Doa untuk ibu bapa merupakan satu ‘hadiah’ daripada si anak kepada orang tuanya. Umum sedia maklum, doa merupakan senjata buat para Muslim di dunia ini.
Berdoalah sehingga setiap hajat yang dipinta, didengari dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Tak rugi berdoa ini, walaupun anda meluangkan masa yang panjang, ia seolah-olah ‘bercakap’ dengan Yang Maha Esa.
Isi Kandungan
Doa Untuk Ibu Bapa Ampun Dosa & Selepas Solat
1. Doa Ampun Dosa & Kesejahteraan (Surah Ibrahim: Ayat 41)
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Rumi: Rabbana ighfir lee waliwalidayya walilmumineena yawma yaqoomu alhisabu
Maksudnya: ” Ya Allah Ya tuhanku, ampunilah aku, ibu bapaku, dan orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari perhitungan).”
2. Doa Keimanan (Surah Nuh: Ayat 28)
رَّبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا
Rumi: Rabbigfir lī wa liwālidayya wa liman dakhala baitiya mu`minaw wa lil-mu`minīna wal-mu`mināt, wa lā tazidiẓ-ẓālimīna illā tabārā
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dalam keadaan beriman dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (pada setiap zaman) dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan.”
3. Doa Dipanjangkan Usia Ibu Bapa
اَللهُمَّ اغْفِرْلِىْ ذُنُوْبِىْ وَلِوَالِدَىَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِىْ صَغِيْرًا. وَلِجَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، َاْلاَحْيَآءِ مِنْهُمْ وَاْلاَمْوَاتِ، وَتَابِعْ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ بِالْخَيْرَاتِ، رَبِّ اغْفِرْ وَارْحَمْ وَاَنْتَ خَيْرُالرَّاحِمِيْنَ، وَلاَحَوْلَ وَلاَقُوَّةَ اِلاَّبِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ
Ertinya: “Ya Allah, berikanlah ampunan kepadaku atas dosa-dosaku dan dosa-dosa kedua orang tuaku, dan kasihanilah keduanya itu sebagaimana beliau berdua merawatku ketika aku masih kecil, begitu juga kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat, semua orang yang beriman, laki-laki maupun perempuan yang masih hidup maupun yang sudah meninggal dunia, dan ikutkanlah diantara kami dan mereka dengan kebaikan. Ya Allah, berilah ampun dan belas kasihanilah karena Engkaulah Tuhan yang lebih berbelas kasih dan tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan-Mu.”
4. Doa Kesembuhan Ibu Bapa
“Ya Allah, Rabb Manusia dan alam semesta, hilangkanlah kesusahan dan berikanlah dia kesembuhan, Engkau Dzat Yang Maha Menyembuhkan. Tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit lain.”
Kenapa Kena Doakan Ibu Bapa?
1. Membalas Jasa Dan Pengorbanan
Tiada siapa yang boleh membalas sepenuhnya segala jasa dan pengorbanan ibu bapa, namun doa adalah salah satu cara terbaik untuk menunjukkan penghargaan dan kasih sayang kita kepada mereka.
Doa dari anak-anak bukan sekadar tanda terima kasih tetapi juga sebagai amal yang kekal walaupun ibu bapa telah tiada.
2. Sebagai Bentuk Ibadah
Mendoakan ibu bapa adalah ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT. Dalam Surah Al-Isra’ ayat 23-24, Allah mengingatkan kita untuk berbuat baik kepada ibu bapa dan berdoa dengan rendah hati:
“Ya Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua, sebagaimana mereka berdua telah mendidikku ketika kecil.”
3. Memperoleh Keberkatan Hidup
Doa kepada ibu bapa membuka pintu keberkatan dalam kehidupan anak-anak. Keberkatan ini datang dalam bentuk rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik, dan ketenangan hati.
Rasulullah SAW juga mengajarkan bahawa keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa, dan doa adalah salah satu cara mendapatkan keredhaan mereka.
