Konsep Cinta Sepenuh Hati & Tanpa Syarat
Apa maksud mencintai pasangan dengan sepenuh hati dan tanpa sebarang syarat bagi anda? Rasanya, maksud konsep cinta ini sungguh rumit untuk dibincangkan. Semua orang mempunyai pandangan sendiri tentangnya.
Ada yang menganggap konsep cinta sepenuh hati dan tanpa syarat ini bersifat –
“Aku mencintai dia tanpa sempadan atau had.”
“Aku akan maafkan semua perkara sebab aku cintakan dia.“
Atau mungkin saja, mereka menganggap cinta sepenuh hati adalah seperti –
“Aku amat mencintai dia. Aku akan abaikan diri aku. Aku akan berubah untuk dirinya. Aku mencintai dia walaupun selepas apa yang dia buat pada aku. Dia boleh layan aku dengan buruk, tapi aku akan sentiasa ada di sisinya.“
Nampak macam tak sihat saja kan erti “mencintai pasangan dengan sepenuh hati dan tanpa syarat” ini?
Macam mana kalau si pasangan seorang pendera yang sering mendera fizikal dan emosi anda?
Macam mana kalau si pasangan curang dan mengabaikan anda? Masih sayangkah anda padanya dengan sepenuh hati?
Di situ masyarakat salah tentang maksud sebenar konsep “cinta dengan sepenuh hati” ini!
Konsep cinta dengan sepenuh hati dan tanpa syarat bermaksud anda dan pasangan memberi fokus kepada apa yang menyatukan kalian berdua.
Kenapa kalian bersama? Jangan fikir konsep cinta ini bermaksud anda terus boleh abaikan realiti yang sebenar!
Organisasi Lifehack telah berbaik hati berkongsi bagaimana anda boleh mencintai pasangan dengan sepenuh hati dan tanpa syarat, tapi dengan cara yang lebih sihat. Bagaimana? Cuba baca artikel di bawah –
Mencintai Pasangan Dengan Sepenuh Hati, Tapi Dalam 5 Cara Yang Sihat
#1 Bersama-sama ketika dalam susah
Bertahan ketika menghadapi situasi yang sukar. Jangan biarkan masa susah dan mengecewakan ini berjaya menipu anda untuk memikirkan yang “hubungan ini tak akan berjaya“. Semua hubungan ada dugaan dan cabarannya yang tersendiri.
Percayalah yang cinta kalian bernilai untuk diperjuangkan bersama-sama, sebagai satu pasukan.
#2 Hayati setiap masa bersama
Fahamilah hakikat sebenar yang setiap rasa cinta akan ada turun dan naiknya. Tanam dalam hati anda yang setiap masa yang diluangkan bersama dengan pasangan adalah nikmat yang harus anda simpan.
Tak kisahlah sebarang kegembiraan, kebahagian, pengembaraan, detik pakai baju tidur rumah, ketawa riang, kesedihan dan tangisan air mata sekalipun!
Ingat – tiada cinta yang sempurna.
#3 Jangan mudah putus asa
Alamak! Halangan yang pertama. Patutkah anda meninggalkan pasangan? Jangan berfikiran cetek sedemikian!
Terima hakikat yang pasangan anda juga seorang manusia yang terbuka untuk melakukan kesilapan. Kalian berdua terbuka untuk melakukan kesilapan!
Hanya sebab pasangan anda tak sempurna, tak bermaksud dia tak sesuai untuk anda, kan? Jadi simpan ia dalam otak dan hati anda.
Tak apa jika kalian terkandas dalam pelbagai cabaran, janji jangan mudah berputus asa!
#4 Cipta keseimbangan dan saling menghormati antara satu sama lain
Cari keseimbangan yang anda perlu dalam perkahwinan kalian. Mungkin anda boleh membahagikan tugas-tugas rumah bersama pasangan.
Ataupun berbicara tentang sebarang topik ringan. Walau apa pun caranya, anda harus mencari “keseimbangan” itu!
Hubungan cinta melibatkan elemen memberi dan menerima. Jadi, jangan lupa untuk melakukannya. Saling hormat antara satu sama lain. Capai kata sepakat dengan perbincangan.
#5 Percaya yang kalian berhak untuk bahagia
Apa yang paling penting, anda dan pasangan berhak untuk mengecapi kebahagiaan. Oleh itu, cuba berusaha untuk memberi kebahagiaan itu pada pasangan. Nescaya, mereka akan membalas kembali segala usaha anda.
Mencintai pasangan dengan sepenuh hati dan tanpa sebarang syarat bukan bermaksud anda perlu menerima cabaran yang mendatang sebulat-bulatnya.
Tapi, anda harus yakin dan percaya yang cabaran ini untuk melengkapkan hubungan kalian.
Konsep mencintai pasangan dengan sepenuh hati sepatutnya membuatkan anda ingin meneruskan hubungan ini, demi kalian berdua.
Ia bukan bermaksud anda biar pasangan dera anda. Ia bukan bermaksud anda biar pasangan hina, pukul dan curang pada anda.
Kejujuran adalah kunci utama dalam sesebuah hubungan yang sihat.
Mungkin dengan 5 cara sihat untuk mencintai pasangan dengan sepenuh hati ini mampu membuatkan kalian berdua jadi pasangan tua yang kekal bahagia dan saling berpimpin tangan itu!
Selamat berjaya untuk mencintai pasangan anda dengan sepenuh hati tapi dalam cara yang sihat!
Sumber rujukan: Lifehack
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!