Diana Danielle bersalin sebelum tempoh
Seketika para peminat pelakon Diana Danielle dikejutkan dengan berita bahawa beliau telahpun selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Akhbar Kosmo pada 9 Jun lepas melaporkan yang beliau telah melahirkan di sebuah hospital berhampiran dengan kediamannya di Sydney, Australia pada hujung Mei lalu.
Laporan berita tersebut turut dihangatkan dengan spekulasi bahawa kelahiran itu belum memenuhi tempoh kandungan normal sembilan bulan. Ia seolah-olah ingin menyampaikan kemungkinan pelakon tersebut hamil sebelum bernikah pada 7 November tahun lepas.
BERKAIT: Perkembangan bayi anda: Trimester pertama
Kenyataannya
Spekulasi kurang tepat ini telah dibetulkan pada 11 Jun dengan kenyataan pihak pengurusan Metrowealth bahawa tuduhan tersebut adalah tidak berasas kerana isteri kepada pengarah filem Farid Kamil itu hanya akan melahirkan pada akhir Julai atau awal Ogos akan datang.
Sementara itu Farid Kamil juga akan menyelesaikan penggambaran drama Jodoh Itu Milik Kita sebelum terbang ke Australia untuk bersama Diana Danielle melahirkan bayi pertama mereka.
Pencetus spekulasi
Khabar angin ini tercetus apabila Farid Kamil memuat naik gambarnya sedang mencium seorang bayi di laman sosial Instagram dan Facebook. Inilah yang menjadi tanda tanya kepada ramai pihak sehingga tersiarnya spekulasi tersebut.
Namun ia dijelaskan apabila adik kepada Farid Kamil, Fadzil Zahari juga memuat naik bayi gambarnya bersama bayi yang sama di laman Instagramnya. Apabila dihubungi, Fadzil Zahari menjelaskan bahawa bayi tersebut adalah anak kepada adik lelaki beliau yang telah dilahirkan pada 11 Mei lalu.
BERKAIT: Bagaimana saya tahu bila sudah tiba waktu bersalin?
Elakkan khabar angin
Agak menyedihkan tetapi itulah kenyataan tentang sesetengah media di negara ini. Apa sahaja yang dirasakan dapat menarik pembaca, tentu sekali akan menaikkan jualan akhbar serta jumlah pembaca.
Sebagai pembaca pula, kita harus menjadikan ini sebagai satu iktibar supaya tidak terus mempercayai apa sahaja yang dikeluarkan oleh pihak media. Lebih baik lagi jika hanya mengambil berita daripada sumber yang dipercayai.
Hamil sebelum bernikah
Walaupun berita ini hanya spekulasi namun satu perkara yang tidak dapat dinafikan ialah kes-kes kehamilan sebelum nikah. Mungkin berita tentang hamil sebelum nikah tidak dilaporkan namun natijah daripada perkara tersebut sudah terlalu kerap tersiar.
Tidak sedikit berita tentang kes pembuangan bayi. Agak tidak normal jika pasangan yang telah bernikah dan hamil tetapi tidak menginginkan bayi mereka akan dengan mudah membuang bayi mereka selepas dilahirkan.
Maka ini tentulah perbuatan mereka yang tidak sanggup hidup bersama bayi sedangkan belum bernikah atas sebab-sebab tertentu. Ia bukanlah sesuatu yang dapat dibanggakan untuk dikongsi. Akibat yang harus ditanggung ialah merasa malu, bukan sahaja diri sendiri tetapi juga keluarga kerana mereka dianggap telah menconteng arang di muka ibubapa dan ahli keluarga.
Keadaan ini biasanya membawa mereka kepada tindakan yang kurang rasional seperti membuang bayi. Pahit tetapi benar, mereka lebih sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa daripada menanggung malu akibat perbuatan sendiri.
BERKAIT: Ibu terkejut mendapat tahu anaknya mengandung – Sehari sebelumnya bersalin!
Alternatif bagi membuang bayi
Walaupun perbuatan mereka hingga mengakibatkan hamil sebelum nikah itu sesuatu yang salah, namun membuang dan mengakibatkan kematian bayi adalah lebih teruk. Masyarakat umumnya tidak dapat menerima kedua-duanya namun dalam situasi ini, satu kesalahan tidak harus ditutup dengan kesalahan yang lebih serius.
Bagi mereka yang telah terlanjur hamil sebelum bernikah, usahlah ditambah dengan dosa membunuh nyawa yang tidak mengerti apa-apa. Jika bimbang dikenali, tinggalkan bayi di tempat yang sedia menerima dengan tangan terbuka seperti Baby Hatch di OrphanCare. Jika anda menyesal dan ingin membaiki diri, rujuklah kepada mereka yang sudi menerima anda dan mengurus bayi anda seperti Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan dan Raudhatus Sakinah.
Soalan yang belum terjawab
Beberapa persoalan bermain di fikiran setiap kali terbaca berita tentang kes pembuangan bayi.
Sudah hilangkah naluri keibuan daripada diri sebahagian wanita di Malaysia?
Adakah dengan membuang bayi, mereka rasakan masalah akan selesai di situ?
Akan tenangkah siibu dan sibapa selepas membunuh satu nyawa?
Apa sebenarnya yang berada dalam fikiran mereka ketika mereka bertindak sedemikian?
Mungkin baik juga jika kita dapat membayangkannya bersama. Mungkin mereka perlukan sokongan masyarakat dan saudara bagi membuat keputusan yang lebih rasional.
Andaikan. Jika ia berlaku kepada anda, apakah yang anda rasa anda akan lakukan?
Rujukan:
Diana Danielle bersalin sebelum tempoh tidak benar
Mari kongsikan pandangan anda tentang isu hamil sebelum nikah dan natijahnya di ruangan komen di bawah 🙂