Berbadan dua di bulan puasa bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana ibu terpaksa memilih untuk meneruskan berpuasa atau tidak. Ia bimbang jika detak jantung janin lemah dan pergerakannya juga seakan menurun.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Detak jantung janin lemah dan baby tak gerak macam biasa
- Takut dan cemas bersilih ganti
- Jantung baby dah lemah
- Nasihat kepada ibu-ibu yang lain
Kalau nak diikutkan, setiap daripada wanita hamil memiliki pengalaman mengandung yang tidak sama. Ada yang sentiasa cergas walaupun perut dah memboyot ke depan. Tak kurang juga yang terpaksa berbaring semalaman kerana badan lemah disebabkan alahan yang teruk.
Detak jantung janin lemah dan baby tak gerak macam biasa
Jadi jangan sesekali beranggapan wanita yang lemah itu sebab mengada- ngada kerana mereka juga mahu melalui proses kehamilan itu dengan rasa gembira dan sihat.
Namun kita tidak dapat menolak bahawa ada sesetengah ibu hamil yang berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya kerana pembawakan budak. Jadi, di sinilah peranan suami itu amat penting bagi membantu emosi dan tenaga isteri seharian.
Oleh itu, ikuti perkongsian daripada Puan Aliaa Yusof yang mengatakan detak jantung janin lemah dan tidak bergerak seperti biasa semasa kandungannya telah mencecah 33 minggu.
Menurut Aliaa, kisahnya bermula semasa tengah hari di mana dia mengalami sesak nafas sekejap.
Kemudian bila nafasnya kembali pulih, dia meneruskan memasak di dapur dan siaplah sejenis lauk.
Selepas itu, dia terasa penat dan terus berehat di dalam bilik sehingga ke petang.
“Bila dah masuk waktu petang itu, rasa macam lain sebabnya baby tak gerak seperti selalu. Malah, bila gerak pun sangat perlahan.
“Tapi fikiran masih positif dan menyatakan mungkin bayi tengah tidur untuk sedapkan hati sahaja.
“Setelah masuk waktu malam, berbuka puasa dan solat maghrib. Masih pelik baby tidak bergerak.
“Selalunya kalau waktu maghrib, baby gerak sangat aktif dan kelihatan perut bergerak ke kiri dan ke kanan.
Takut dan cemas bersilih ganti
Selepas berterawih, Aliaa terus memberitahu suaminya dan badan juga turut rasa penat dan nak tidur sahaja. Bila berbaring memang langsung tiada gerakan. Terus dia rasa cemas dan mulai takut.
“Semasa itu cuba nak pejam mata sambil suami google macam-macam.
“Kemudian, dia cuba nak pegang perut untuk cari gerakan baby tapi memang setiap 10 minit pegang langsung tak ada.
“Selalunya kalau suami pegang dan bercakap, baby mesti beri tindak balas dengan ayahnya,”katanya.
Terus bergegas ke hospital
“Tanpa berlengah, suami terus bawa ke hospital sebab tak boleh tunggu dah takut apa-apa terjadi pada baby dalam kandungan.
“Masa itu, Aira tengah nyenyak tidur, dan suami minta adik datang untuk jagakan sekejap.
“Sampai di kecemasan terus beritahu nurse baby tak gerak dari petang dan nurse terkejut lantas memanggil doktor.
Tapi disebabkan musim covid-19, dia dibawa ke bilik rawatan luar sebab prosedur ketat di hospital.
Jantung baby dah lemah
Selepas 30 minit pasang ctg, nurse beritahu yang degupan jantung baby sangat lemah dan si kecil dalam perut itu seolah penat.
“Semasa itu rasa nak nangis tapi tetap positif. Selepas melakukan pemeriksaan yang lain, alhamdulillah degupan jantung baby kembali normal.
Kemudian nurse berpesan, supaya dirinya tidak memasak kerana kondisi tubuh badannya tidak mengizinkan.
Mungkin memasak itu kerja ringan tapi tidak bagi sesetengah wanita hamil.
Malah, nurse juga larang berpuasa walaupun setengah hari kerana badan ibu hamil perlu ada nutrisi dan ibu kena banyak minum air supaya baby dapat keperluannya juga.
Nasihat kepada ibu-ibu yang lain
1) Jika merasakan baby tidak bergerak seperti selalu sekurang- kurangnya dua jam, sila segera ke hospital kerana ada kes kalau baby tidak bergerak terlalu lama rupanya baby dah meninggal dalam kandungan seterusnya doktor tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana sudah terlambat.
2) Ambil tahu keadaan tubuh masing-masing dan peka dengan pergerakan bayi dalam kandungan. Jika ibu penat, baby pun turut sama letih. Jadi jangan paksa diri buat kerja-kerja rumah kalau rasa badan penat sangat.
3) Tanyakan dahulu pada doktor kalau nak berpuasa. Jika tidak berkemampuan, jangan paksa diri. Ini kerana, kalian bukan sengaja ponteng malah berjuang membesarkan satu nyawa dalam perut.
4) Kalau tak mampu solat berdiri, ibu boleh bersolat sambil duduk. Jangan sampai memudaratkan diri ya. Islam itu mudah untuk kita amalkan.
Semoga urusan ibu hamil yang lain dipermudahkan hendaknya. Diharap perkongsian bermanfaat dan melindungi baby dalam kandungan kita.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Pakar Laktasi Kongsi Tips Puasa Penuh Ibu Menyusu Badan, Tidak Perlu Qada Tahun Depan!
Baca juga: Jenis Karenah Ibu Ketika Bulan Puasa, Paling Lucu No.3! Boleh Tersuap Makanan Anak
Baca juga: Mira Filzah Hamil Masuk 8 Bulan, Nak Cuba Untuk Puasa & Teruja Bakal Beraya Bertiga