Tahukah anda bahawa dadah merupakan satu istilah khas yang merujuk kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi fizikal, mental dan emosi serta tingkahlaku pengguna apabila digunakan.
Akibat daripada kesan ini, seseorang yang menyalahgunakan dadah akan menjadi ketagih dan akan terus bergantung hidup kepadanya.
Suami terlibat dengan penagihan dadah
Dadah atau “drug” adalah bahan atau kimia yang amat berbahaya kepada individu yang menggunakannya kerana ia mengubah cara minda dan tubuh manusia berfungsi.
Meskipun pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) giat membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat, namun masih ramai khususnya golongan muda mengalami ketagihan terhadap bahan terlarang ini.
Bagi pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga, kaum isteri terpaksa berdepan dengan suami yang mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap keluarga. Apabila ditegur, mulalah naik angin. Malah ada yang sanggup memukul isteri dan anak-anak.
Keadaan ini adalah sangat membahayakan institusi kekeluargaan memandangkan suami adalah ketua keluarga. Ia boleh meninggalkan kesan emosi dan fizikal terhadap mereka.
Isteri boleh menuntut fasakh jika suami ambil dadah
Menurut laman Mufti Wilayah Persekutuan, fasakh adalah jalan keluar daripada pernikahan apabila terdapat aib-aib yang telah ditentukan syarak, dan ia memberi kesan kepada tujuan pernikahan itu.
Antaranya ialah aib-aib yang menyebabkan terhalang untukistimta’ atau “berseronok” di antara suami dan isteri.
Secara asasnya, para fuqaha’ telah menyenaraikan beberapa aib-aib yang dibolehkan untuk membawa kepada tuntutanfasakh. Antaranya:
وَعُيُوبُ النِّكَاحِ سَبْعَةٌ وَهِيَ الجُنُونُ وَالجُذَامُ وَالبَرَصُ وَالرَّتْقُ وَالقَرْنُ وَالعُنَّةُ وَالجُبُّ
Maksudnya: Aib-aib dalam pernikahan itu ada tujuh, iaitu gila, kusta, sopak, faraj tersumbat dengan daging, faraj terhalang dengan tulang, zakar tidak boleh membesar, hasyafah terpotong, Lihat al-Mu’tamad (4/96).
Namun begitu, fasakh hanyalah boleh dituntut sekiranya semua aib yang disebutkan di atas, diketahui selepas perkahwinan. Lihat al-taqrirat al- Sadidah fi al-Masail al-Mufidah (42).
Dr. Muhammad al-Zuhaily menyebut bahawa tuntutan fasakh ini adalah untuk keaiban yang wujud menyebabkan terkeluar daripada kebiasaan manusia sehingga akan memberikan kesan kepada hubungan suami isteri.
Keaiban ini terbahagi kepada dua, iaitu yang menghalang persetubuhan dan yang tidak menghalang persetubuhan seperti gila dan sopak.
Ia dianggap sebagai keaiban meskipun tidak menghalang persetubuhan tetapi sekiranya menjijikkan atau memberi kesan sehingga menghalang untuk bersama dengan isteri, maka menjadi hak isteri untuk memilih sama ada untuk kekal atau membubarkan perkahwinan.
Seterusnya, dalam meneliti isu ini juga hendaklah kita memahami persoalan berkaitan dengan dadah.
Jenis dadah yang bahaya
Ada beberapa jenis dadah yang sering disalahgunakan dalam kalangan masyarakat. Antaranya:
- Amphetamine (kuda, WY, yaba)
- Methamphetamine (ice, syabu, sejuk, batu)
- Ecstacy (goyang)
Kesan dadah
Penyalahgunaan bahan terlarang ini memberikan kesan serta merta kepada si penagih. Antara kesan dadah adalah:
- euphoria
- tidak mengantuk
- tidak lapar ataupun letih
Lama-kelamaan kesan dadah boleh menyebabkan kebergantungan yang berpanjangan yang mengganggu fungsi sosial di dalam masyarakat.