4. Penghubung Kasih Sayang
Doa mampu menguatkan hubungan antara anak dan ibu bapa, terutama apabila mereka berjauhan. Melalui doa, kita menghubungkan hati kita kepada mereka walaupun secara tidak langsung.
Bagaimana Jika Ibu Bapa Sudah Meninggal Dunia
Meskipun ibu bapa sudah meninggal dunia, anak-anak masih berpeluang berbakti kepada mereka.
Selain melaksanakan wasiat mereka dan menjaga hubungan dengan sahabat-sahabat mereka, kita juga boleh berwaqaf atas nama mereka, bersedekah, melunaskan hutang-hutang mereka, dan yang paling utama, sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.
Galakan ini dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seseorang manusia (Islam) meninggal dunia, terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh/solehah yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)
Cara Berdoa Yang Betul Untuk Ibu Bapa
Mendoakan ibu bapa memerlukan keikhlasan dan adab agar doa diterima oleh Allah SWT. Berikut adalah panduan berdoa yang betul untuk ibu bapa, agar amalan ini menjadi lebih bermakna:
1. Mulakan dengan Tahmid dan Selawat
Sebelum memohon apa-apa hajat, mulakan doa dengan memuji Allah SWT dan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.
Contoh:
“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.”
Dengan memulakan doa begini, ia akan menjadi lebih berkat dan penuh adab.
2. Berdoa Dengan Khusyuk Dan Rendah Hati
Pastikan doa dilafazkan dengan penuh penghayatan dan rasa rendah hati. Hindari tergesa-gesa atau sekadar rutin tanpa keikhlasan. Berdoalah dengan hati yang ikhlas dan yakin bahawa Allah mendengar setiap permintaan.
3. Gunakan Bahasa Yang Mudah Dan Difahami
Berdoa tidak semestinya dalam bahasa Arab sahaja. Gunakan bahasa yang mudah dan kita fahami agar doa lebih bermakna. Ini membantu kita menghayati setiap bait doa yang dipanjatkan.
Contoh:
“Ya Allah, ampunilah dosa ibu bapaku, berikanlah mereka kebahagiaan di dunia dan akhirat, dan kurniakanlah mereka kesihatan yang baik.”
4. Berdoa Secara Konsisten Dan Berterusan
Amalan doa tidak perlu menunggu saat-saat tertentu. Doakan ibu bapa setiap hari tanpa jemu, tidak kira sama ada mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia. Doa yang konsisten menunjukkan kasih sayang dan penghargaan kita terhadap mereka.
Cara Berbakti Kepada Ibu Bapa Menurut Ajaran Islam
Selain daripada mendoakan kesejahteraan ibu bapa di dunia dan di akhirat, anak-anak juga boleh berbakti kepada kedua orang tua. Cara-caranya adalah:
- Membantu ibu bapa dari segi kewangan.
- Memastikan ibu bapa mendapat tempat tinggal yang selesa.
- Memberikan kasih sayang dan perhatian kepada mereka.
- Cuba yang terbaik untuk memenuhi permintaan mereka.
- Elak melakukan perkara yang tidak diredhai oleh Allah SWT.
- Mencari peluang dan meluangkan masa bersama mereka.
- Bercakap dengan mereka dengan nada yang sopan dan lemah lembut.
- Kongsi kegembiraan dengan mereka.
- Kerap berhubung dengan mereka.
Dalam Islam, penting untuk berdoa untuk keselamatan ibu bapa kerana keredhaan mereka membawa keberkatan kepada keluarga. Doa untuk kesihatan dan rezeki mereka juga akan membawa kebaikan kepada anak-anak dan keluarga.
Kesimpulannya, jangan lupa untuk mendoakan kedua-dua ibu bapa dalam keadaan apa sekalipun. Semoga bermanfaat.
ezqurban.org
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ada Adik Beradik Jaga Ibu Bapa Sakit? Pakar Kaunselor Pesan Jangan Banyak Mengungkit!