Melahirkan anak bukanlah perkara mudah. Ramai ibu mengamalkan doa maryam mudah bersalin pada trimester akhir kehamilan sebagai ikhtiar agar diberikan ketenangan. Ia juga sebagai tanda usaha dan tawakal kepada Allah agar segalanya berjalan lancar.
Isi Kandungan
Doa Maryam Mudah Bersalin
Perasaan takut dan bimbang adalah lumrah bagi ibu yang bakal melahirkan. Ketika ini, amalan berdoa kepada Allah adalah cara terbaik untuk memohon agar segalanya dipermudahkan.
Berikut adalah doa Maryam yang boleh dibaca:
حَنَّةٌ وَلَدَتْ مَرْيَمَ، مَرْيَمُ وَلَدَتْ عِيسَى، أَخْرُجْ أَيُّهَا الْمَوْلُودُ بِقُدْرَةِ الْمَلِكِ الْمَعْبُودِ اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ سَهِّلْ وَيَسِّرْ مَا تَعَسَّرَ
Maksudnya: Hannah melahirkan Maryam, Maryam melahirkan Isa. Wahai anak yang akan dilahirkan, lahirlah dengan kuasa Tuhan yang Maha Berkuasa.
Ya Allah, selawat dan salam kepada Nabi Muhammad. Permudahkanlah dan lancarkan apa yang sukar.
Kisah Maryam dan Pengalaman Semasa Bersalin
Maryam merupakan wanita yang mulia dan disebut secara khusus dalam Al-Quran. Dalam Surah Maryam ayat 22-26, dikisahkan bahawa setelah mengetahui dirinya hamil, Maryam mengasingkan diri ke tempat jauh untuk mengelakkan fitnah dan pandangan buruk kaumnya.
Mengikut riwayat Ibnu Abbas, beliau memilih untuk beribadah di arah timur Baitul Maqdis, di sebuah tempat bernama Betlehem, bagi mendekatkan diri kepada Allah tanpa gangguan.
Ketika saat bersalin tiba, Maryam mengalami kesakitan yang amat sangat sehingga terpaksa bersandar pada pangkal pokok kurma.
Dalam keadaan tekanan dan kesedihan, Maryam berharap agar dirinya mati daripada menanggung aib.
Firman Allah dalam Surah Maryam ayat 23:
فَأَجَاءَهَا الْمَخَاضُ إِلَى جِذْعِ النَّخْلَةِ قَالَتْ يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَذَا وَكُنْتُ نَسْيًا مَنْسِيًّا
Maksudnya: Kemudian sakit bersalin memaksanya (Maryam) bersandar pada pangkal pokok kurma. Dia berkata, “Alangkah baiknya jika aku mati sebelum ini dan aku dilupakan”.
Pertolongan Allah Kepada Maryam
Allah tidak membiarkan Maryam bersendirian dalam kesedihan. Malaikat Jibril diutuskan untuk menenangkan dan memberikannya kekuatan.
Jibril menyuruh Maryam menggoyangkan pangkal pokok kurma agar buah kurma masak dapat jatuh untuknya
Juga, malaikat itu memberitahunya ada anak sungai di bawahnya sebagai sumber air.
Firman Allah dalam Surah Maryam ayat 24-25:
فَنَادَاهَا مِنْ تَحْتِهَا أَلَّا تَحْزَنِي قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّا وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيّا
Maksudnya: Maka malaikat berseru kepadanya dari tempat rendah, “Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu.
Goyangkanlah pangkal pokok kurma itu ke arahmu, nescaya ia akan menggugurkan buah kurma masak kepadamu.”
Pertolongan ini menunjukkan betapa Allah sentiasa bersama hamba-Nya yang diuji, memberi rezeki dan kekuatan pada saat-saat sukar.
Kelebihan Mengamalkan Doa Maryam
Kisah Maryam bukan sekadar cerita, tetapi lambang kekuatan, kesabaran, dan keimanan. Berikut adalah beberapa kelebihan mengamalkan Doa Maryam:
1. Menenangkan Hati Ibu
Doa ini membantu ibu mengatasi rasa cemas dan memberi keyakinan bahawa Allah akan mempermudahkan proses bersalin.
2. Meningkatkan Keimanan
Selain menjaga kesihatan dan menghadiri kelas antenatal, amalan doa ini melengkapkan usaha fizikal dengan ikhtiar rohani sebagai tanda tawakal kepada Allah.
3. Sumber Kekuatan
Dengan menghayati kisah Maryam, ibu-ibu boleh mendapat inspirasi untuk menjadi lebih kuat dan sabar dalam menghadapi kesakitan bersalin.
Doa Maryam bukan sekadar untuk memudahkan bersalin tetapi juga cara mendekatkan diri kepada Allah.
Bacalah dengan penuh keyakinan dan kepercayaan bahawa Allah sentiasa bersama, sedia meringankan setiap kesulitan.
Semoga setiap ibu yang bakal melahirkan dikurniakan kekuatan dan kelancaran dalam perjalanan ini. Ingatlah, dalam setiap kesukaran pasti ada kemudahan seperti yang Allah janjikan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 15 Surah & Doa Mudah Bersalin Normal (Alquran & Rasulullah)
Baca juga: Surah Maryam Untuk Ibu Hamil & Doa Mudah Bersalin Yang Boleh Anda Amalkan Selalu
Baca juga: Surah Yusuf Untuk Ibu Hamil, Elok Baca Selalu Banyak Kelebihannya Selain Anak Lahir Cantik