran kita, bila kali terakhir kita menjamahnya?
“Atau sejak dah beranak pinak ini, tak terfikir makanan kegemaran sendiri hanya ikut selera suami dan anak-anak sahaja.
Inilah antara sebab mengapa kadang-kadang seorang isteri itu boleh tertekan, stres, dulu lawa sekarang tidak dan ada ketikanya tidak kenal siapa diri mereka lagi.
Apa yang mereka tahu segalanya demi suami dan anak-anak. Hal diri sendiri tolak ketepi dulu.
3 Tips mencintai diri sendiri
#1. Menulis perkara yang diimpikan
Menurut Pn Diyana, pertamanya setiap daripada wanita perlu menulis apa perkara yang sangat mereka impikan di dalam sekeping kertas.
“Sebagai manusia, tentu kita ada cita-cita dan impian, bukan? Jadi, ambil sekeping kertas dan tulis impian anda itu.
“Tulis sahaja, tidak kira logik ataupun tidak. Sebabnya apa yang kita tulis ini boleh menjadi satu doa hingga satu masa ia akan bermain difikiran atau mungkin anda akan mencapainya tak lama lagi.
Kemudian, tuliskan perkara yang mampu membuatkan kita rasa bahagia contohnya memasak, menanam bunga, melancong, tidur di hotel mewah atau dapat pergi gym untuk turun berat badan.
Bayangkan kalau kita mampu tulis dalam masa 30 hari, tentu emosi kita akan bertambah baik hingga anak-anak pun nampak ibunya lebih ceria dari sebelumnya.
#2. Meraikan diri sendiri
Seterusnya, raikan diri sendiri dengan membeli apa saja barang yang anda sukai. Contohnya kalau minat barangan elektrik, belilah yang baru kalau nampak lama yang lusuh.
Sekurang-kurangnya beli hadiah untuk diri sendiri ini sebulan, seminggu atau sehari sekalipun.
Kalau rasa minum kopi setiap hari itu menyeronokkan, buat saja kerana emosi positif waktu pagi dapat menaikkan momentum sepanjang hari.
“Seperti saya, lebih suka bersendirian bersama Al-Quran setiap pagi, walaupun satu ayat sahaja yang sempat baca. Itu pun sudah cukup rasa berguna pada hari tersebut.
#3. Menjaga spiritual
“Spritual ini maksudnya bagaimana kita menjaga hubungan dengan Allah SWT. Jika dahulu, saya pun sama lebih kejar kuantiti ibadah berbanding kualitinya.
“Namun semuanya tidak memberikan impak positif dalam hati. Tapi bila tukar kepada kualiti ibadah walau sikit, hidup ini akan rasa lebih bererti,” ujarnya.
Sumber: Nurulain Ahmad, Rockyourhomeschool
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sayangi Diri Sendiri Dulu, Ibu Perlu Ingat Anda Juga Perlu Rehat