Selepas melalui fasa pertama di mana kita akan berasa loya dan ingin muntah, akan hadirlah pula fasa trimester kedua yang tidak kurang mencabar iaitu rasa kerap lapar ketika hamil! Jangan risau, anda bukan keseorangan.
Di sini, kami akan kongsikan dengan anda cadangan menarik seorang doktor, Dr. Zubaidi Hj Ahmad di laman FB, tentang menu untuk wanita hamil yang selalu lapar. Ia bukan sebarang menu makanan biasa, tetapi berkhasiat buat ibu serta bayi yang dikandungnya!
Kenapa Rasa Kerap Lapar Ketika Hamil?
Kredit: Freepik
Wanita hamil selalu lapar? Ia bukannya suatu perkara yang pelik! Apabila kita berbadan dua, kita bukanlah makan untuk seorang, tetapi berdua.
Pada usia bayi sekitar 17 minggu, kita akan mula rasa mudah lapar dan selalu ingin makan. Ini adalah kerana bayi tersebut sudah semakin membesar dalam rahim dan memerlukan nutrien yang cukup dan lengkap bagi tumbesarannya.
Apabila bayi anda memberi signal bahawa ia perlukan lebih banyak nutrien, maka badan anda akan menerima signal tersebut dalam bentuk: “saya lapar dan saya ingin makan!”
Perlukah Melayan Rasa Lapar Ketika Hamil?
Kredit: Freepik
Sebelum kita ketahui lebih lanjut tentang menu untuk wanita hamil yang dicadangkan oleh Doktor Zubaidi, jom kita tengok sama ada wanita hamil perlu melayan rasa lapar yang tidak berpenghujungnya itu!
Menurut Whattoexpect.com, ya, kita patut! Apabila ia melibatkan memenuhi kehendak rasa lapar, kita sepatutnya mendengar signal yang dihantar oleh badan dan bayi.
Tetapi, kita juga perlu memenuhinya secara rasional. Terdapat standard pengambilan kalori makanan ketika hamil, iaitu 350 kalori sehari semasa trimester kedua dan 500 kalori sehari semasa trimester terakhir.
Menu untuk Wanita Hamil yang Selalu Lapar
Kredit: Unsplash
Menurut Dr. Zuraidi, wanita hamil perlu memastikan mereka mengambil makanan yang sihat bagi mengurangkan rasa lapar. Mengambil makanan ringan atau manis, seperti kek, adalah amalan yang tidak sihat kerana ia tidak mengandungi nutrien yang bermanfaat buat ibu dan bayi.
Jadi, beliau mencadangkan menu berikut:
- Mengambil hidangan lengkap harian – sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.
- Mengambil hidangan ringan antara waktu makan dua kali sehari, iaitu pada waktu petang dan malam sebelum tidur.
- Cadangan snek atau makanan ringan yang berkhasiat adalah gajus. Ia mempunyai zat besi, serat, dan protein. Ia bagus untuk tumbesaran bayi dan mengurangkan sembelit di kalangan ibu hamil.
- Ambil makanan berasaskan gandum seperti roti. Ambil dua keping roti gandum dan makan bersama sebiji telur. Kedua-dua makanan ini memberikan khasiat zink dan magnesium (daripada roti) serta kalsium dan Vitamin D (daripada telur) yang penting untuk pembentukan tulang bayi dalam rahim.
- Jika inginkan sesuatu yang lebih berat, anda boleh menggoreng ikan salmon serta bayam dengan sedikit minyak sayur. Ikan salmon sememangnya kaya dengan Omega 3 yang bagus untuk pembentukan sel tubuh dan saraf otak bayi dalam rahim.
- Perbanyakkan sayuran bayam kerana ia kaya dengan asid folat yang bagus untuk mengurangkan risiko kecacatan tulang belakang bayi atau turut dikenali sebagai spina bifida.
Cara Mengurangkan Lapar Selain Daripada Makanan
Kredit: cupfulofkale.com
Selain daripada menghilangkan rasa lapar dengan makanan, ia juga boleh dikurangkan dengan pengambilan air jus. Dr. Zubaidi menyarankan supaya ibu hamil membuat jus lobak yang dicampurkan dengan susu.
Lobak dapat memberikan khasiat vitamin A buat bayi dan ibu manakala susu pula mempunyai nutrien kalsium dan protein.
Selain daripada menu di atas, Dr. Zubaidi juga menasihatkan ibu hamil supaya mengurangkan pengambilan makanan masin. Ia adalah kerana 2 sebab: mengelakkan kaki bengkak dan mengurangkan risiko tekanan darah tinggi (hypertension).
Jadi, bagaimana? Membantu tak cadangan menu di atas? Dengan menu ini, anda tidak perlu lagi rasa bersalah setiap kali anda mengunyah dan makan – seolah-olah tanpa henti – kerana ianya adalah sihat dan berkhasiat!
Cubanya hari ini dan penuhi keinginan perut (serta bayi) anda secara sihat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Boleh ke kalau makan maggi semasa mengandung? Ikuti penjelasan pakar
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!