Tahun 2020 ibarat tahun ‘ujian’ untuk masyarakat dunia. Pandemik Covid-19 yang menyerang bukan sedikit kesannya, ada yang terpaksa berhadapan dengan hakikat dibuang kerja, lebih perit tidak dapat terima kenyataan dan akhirnya nekad bunuh diri.
Hanya yang pernah alami saja tahu bagaimana perasaan dibuang kerja, lebih perit jika sudah lebih lima tahun berkhidmat di tempat atau syarikat sama.
Peritnya hanya yang mengalami saja tahu. Seperti dilaporkan Harian Metro, seorang bekas juruterbang maut selepas bertindak nekad terjun dari tingkat 12, dipercayai akibat tertekan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
Dibuang kerja, juruterbang dipercayai bunuh diri akibat tertekan
Menurut Harian Metro, berdasarkan kenyataan pihak polis difahamkan juruterbang yang berusia 35 tahun itu terjun dari rumahnya di tingkat 12 sebuah kondominium di Bandar Kinrara, Puchong.
Difahamkan, mangsa seorang juruterbang yang pernah berkhidmat di syarikat tempatan diberhentikan kerja sejak dua bulan lalu.
Akibat tekanan melampau, dia dipercayai hilang pertimbangan dan membunuh diri dengan cara dan terjun dari tingkat 12 rumahnya.
Menurut polis, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati punca kematian adalah disebabkan jatuh dari tempat tinggi.
Step patut anda ambil bila dibuang kerja
Dibuang kerja bukan perkara main-main. Hanya yang pernah mengalami saja tahu rasanya. Rasa tidak berguna dan ibarat dunia gelap seketika. Nak-nak pula ada tanggungan yang banyak boleh buntu, dibuatnya jika tidak kuat semangat.
Bercakap memang mudah, bak kata orang di sekeliling, boleh dapat kerja baharu nanti, tapi yang menghadapnya ini Tuhan saja tahu.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, macam-macam perkara boleh terjadi. Seperti dilaporkan media sebelum ini, pekerja hotel adalah antara yang paling teruk terjejas dengan ada dipotong gaji, dipaksa bercuti tanpa gaji, dipaksa menggunakan cuti tahunan dan lebih teruk lagi terus dibuang kerja.
Difahamkan lebih 30,000 orang di dalam industri perhotelan di seluruh negara hilang pekerjaan hingga sejak Covid-19 melanda.
Lihat sahaja baru-baru ini bukan sedikit pengamal media tempatan kehilangan kerja akibat masalah yang dihadapi oleh syarikat mereka.
Ujian seperti itu sememangnya tak dapat untuk kita bayangkan. Hanya mereka yang berdepan dengan situasi itu mampu merasainya. Akan tetapi jika perkara sama berlaku kepada anda apakah yang boleh anda lakukan?
#1. Bertenang
Paling penting bertenang dahulu. Bertenang ya. Jangan panik. Dibuang kerja atau kehilangan pekerjaan bukanlah pengakhiran hidup anda. Dibuang kerja tidak bermakna hidup anda sudah berakhir.
Jangan lupa anda mungkin ada anak, isteri atau suami dan juga keluarga, jangan berputus ada demi mereka. Jika anda bujang, tidak berbaloi anda meratapi nasib terlalu lama sedangkan perkara sudah pun berlaku.
#2. Rundingan, bertanya apa yang anda ingin tahu
Jika dibuang kerja secara tiba-tiba atau dengan notis sekalipun anda berhak tahu mengapa anda dibuang kerja. Itu adalah hak anda. Jangan senyap dan membisu tetapi terus hidup dalam tanda tanya.
Syarikat wajib mengemukakan sebab kenapa anda dibuang kerja. Jangan terus mengamuk atau ambil tindakan tinggalkan terus pejabat pergi ke Jabatan Sumber Manusia dan selidik mengenai gaji, pampasan, pampasan baki cuti, insurans, faedah dan sebagainya yang bakal memanfaatkan anda selepas diberhentikan kerja.
Ambil tahu jika syarikat ada mencarum dengan PERKESO kerana anda layak menuntut pampasan kehilangan pekerjaan.
#3. Kawal perbelanjaan
Ada yang diberhentikan kerja dengan pampasan ada pula dengan tangan kosong. Walau di kategori mana pun anda, kawallah perbelanjaan. Ubah gaya hidup jika anda merasakan tidak mampu untuk bertahan.
Ini bagi mengelak anda diburu bank jika tidak dapat membayar hutang atau komitmen yang anda ada sebelum dibuang kerja.
#4. Bersedia untuk move on
Jangan terus bersedih dan meratapi nasib. Bersedialah untuk move on dan mencari pekerjaan baharu. Inilah masanya untuk anda update resume yang mungkin sudah lama tersimpan. Jika mahu buat bisnes, buatlah. Jangan terus dibelenggu kesedihan kerana duit tidak turun dari langit ya!
#5. Nikmati waktu ‘rehat’ anda
Boleh jadi dulu anda kerja tak ikut masa. Jumpa orang pun tidak sempat, tiada life bak kata orang. Terlalu sibuk dengan tugas hingga diri atau keluarga terabai.
Mungkin ini masanya untuk anda tebus balik masa itu. Ambil masa untuk berehat, pergilah ‘bertukar’ angin untuk anda dapatkan semua energy positif yang dulu!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber: Harian Metro, maskulin
Baca juga:
3 Cara Isteri Patut Buat Bila Hadapi Masalah Suami Hilang Sumber Pendapatan