Penagihan dadah memudaratkan suami isteri
Penagihan dadah telah dianggap sebagai suatu penyakit yang perlu dirawat. Ini sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam negeri dan Kementerian Kesihatan.
Apabila suami ditimpa penyakit terutamanya penyakit yang akan turut memberi kesan kepada isteri, seperti yang disebutkan oleh Dr Muhammad al-Zuhaily, maka penagihan dadah ini sesuai diangkat seiring dengan aib-aib yang boleh membawa kepada tuntutan fasakh.
Penagihan dadah tentunya akan memberi kesan mudarat yang cukup besar kepada individu itu sendiri dan keluarga.
Maka, syarak tidak akan sesekali membiarkan sesiapa pun dari terhumban dalam kemudaratan seperti sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Yahya al-Mazini, bahawa Baginda SAW bersabda:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: Tidak boleh memudaratkan diri dan memudaratkan orang lain.
Islam benarkan perpisahan untuk elak derhaka
Selain itu, mereka yang terlibat dengan penagihan dadah ini ternyata telah melanggar syariat Islam yang mengharamkannya penyalahgunaanya. Ibn Hajar al-Haitami menyatakan
وحكى القرافي وهو من أئمة المالكية، وابن تيمية الإجماع على تحريم الحشيش
Maksudnya: Dan disebutkan oleh al-Qarafi yang merupakan ulama’ besar mazhab Maliki, dan Ibn Taimiyyah bahawa (telah menjadi) ijma’ untuk pengharaman ganja. Lihat al-Zawajir (1/213).
Islam meraikan perasaan wanita terhadap suaminya dengan membenarkan wanita untuk menuntut pembubaran perkahwinan apabila wanita itu tidak lagi menyukai suaminya dan bimbang perasaan benci itu akan menyebabkannya dia derhaka kepada suaminya.
Ini seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA:
جَاءَتِ امْرَأَةُ ثَابِتِ بْنِ قَيْسِ بْنِ شَمَّاسٍ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَنْقِمُ عَلَى ثَابِتٍ فِي دِينٍ وَلاَ خُلُقٍ، إِلاَّ أَنِّي أَخَافُ الْكُفْرَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم “ فَتَرُدِّينَ عَلَيْهِ حَدِيقَتَهُ ”. فَقَالَتْ نَعَمْ. فَرَدَّتْ عَلَيْهِ، وَأَمَرَهُ فَفَارَقَهَا
Maksudnya:
Isteri Thabit bin Qais telah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku tidak mempertikaikan Thabit daripada sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam (mengelak daripada derhaka kepada suami).
Maka Rasulullah SAW pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya (maharnya)? Jawabnya: “Ya”. Lalu Rasulullah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia”- Riwayat al-Bukhari (5276)
Imam Ibn Hajar dalam mensyarahkan hadith ini menyatakan, sebab isteri Thabit memohon pembubaran perkahwinan adalah kerana rupa parasnya yang hodoh lagi jelik.
Lalu dia merasa bimbang akan menjadi derhaka kepada suaminya disebabkan tidak meredhai rupa paras suaminya. Lihat Fath al-Bari (9/311).
Kesimpulannya, kaum wanita berhak menuntut pembubaran perkahwinan apabila suami merupakan penagih dadah.
Namun begitu, hak menuntut pembubaran ini adalah salah satu pilihan yang dibolehkan. Sekiranya pihak isteri berteguh untuk meneruskan perkahwinan, maka tidaklah menjadi suatu kesalahan dan hendaklah suami tersebut mendapatkan rawatan pemulihan untuk berhenti daripada penagihan dadah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Percaya Atau Tidak, Isteri Lebih Sakit Kepala & Stres Layan Kerenah Suami Berbanding Anak-Anak
Baca juga: Baik Buruk Suami Hanya Isteri Yang Tahu, Bersyukurlah Jika Dia Masih Menjaga Aib Anda
Baca juga: Sudah Tawar Hati & Ingin Berpisah, Lelaki Ini Kongsi Cara Cerai Paling Cepat/ Fast Track